#7801: Adakah Suami Berhak Mendapatkan Kembali Mahar Selepas Sumpah Laknat? 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah suami berhak mendapat kembali mahar yang telah diberikan kepada isterinya sekiranya dia telah melakukan sumpah laknat ke atas nya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar.”

وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.”

(Surah al-Nur: 6-7)

Li‘an (اللِّعَانُ) merupakan perkataan Arab yang berasal dari kata kerja (لَاعَنَ – يُلَاعِنُ). Syeikh Muhammad bin Soleh al- ‘Uthaimin mengatakan, li‘an (اللِّعَانُ) ini diambil dari perkataan al-la‘nu (اللَّعْنُ) yang bermaksud penyingkiran dan jauh dari rahmat Allah. Dan sifat li‘an  ini adalah sumpah secara berulang kali, iaitulah kesaksian secara pasti yang disertakan dengan sumpah agar ditimpa laknat atau kemurkaan.

Pihak yang melafazkan li‘an ini akan diutamakan kerana dia yang mengemukakan perkara ini dahulu, dan kerana ia dilafazkan dari pihak si suami. Sebab sumpah li‘an ini pula adalah kerana seorang suami menuduh isterinya berzina. (Lihat Fath zi al-Jalal wa al-Ikram, 5/377)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa mahar adalah pemberian wajib yang dikenakan ke atas suami kepada isteri disebab berlakunya akad perkahwinan. Yang demikian sebagaimana firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisai’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn ‘Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan akad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Berkaitan dengan isu ini, apabila berlaku sumpah laknat (li‘an) antara suami dan isteri akibat perselisihan rumah tangga yang membawa kepada terlerainya ikatan perkahwinan, suami tidak berhak untuk mengambil kembali mahar yang telah diberikan kepada isterinya. Ini kerana mahar adalah pemberian wajib yang terikat dengan akad nikah dan menjadi hak mutlak isteri sebaik sahaja perkahwinan dilangsungkan. Hak ini kekal milik isteri, walaupun hubungan suami isteri menghadapi masalah, kerana ia merupakan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak sebagai lambang penghormatan dan pemeliharaan hak isteri dalam institusi perkahwinan.

Hal ini juga telah diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa beliau berkata:

رَجُلٌ قَذَفَ امْرَأَتَهُ. فَقَالَ: فَرَّقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَخَوَيْ بَنِي العَجْلاَنِ. وَقَالَ: «اللَّهُ يَعْلَمُ أَنَّ أَحَدَكُمَا كَاذِبٌ، فَهَلْ مِنْكُمَا تَائِبٌ؟» فَأَبَيَا، وَقَالَ: «اللَّهُ يَعْلَمُ أَنَّ أَحَدَكُمَا كَاذِبٌ، فَهَلْ مِنْكُمَا تَائِبٌ؟» فَأَبَيَا. فَقَالَ: «اللَّهُ يَعْلَمُ أَنَّ أَحَدَكُمَا كَاذِبٌ، فَهَلْ مِنْكُمَا تَائِبٌ؟» فَأَبَيَا، فَفَرَّقَ بَيْنَهُمَا. قَالَ أَيُّوبُ: فَقَالَ لِي عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ: إِنَّ فِي الحَدِيثِ شَيْئًا لاَ أَرَاكَ تُحَدِّثُهُ؟ قَالَ: قَالَ الرَّجُلُ: مَالِي؟ قَالَ: قِيلَ: «لاَ مَالَ لَكَ، إِنْ كُنْتَ صَادِقًا فَقَدْ دَخَلْتَ بِهَا، وَإِنْ كُنْتَ كَاذِبًا فَهُوَ أَبْعَدُ مِنْكَ

Maksudnya:  “Seorang lelaki menuduh isterinya berzina.” Maka beliau berkata: “Nabi SAW memisahkan satu pasangan daripada Bani ‘Ajlan.” Dan Baginda bertanya: “Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kamu berdua telah berdusta, maka adakah antara kamu yang ingin bertaubat?” Namun kedua-dua mereka enggan. Baginda bertanya lagi: “Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kamu berdua telah berdusta, maka adakah antara kamu yang ingin bertaubat?” Namun kedua-dua mereka tetap enggan. Baginda bertanya lagi: “Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kamu berdua telah berdusta, maka adakah di antara kamu yang ingin bertaubat?” Namun kedua-dua mereka masih enggan, lalu Baginda memisahkan mereka berdua. Ayyub berkata: ‘Amr bin Dinar berkata kepadaku: “Sesungguhnya dalam hadith ini ada sesuatu yang aku tidak melihatmu menceritakannya.” Dia (‘Amr bin Dinar) berkata: Lelaki itu bertanya: “Bagaimana dengan hartaku (yang telah aku berikan kepadanya sebagai mahar)?” Dia (‘Amr bin Dinar) berkata: Dijawab (Baginda kepada lelaki tersebut): “Tidak ada harta bagimu, jika kamu bercakap benar, kamu telah pun menyetubuhinya, dan jika kamu berdusta, maka ia (tuntutan itu) teramat jauh daripadamu (tidak patut memintanya).”

Riwayat al-Bukhari (5311)

Hadith ini menunjukkan bahawa seorang suami yang melakukan sumpah li‘an tidak berhak mendapatkan apa-apa daripada mahar yang telah diberikan kepada isterinya. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, oleh Abd al-Qadir Syaibah al-Hamd, 7/266)

Selain itu juga, Ibn Battal menyebutkan: Mahar bagi wanita yang terlibat dalam sumpah li‘an adalah wajib diberikan kepadanya (isteri) berdasarkan ijma‘ ulama. Hal ini kerana mereka berdua telah berada dalam ikatan perkahwinan yang sah sebelum berlakunya sumpah li‘an. Malahan, jika seseorang lelaki menyetubuhi seorang wanita dalam keadaan syubhah, mahar tetap wajib diberikan kepadanya, apatah lagi dalam situasi pernikahan yang sah. Ibn al-Munzir berkata: Dalam hadith Ibn Umar terdapat dalil yang menunjukkan kewajipan mahar baginya, dan suami tidak berhak menuntut kembali mahar tersebut daripadanya, sekalipun isteri mengakui telah melakukan zina. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/474)

Menurut Imam al-Nawawi dalam isu ini beliau menyatakan: Dalam hal ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa mahar menjadi hak isteri dengan berlakunya persetubuhan, dan ia juga menjadi bukti kewajipan mahar bagi wanita yang terlibat dalam sumpah li‘an setelah berlakunya hubungan suami isteri. Kedua-dua perkara ini disepakati oleh para ulama. Selain itu, jika wanita tersebut mengakui kebenaran dakwaan suami dan mengakui telah melakukan zina, mahar tersebut tetap tidak gugur. (Lihat Mausu’ah al-Ijma’ fi Fiqh al-Islami, 3/357)

Kesimpulan

Mahar ialah pemberian wajib yang menjadi hak mutlak isteri sebaik sahaja berlangsungnya akad perkahwinan. Hak ini tidak boleh dilucutkan atau dituntut semula oleh suami, walaupun berlaku konflik seperti sumpah li‘an yang membawa kepada pembubaran perkahwinan. Mahar kekal menjadi milik isteri kerana ia melambangkan penghormatan syarak terhadap kedudukan isteri dalam institusi perkahwinan. Bahkan, hak ini tidak gugur meskipun isteri mengakui kesalahan seperti zina. Ketetapan ini mencerminkan keadilan Islam dalam melindungi dan mengekalkan hak wanita dalam ikatan perkahwinan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam