Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang pengharaman judi dan apakah hikmahnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pengharaman judi di dalam al-Quran berlaku secara berperingkat dan bukanlah secara sekaligus, sama seperti pengharaman arak dan pengharaman riba.
Pada peringkat awalnya, dapat dilihat menerusi firman ayat 219 daripada surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Surah al-Baqarah (219)
Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Ini adalah sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya, namun akibat daripada mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada, namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)
Al-Syaukani menyatakan bahawa pada judi terdapat dosa besar kerana ia membawa kepada kemiskinan, kehilangan harta, permusuhan dan kekosongan jiwa, sedangkan manfaat yang diperoleh daripadanya hanyalah manfaat buat orang-orang miskin. Oleh sebab itu, tidak ada kebaikan dalam perjudian jika hendak dibandingkan dengan risiko kehilangan harta benda, terdedah kepada kemiskinan, menimbulkan permusuhan sehingga boleh menyebabkan pertumpahan darah dan mencarik kehormatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh Muhammad Sulaiman al-Asyqar, hlm. 43)
Begitu juga al-Alusi ada menyebutkan beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya adalah memakan harta secara batil, boleh menyebabkan orang yang berjudi terjebak dalam aktiviti jenayah seperti mencuri, mencederakan jiwa, mensia-siakan keluarga, melakukan perkara yang keji dan hina serta menimbulkan permusuhan sama ada secara tersembunyi mahupun terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 16/262)
Pada peringkat seterusnya pula, turun ayat 90 daripada Surah al-Maidah sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Surah al-Maidah (90)
Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan kedua-duanya boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil. Di samping itu, ia juga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.
Beliau menjelaskan lagi, pertaruhan di dalam perjudian akan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan ada yang sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga dia tidak ingat selain daripada harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49 dan 12/82)
Menurut Sayyid Qutb, ayat ini dimulakan dengan bentuk seruan, “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا” untuk merangsangkan hati orang beriman dari satu sudut dan dari satu sudut yang lain pula adalah untuk mengingatkan mereka terhadap kehendak-kehendak keimanan, iaitu menunjukkan kepatuhan dan ketaatan. Kemudian seruan itu disusuli dengan penjelasan yang tegas dalam bentuk ungkapan penguat kata yang memberi penekanan yang sempurna iaitu pada ayat, “إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ” yakni semuanya adalah kotoran yang tidak terdapat padanya sifat ‘benda-benda baik’ yang telah dihalalkan oleh Allah SWT.
Kesemuanya itu termasuk dalam amalan syaitan, sedangkan syaitan pula ialah musuh lama umat manusia. Sudah cukup bagi orang beriman, dengan semata-mata mengetahui bahawa sesuatu itu berasal daripada amalan syaitan membuatkan hati mereka merasa jijik dan benci terhadapnya. Lalu mereka menjauhi perbuatan tersebut kerana sifat takut dan ketaqwaan mereka kepada Allah. Dalam masa yang sama, ayat berikutnya mengeluarkan perintah yang disertakan dengan galakan supaya memperoleh kejayaan. Ini merupakan salah satu sentuhan saranan kejiwaan yang sangat mendalam.
Kemudian dalam ayat seterusnya, didedahkan pula perencanaan syaitan di sebalik perbuatan-perbuatan yang kotor itu iaitu matlamat syaitan adalah untuk menimbulkan perseteruan dan perasaan benci-membenci dalam kalangan Muslimin melalui penagihan arak dan permainan judi, juga menghalang orang beriman daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat. Semua matlamat jahat ini merupakan perkara yang benar-benar berlaku dan dapat dilihat sendiri oleh kaum Muslimin tanpa memerlukan lagi kepada kajian dan pengesahan kerana kejelasannya. Maksud daripada ayat ini — yakni ayat yang mendedahkan matlamat jahat syaitan itu — adalah bertujuan untuk menyedarkan hati orang beriman dan mempertajamkan lagi kewaspadaan mereka agar menjauhi dan tidak terjebak dalam perbuatan kotor tersebut. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/975-976)
Selain itu, Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan bahawa mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana terdapat dua mafsadah di dalamnya. Pertamanya, mafsadah memakan harta secara haram. Kedua, mafsadah perkara lalai yang haram; yang menghalang pelakunya daripada mengingati Allah SWT, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/337)
Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu).”
Riwayat Abu Daud (3696), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365)
Imam al-Khattabi menyatakan bahawa al-Kubah ditafsirkan sebagai gendang dan dikatakan juga ia ialah dadu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/267)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa setiap permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya adalah haram. Judi ialah permainan yang dilakukan oleh manusia serta tidak dapat lari daripadanya sama ada mendapat keuntungan atau menanggung kerugian. Ia juga dinamakan sebagai Maisir (yang didapati tanpa usaha dan jerih) yang disebut oleh al-Quran beriringan dengan arak, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 493)
Dalam sebuah hadith lain, yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ تَعَالَ أُقَامِرْكَ فَلْيَتَصَدَّقْ
Maksudnya: “Sesiapa yang berkata kepada temannya, ‘Marilah kita berjudi/bertaruh!’ Maka, hendaklah dia bersedekah.”
Riwayat al-Bukhari (4860) dan Muslim (1647)
Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Khattabi bahawa lafaz “فَلْيَتَصَدَّقْ” dalam hadith ini bermaksud bersedekahlah dengan harta yang ingin dipertaruhkan itu. Namun, terdapat pendapat lain menyatakan, maksudnya ialah bersedekahlah dengan apa-apa sedekah yang dapat menghapuskan dosa ketelanjuran perkataannya itu. Bahkan menurut al-Nawawi, inilah pendapat yang benar sebagaimana yang ditunjukkan dalam hadith riwayat Muslim dengan lafaz, “فَلْيَتَصَدَّقْ بِشَيْءٍ” (yakni bersedekahlah dengan sesuatu).
Tambahan lagi, menurut al-Nawawi, hadith ini secara zahirnya tidak dikhususkan dengan kadar tersebut (yakni kadar harta yang asalnya ingin dipertaruhkan). Sebaliknya, bersedekahlah dengan apa-apa sahaja yang mampu. Selain itu, menurut al-Qadhi ‘Iyadh, hadith ini juga merupakan hujah bagi jumhur ulama bahawa seseorang yang sudah berazam dan tekad dalam hatinya untuk melakukan suatu maksiat adalah berdosa dan dituliskan baginya dosa tersebut, berbeza halnya dengan seseorang yang hanya terlintas dalam hatinya perkara itu. (Lihat Fath al-Bari, 8/612-613; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/107-108)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”