#7805: Amalan yang Membawa kepada Kekufuran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan amalan-amalan yang boleh membawa kepada kekufuran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

(Surah al-Ma’idah: 54)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Allah mengkhabar bahawa Dia Maha Kaya terhadap alam semesta dan bahawa sesiapa yang murtad dari agama-Nya, maka Dia tidak merugikan Allah sedikit pun, akan tetapi merugikan dirinya sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 2/106)

Tidak dapat dinafikan, di sana terdapat amalan-amalan yang boleh membawa seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kekufuran, dan seterusnya mengeluarkan pelakunya dalam kalangan orang Islam daripada lingkungan atau daerah agama Islam. Kami nyatakan di sini sebahagian daripadanya seperti mana berikut:

Pertama: Mensyirikkan Allah.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya).”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.”(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/129)

Menurut Ibn al-Jauzi pula: Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Diriwayatkan daripada Abi Bakrah Nafi’ Bin Harith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6919)

Begitu juga firman Allah SWT:

إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.”

(Surah al-Ma’idah: 72)

Antara yang termasuk yang demikian  adalah memohon doa dari orang mati, memohon pertolongan kepada mereka, bernazar, dan menyembelih untuk mereka.

Kedua: Sesiapa yang menjadikan perantara di antara dirinya dan Allah dengan memohon doa daripada mereka dan meminta syafaat dari mereka, serta bertawakal kepada mereka, maka sesungguhnya dia telah kufur menurut ijma‘. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ

Maksudnya: “Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): ‘Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya’.”

(Surah al-Zumar: 3)

Ketiga: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrik, atau ragu-ragu tentang kekufuran mereka, atau menguatkan keyakinan mereka, maka dia telah kufur.

Telah dinyatakan dalam Syarh Nawaqidh al-Islam bahawa: Barangsiapa yang tidak mengkafirkan golongan ini, maka dia juga kafir. Seperti  mengatakan: Bahawa orang Yahudi dan Nasrani itu memeluk agama yang benar, dan terdapat juga golongan yang mengatakan: Bahawa penyembah berhala itu benar, dan agama mereka juga benar!! Maka barangsiapa yang tidak mengkafirkan kekufuran seseorang terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka dia juga kafir. (Lihat Syarh Nawaqidh al-Islam, hlm. 22)

Keempat: Sesiapa yang meyakini bahawa petunjuk selain Nabi SAW lebih sempurna daripada petunjuknya, atau hukum selain daripada hukumnya lebih baik daripadanya, seperti mereka yang mengutamakan hukum-hukum taghut daripada hukum yang dibawa oleh nabi, maka dia adalah kafir.

Hal ini juga sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

(Surah al-Maidah:44)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: Menghukum dengan selain daripada apa yang Allah turunkan adalah perbuatan ahli kafir, dan mungkin perbuatan kufur ini mengeluarkan seseorang dari agamanya, jika dia beriktikad akan keharusannya. Ia juga boleh menjadi salah satu dari dosa besar, dan dari perbuatan-perbuatan kafir yang menyebabkan pelakunya layak menerima azab  yang pedih. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.232)

Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-‘Aqadiyyah (6/456) bahawa sesiapa yang mengatakan, terdapat petunjuk yang lebih baik daripada petunjuk Rasulullah SAW atau serupa dengannya seperti mendapatkan petunjuk kepada Allah melalui falsafah, jalan falsafah, agama Sabi (agama kuno), tasawuf, atau yang lainnya; maka orang tersebut adalah murtad kafir. Begitu juga jika seseorang percaya bahawa terdapat hukum yang lebih baik daripada hukum Nabi SAW, seperti percaya bahawa hukum berdasarkan undang-undang lebih baik daripada hukum syariat, maka dia adalah murtad menurut ijma‘ umat Islam. Demikian juga, jika seseorang percaya bahawa hukum berdasarkan undang-undang adalah serupa dengan hukum syariat, dia juga akan dianggap kafir.

Kelima: Sesiapa yang membenci sesuatu dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, walaupun dia melakukannya, dia telah kufur, seperti firman Allah SWT:

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ

Maksudnya: “Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syara‘ yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.”

(Surah Muhammad: 9)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa sesiapa yang  mengingkari apa yang diketahuinya tentang agama Islam secara pasti, maka dia dihukum sebagai murtad dan kafir, kecuali jika dia baru mengenal Islam, atau dibesarkan di padang pasir yang jauh, atau seumpamanya, yang mana maklumat tersebut tidak sampai kepadanya. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 1/150)

Keenam: Penghinaan kepada Allah SWT. Sesiapa yang menghina dan mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا ‎﴿٥٧﴾‏ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا ‎﴿٥٨﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

(Surah al-Ahzab: 57-58)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT memperingatkan dan mengancam orang yang menyakiti Allah dengan menentang perintah-perintah-Nya dan melanggar larangan-larangan-Nya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut, juga menyakiti Rasul-Nya dengan mencelanya atau merendahkan martabatnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/480).

Menyakiti atau menghina Allah SWT dalam hal ini tidak bermaksud membahayakan dan memudaratkan Allah SWT. Dalam sebuah hadith qudsi riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

 يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّوْنِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُوْنِي

Maksudnya:  “Wahai hamba-Ku sesungguhnya tidak ada kemudaratan yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang dapat kamu berikan kepada-Ku.”

Riwayat Muslim (2577)

Allah SWT juga sudah mengutuk bagi orang yang menyakiti atau menghina-Nya. Laknat atau kutukan itu merupakan pengusiran hamba daripada rahmat di dunia dan juga di akhirat. Manakala, ketika mana Allah SWT menyebutkan sesudah itu berkenaan orang yang menyakiti orang beriman, dan Allah tidak menyebutkan kutukannya dalam dunia dan juga akhirat. Hal ini kerana manusia tidak dianggap sebagai kafir apabila saling menghina dan menyakiti antara satu sama lain dengan cara mengutuk, menuduh, mencela dan seumpamanya.

Mencela dan menghina Allah SWT merupakan kufur di atas kekufuran dan ia berada di atas kekafiran daripada para penyembah berhala kerana mereka menyembah berhala serta mengagungkan batu dengan tujuan untuk mengagungkan Allah SWT. Itulah kesyirikan yang berlaku iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu dengan yang lain. Sesiapapun yang menghina Allah SWT bermaksud dia sudah menempatkan Allah SWT pada darjat di bawah batu dengan mencela-Nya, sementara orang musyrikin pula tidak mencela sembahan mereka meskipun sambil bermain sebab mereka mengagungkan-Nya.

Ibn Qudamah menyebutkan, sesiapa yang mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir, sama ada dia melakukan dalam keadaan bergurau atau tidak. (Lihat al-Mughni, 9/28).

Ketujuh: Penghinaan kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang mencerca dan menghina Baginda SAW, boleh menyebabkan pelakunya dianggap murtad, bahkan sebahagian ulama menyatakan dia wajib dibunuh.

Secara umumnya, terdapat banyak dalil pengharaman perbuatan menghina dan mencerca Rasulullah SAW, sama ada dalil al-Quran mahupun al-Sunnah. Di antara dalil al-Quran adalah seperti firman Allah SWT:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).’ Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan dia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.’ Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Taubah: 61)

Al-Tabari menyebutkan, bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW dengan perkataan-perkataan mereka dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan juga mereka yang berkata dengan mulut yang celupar lagi batil, maka bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 11/534).

Begitu juga Allah SWT ada berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

(Surah al-Ahzab: 57)

Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya, Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya di dunia dan di akhirat, serta menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan mereka kekal di dalam azab itu selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim,  6/480).

Selain daripada itu, al-Maraghi menyatakan, terdapat sebahagian manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia telah menyakiti Allah SWT, dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia telah mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka — yang menyakiti Baginda — daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk. Kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan dimasukkan ke dalam neraka yang membakar tubuhnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/35).

Selain itu, al-Maraghi juga ada menjelaskan bahawa menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya adalah sama seperti menyakiti Baginda semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang beriman daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ia termasuk dosa dan kederhakaan yang paling besar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/146).

Seterusnya, di antara dalil al-Sunnah adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ: فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ: أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ: ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ

Maksudnya:Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan dia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya, namun dia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: ‘Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (yakni perbuatannya).” Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ialah suaminya, akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehinggalah aku telah membunuhnya.’ lalu Nabi SAW bersabda: ‘Ketahuilah bahawasanya darah wanita itu adalah sia-sia (halal).’

Riwayat Abu Daud (4361)

Terdapat sebuah athar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Beliau telah menulis kepada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini, maka keluarlah engkau dengannya ke Kunasah (yakni tempat pembuangan sampah) lalu engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu adalah lebih aku suka. Hal ini kerana, tidak halal membunuh seseorang Muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang itu mencela Rasulullah SAW.” (Lihat al-Muhalla, 14/434).

Berdasarkan dalil-dalil ini, tidak syak lagi bahawa isu penghinaan terhadap Baginda Nabi SAW adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dipermainkan. Ini kerana perbuatan menghina Nabi SAW boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kekufuran, di mana pelakunya boleh dianggap murtad dan kafir, bahkan wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Di antaranya, pendapat Imam Malik dan al-Auza‘i yang menyatakan bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/212).

Selain itu, Ibn Munzir telah menukilkan dalam kitabnya mengenai kesepakatan ulama — yakni ijma‘ — bahawa sesiapa yang mencela Nabi SAW, maka wajib dibunuh. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 128). Bahkan Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafi‘i menyebutkan, sesiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh Baginda secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani, 12/348).

Begitu juga Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyebutkan, sesiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.’” (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/9).

Kelapan: Penghinaan kepada al-Quran.

Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.

Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ada menukilkan daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesanannya bahawa:

لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ

Maksudnya:Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/216).

Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Oleh itu, perbuatan menghina atau merendah-rendahkan al-Quran bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan kerana berkemungkinan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur.

Kesembilan: Penghinaan kepada syariah.

Syariah Islam sering dikatakan lebih anjal dan fleksibel sehingga menjadi hujah untuk mengatakan bahawa sememangnya Islam sejak dahulu lagi menganjurkan sifat keterbukaan atau inklusif. Hal ini kerana syariah lebih cenderung kepada kefahaman atau interaksi umat Islam terhadap sumber-sumber syarak untuk menghasilkan sesuatu hukum. Secara ringkas syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Namun begitu apabila disebut akidah dan syariah, kebiasaannya syariah akan lebih didefinisikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di dunia.

Di dalam syariah, sekiranya terdapat nas-nas yang jelas tentang hukum sesuatu permasalahan, maka tidak boleh sekali-kali berijtihad walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hukumnya di sini adalah sama dengan perkara-perkara aqidah yang jelas yang tidak dibenarkan untuk berijtihad. Contohnya, terdapat nas yang mengharamkan riba, maka tidak harus lagi berijtihad tentang hukumnya. Begitu juga seumpama telah ada nas tentang wajib membahagikan harta pusaka dengan kadar satu nisbah dua kepada waris lelaki dan perempuan, maka tidak harus lagi berijtihad untuk memberi kadar yang sama rata antara lelaki dan perempuan.

Seseorang yang memungkiri salah satu hukum daripada hukum-hukum syarak yang sabit dengan dalil qat‘i (putus dan jelas) atau mendakwa terdapat unsur-unsur kekerasan pada hukum tertentu seumpama hudud, atau mendakwa kedapatan beberapa hukum syarak yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan adalah dianggap sebagai kekufuran dan boleh terkeluar daripada Islam. Hal ini kerana perbuatan tersebut seolah-olah menghina syariat Islam dengan menganggap syariat Islam tidak sempurna sehingga perlu dipertikaikan akan pensyariatannya. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 245-247).

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ ٦٥ لَا تَعْتَذِرُوا۟ قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.’ Katakanlah: ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?’ (65) Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.

(Surah al-Taubah: 65-66)

Syeikh al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehingga mereka berbicara tentang perkara yang lain. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 98/5).

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz turut menyatakan bahawa merendahkan syurga, neraka, atau merendahkan kenikmatan penduduk syurga, atau apa-apa yang disebutkan tentang kenikmatan mereka, atau tentang seksaan penduduk neraka, maka merendah-rendahkan perkara-perkara ini adalah daripada kekufuran yang besar, dan merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan Islam menurut Ahli Sunnah.[1]

Kesepuluh: Sihir, termasuk daripadanya adalah sihir pemisahan dan sihir cinta. Sesiapa yang melakukannya atau merestuinya, dia telah jatuh ke dalam kekafiran. Demikian ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ

Maksudnya: “Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”

(Surah al-Baqarah: 102)

Menurut Zakariyya al-Ansari, perbuatan sihir adalah haram. Jika dia beriktikad bahawa perbuatan sihir adalah harus, maka jelas dia telah kufur. Jika dia sengaja belajar, mengajar dan melakukan sihir, maka perbuatannya itu adalah perbuatan yang dianggap dosa. Beliau menjelaskan lagi, setiap perkara berkaitan sihir adalah dosa kerana boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 4/82)

Tambahan lagi, sebahagian para ulama menyatakan bahawa jika sihir tersebut boleh membawa mudarat sehingga membunuh orang lain, orang yang melakukan sihir boleh dikenakan hukum qisas. Perkara ini dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari (10/236).

Kesebelas: Menyokong golongan musyrik dan membantu mereka untuk menentang orang-orang Islam. Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

(Surah al-Ma’idah: 51)

Ibn Jauzi menyatakan bahawa  ayat ini terdapat padanya dua pandangan iaitu:

Pertama: Sesiapa yang memihak kepada mereka dalam agama, maka sesungguhnya dia dari kalangan mereka dalam kekufuran.

Kedua: Sesiapa yang memihak kepada mereka dalam perjanjian, maka sesungguhnya dia dari golongan mereka dalam melanggar perintah. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilmi al-Tafsir, 1/558 )

Kedua belas: Sesiapa yang meyakini bahawa seseorang boleh keluar dari syariat Muhammad SAW, maka dia kafir berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

(Surah Ali Imran: 85)

Abu Hayyan menyatakan, semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut al-Sabuni pula, sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/137).

Inilah sebahagiannya yang dapat kami nukilkan sebagaimana yang dinyatakan dalam  al-‘Aqidah al-Sahihah wa ma Yudhaduha wa Nawaqidh al-Islam (hlm. 37-39) dengan sedikit olahan dan penambahan daripada kami.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

 

Nota hujung;

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/30168/% Diakses pada 3 April 2024