Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hadith pinangan Rasulullah SAW kepada Ummu Hani’? Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa Ummu Hani’ ialah ‘first love’ Rasulullah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terdapat beberapa riwayat yang digunakan oleh sebahagian pihak sehingga mereka mendakwa bahawa Ummu Hani’ ini merupakan cinta pertama Rasulullah SAW. Sebelum memberikan ulasan berkenaannya, suka untuk kami bawakan terlebih dahulu riwayat-riwayat tersebut agar para penuntut ilmu dapat menilai status hadith ini dengan baik dan berpandukan disiplin ilmu hadith.
Berdasarkan pencarian kami, terdapat dua riwayat yang menceritakan tentang pinangan Rasulullah SAW terhadap Ummu Hani’. Pinangan tersebut dikatakan pertama kalinya berlaku semasa Ummu Hani’ masih belum memeluk Islam, dan pinangan kedua pula setelah beliau sudah memeluk Islam.
Pinangan Sebelum Keislaman Ummu Hani’
Kisah pinangan Ummu Hani’ sebelum zaman keislamannya ini diceritakan dalam riwayat Ibn Sa‘d dalam al-Tabaqat al-Kubra (8/120):
أَخْبَرَنَا هِشَامُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ السَّائِبِ الْكَلْبِيُّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَبِي طَالِبٍ ابْنَتَهُ أُمَّ هَانِئٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، وَخَطَبَهَا هُبَيْرَةُ بْنُ أَبِي وَهْبٍ بْنِ عَمْرٍو بْنِ عَائِذٍ بْنِ عِمْرَانَ بْنِ مَخْزُومٍ. فَتَزَوَّجَهَا هُبَيْرَةَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا عَمِّ، زَوَّجْتَ هُبَيْرَةَ وَتَرَكْتَنِي؟ فَقَالَ: يَا ابْنَ أَخِي، إِنَّا قَدْ صَاهَرْنَا إِلَيْهِمْ، وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ. ثُمَّ أَسْلَمَتْ فَفَرَّقَ الإِسْلامُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ هُبَيْرَةَ، فَخَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَتْ: وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأُحِبُّكَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَكَيْفَ فِي الإِسْلامِ؟ وَلَكِنِّي امْرَأَةٌ مُصِيبَةٌ وَأَكْرَهُ أَنْ يُؤْذُوكَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْمَطَايَا نِسَاءُ قُرَيْشٍ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ
Maksudnya: “Hisyam bin Muhammad bin al-Sa‘ib al-Kalbi mengkhabarkan daripada bapanya, daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas, beliau berkata: Nabi SAW telah datang kepada Abu Talib untuk melamar anak perempuannya, Ummu Hani’ pada zaman Jahiliyyah (yakni sebelum Baginda menjadi Rasul). Dalam masa yang sama juga, Ummu Hani’ turut dilamar oleh Hubairah bin Abu Wahb bin ‘Amr bin ‘A’iz bin ‘Imran bin Makhzum. Namun Abu Talib mengahwinkan Ummu Hani’ dengan Hubairah, lalu Nabi SAW bertanya: ‘Wahai pakcik, mengapa pakcik kahwinkan Ummu Hani’ dengan Hubairah dan menolak pinanganku?’ Maka Abu Talib menjawab: ‘Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kami mempunyai hubungan kerabat hasil perkahwinan yang lalu dengan mereka, orang kaya dan mulia selayaknya bersama dengan orang ternama dan mulia juga’. Kemudian, Ummu Hani’ memeluk Islam dan Islam memisahkan antaranya dan Hubairah (kerana Hubairah enggan memeluk Islam). Lalu Rasulullah SAW melamarnya untuk diri Baginda, dan beliau berkata: ‘Demi Allah, sesungguhnya aku telah mencintaimu semasa jahiliyyah, apatah lagi ketika dalam Islam? Akan tetapi aku ialah seorang wanita yang mempunyai anak-anak dan aku tidak suka mereka menyakitimu.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Sebaik-baik para wanita yang menunggang belakang unta ialah para wanita quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak yang masih kecil dan sangat pandai memelihara harta suami yang ada pada tangannya’.”
Pinangan Setelah Keislaman Ummu Hani’
Kisah pinangan Ummu Hani’ pada zaman keislamannya pula telah disebutkan dalam banyak riwayat. Antaranya, hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ أُمَّ هَانِئٍ بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ! إِنَّي قَدْ كَبِرْتُ، وَلِي عِيَالٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْإِبِلَ صَالِحُ نِسَاءِ قُرَيْشٍ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah meminang Ummu Hani’ binti Abu Talib, lalu beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku ini sudah berumur, dan aku mempunyai anak.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sebaik-baik perempuan yang menunggang unta (wanita arab) ialah wanita Quraisy yang solehah. Dia sangat penyayang terhadap anak yang masih kecil dan sangat pandai memelihara harta suami yang ada pada tangannya’.”
Riwayat Muslim (2527)
Terdapat juga sebuah riwayat lain daripada Abdullah bin Namir, daripada Isma‘il bin Abu Khalid, daripada ‘Amir bin Syarahil al-Sya‘bi, katanya:
خَطَبَ رَسُولُ اللهِ ﷺ أُمَّ هَانِئٍ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ سَمْعِي وَبَصَرِي، وَحَقُّ الزَّوْجِ عَظِيمٌ، فَأَخْشَى إِنْ أَقْبَلْتُ عَلَى زَوْجِي أَنْ أُضَيِّعَ بَعْضَ شَأْنِي وَوَلَدِي، وَإِن أَقْبَلْتُ عَلَى وَلَدِي أَنْ أُضَيِّعَ حَقَّ الزَّوْجِ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: إِنَّ خَيْرَ نِسَاءٍ رَكِبْنَ أَعْجَازَ الْإِبِلِ صَالِحُ نِسَاءِ قُرَيْشٍ، أَخْشَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرٍ، وَأَرْعَاهُ عَلَى بَعْلٍ بِذَاتِ يَدٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah meminang Ummu Hani’, lalu beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari pendengaranku dan penglihatanku. Hak suami itu amatlah besar, maka aku khuatir sekiranya aku berikan perhatian kepada suamiku, aku akan terlepas pandang sebahagian urusanku serta anakku. Aku juga khuatir sekiranya aku berikan perhatian kepada anakku, aku akan terlepas pandang akan hak suamiku.’ Rasulullah SAW kemudian bersabda: ‘Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang menunggang belakang unta adalah wanita yang paling solehah dari kalangan Quraisy. Dia sangat penyayang terhadap anak yang masih kecil dan sangat pandai memelihara harta suami yang ada pada tangannya’.”
Ibn Sa‘d membawakan riwayat ini dalam al-Tabaqat al-Kubra (8/120), manakala al-Albani pula membawakan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (6/63) dan beliau menilai sanad riwayat ini sebagai sahih, akan tetapi ia adalah mursal. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga menilai sanad riwayat yang dibawa oleh Ibn Sa‘d menerusi jalur ‘Amir bin Syarahil al-Sya‘bi ini sebagai sahih. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/485)
Isu yang Timbul Tentang Kisah Ummu Hani’
Berkenaan isu yang timbul berkaitan kisah Ummu Hani’, kami nyatakan seperti berikut:
- Pinangan Nabi SAW kepada Ummu Hani’ ditolak dua kali
Setakat pencarian kami, kami mendapati sekurang-kurangnya terdapat dua kali pinangan atau lamaran Baginda SAW kepada Ummu Hani’. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian ahli sejarah yang menyebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah meminang anak perempuan bapa saudaranya, Ummu Hani’ binti Abu Talib, sebanyak dua kali. Pinangan Baginda kali pertama berlaku pada zaman jahiliyyah, namun pinangan tersebut ditolak oleh Abu Talib. Manakala pinangan kali kedua pula berlaku pada zaman Islam, namun Ummu Hani’ sendiri yang menolaknya kerana usianya yang sudah tua dan mempunyai anak-anak.
- Pinangan kali pertama
Berkenaan dengan kenyataan ini, terdapat riwayat menyebutkan bahawa Baginda SAW pernah meminang Ummu Hani’ semasa zaman Jahiliyyah. Riwayat itu ada dinyatakan oleh Ibn Sa‘d dalam al-Tabaqat al-Kubra (8/120) menerusi jalur sanad Hisyam bin Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi, yang mengkhabarkan daripada bapanya, daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas R.A.[1] Demikianlah juga yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah (8/317) dari jalur Ibn al-Kalbi daripada bapanya, daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas R.A.
Hadith di atas, secara zahirnya jelas menunjukkan bahawa sememangnya Nabi SAW ada meminang Ummu Hani’ ketika zaman Jahiliyyah, dan pada masa yang sama Ummu Hani’ turut dipinang oleh lelaki lain yang bernama Hubairah. Namun pinangan Nabi itu ditolak oleh Abu Talib dan Ummu Hani’ dikahwinkan dengan Hubairah berdasarkan sebab yang dinyatakan.
Sekalipun begitu, riwayat ini sanadnya terlalu dha‘if (sangat lemah). Ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bermasalah. Hisyam adalah seorang yang matruk (ditinggalkan hadithnya) dan tidak thiqah. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dan juga Syamsuddin al-Zahabi bahawa Hisyam bin Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi, Abu al-Munzir meriwayatkan daripada bapanya, Abu al-Nadhr al-Kalbi, yang merupakan seorang ahli tafsir, dan juga meriwayatkan daripada Mujalid. Begitu juga ramai yang meriwayatkan (hadith) daripadanya. Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan, Hisyam hanyalah seorang pencerita dan ahli nasab, dan aku tidak rasa ada sesiapa yang akan meriwayatkan hadith daripadanya. Manakala al-Daraqutni dan ulama selainnya pula menyebutkan, Hisyam adalah seorang yang matruk (ditinggalkan hadithnya). Begitu juga Ibn ‘Asakir ada menyebutkan bahawa Hisyam adalah seorang syiah Rafidhah yang tidak thiqah (tidak dipercayai). Selain itu, al-Balazari juga ada menyatakan, Hisyam tidak dipercayai. (Lihat Lisan al-Mizan, 6/196; Mizan al-I‘tidal, 4/304-305).
Begitu juga bapanya, Muhammad bin Sa‘ib dikritik oleh para ulama dan dituduh sebagai pendusta (muttaham bi al-Kazib). Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12/597) menyebutkan, hadith-hadith yang dibawakan oleh Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi tidak boleh dijadikan sebagai hujah.
Selain itu, al-Zahabi menukilkan daripada Ya‘la bin ‘Ubaid, katanya: Al-Thauri berkata: “Berhati-hatilah dengan al-Kalbi.” Lalu dikatakan kepada al-Thauri: “Akan tetapi engkau meriwayatkan daripadanya.” Beliau menjawab: “Aku tahu yang mana beliau bercakap benar dan yang mana beliau berdusta.” Tambahan pula, al-Zahabi ada menukilkan daripada Imam al-Bukhari yang menyebutkan, Abu al-Nadhr al-Kalbi (hadithnya) ditinggalkan oleh Yahya dan Ibn Mahdi. Kemudian Imam al-Bukhari menyebutkan, Ali berkata: Yahya menyampaikan kepada kami, daripada Sufyan, (bahawa) al-Kalbi berkata kepadaku:
كُلُّ مَا حَدَّثْتُكَ عَنْ أَبِي صَالِح فَهُوَ كَذِبٌ
Maksudnya: “Semua yang aku riwayatkan kepada kamu daripada Abu Soleh adalah dusta.” (Lihat Mizan al-I‘tidal, 3/557).
Selain itu, Sufyan juga ada menyebutkan, al-Kalbi berkata: Abu Soleh berkata kepadaku:
انْظُرْ كُلَّ شَيْءٍ رَوَيْتَهُ عَنِّي عَن ابنِ عَبَّاس فَلَا تَرْوِهُ
Maksudnya: “Lihatlah segala sesuatu yang engkau riwayatkannya daripadaku, daripada Ibn ‘Abbas, maka janganlah meriwayatkannya.” (Lihat Mizan al-I‘tidal, 3/557; al-Kamil fi al-Dhu‘afa’, 2/255).
Begitu juga, Ibn Ma‘in berkata: Yahya bin Ya‘la berkata, daripada bapanya, katanya: “Aku sering pergi kepada al-Kalbi untuk membaca al-Quran kepadanya, kemudian aku mendengarnya berkata: ‘Aku pernah sakit lalu aku lupa apa yang aku hafal (daripada al-Quran). Kemudian, aku datang kepada keluarga Muhammad SAW dan mereka meludah ke dalam mulutku, lalu aku mengingati kembali apa yang aku telah lupa.’” Maka aku (iaitu Ya‘la) berkata: ‘Tidak, demi Allah, aku tidak akan meriwayatkan apa-apa daripada kamu selepas ini,’ lalu aku pun meninggalkannya.” Selain daripada itu, Ibn ‘Adi ada menyebutkan, Sufyan, Syu‘bah dan sekelompok ulama telah meriwayatkan daripada al-Kalbi, dan mereka meredhainya dalam bidang tafsir. Namun, dalam bidang hadith, di sisinya terdapat perkara-perkara yang mungkar, terutamanya apabila dia meriwayatkan daripada Abu Soleh, daripada Ibn Abbas.
Selain itu, turut dinukilkan daripada Mizan al-I‘tidal bahawa Ahmad bin Zuhair ada menyebutkan: Aku pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal: “Adakah dibolehkan untuk melihat tafsir al-Kalbi?” Beliau menjawab: “Tidak.” Begitu juga al-Juzajani dan selainnya menyebutnya sebagai pendusta. Manakala al-Daraqutni dan sekelompok ulama menyebutnya sebagai matruk (orang yang ditinggalkan hadithnya). Bahkan Ibn Hibban mengkritiknya dengan keras dengan menyatakan bahawa mazhabnya (pegangannya) dalam agama dan pendustaannya begitu jelas sehingga tidak memerlukan lagi kepada penjelasan yang mendalam. (Lihat Mizan al-I‘tidal, 3/557-559).
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa sanad riwayat ini tertolak. Malah, ia dibuktikan lagi dengan penyataan Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi sendiri yang jelas menyatakan dan mengakui mana-mana riwayatnya daripada Abu Soleh adalah palsu. Sebahagiannya menyatakan, mana-mana riwayatnya daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas. Justeru, hadith ini tidak boleh diterima dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah kerana sanadnya sangat bermasalah. Sehubungan itu, kami berpendapat bahawa riwayat berkenaan pinangan pertama ini tidak benar untuk dikaitkan dengan Baginda SAW, kerana mana-mana perawi yang ditinggalkan dan dituduh sebagai pendusta, maka hukum asal terhadap riwayat yang dibawakannya adalah tertolak sehinggalah dibawakan riwayat lain yang diterima sebagai sokongan.
Berdasarkan perbahasan ini juga, jelas tertolak dakwaan sebahagian pihak yang cuba mendokong riwayat-riwayat yang lemah dengan membawakan cuplikan video Syeikh Dr. Sa‘id al-Kamali, salah seorang ulama’ ulung dari bumi Maghribi.[2] Menurut beliau, apabila suatu riwayat itu berkenaan sirah peperangan atau hari-hari terdahulu, maka tidak perlu dibawakan sama ada riwayat tersebut sahih atau tidak; atas dasar bahawa periwayatan sirah ini bukanlah perantara yang digunakan untuk istinbat hukum. Akan tetapi, kami membidas semula dengan menekankan kalam Syeikh Sa‘id selanjutnya: “Hadith palsu tidak diterima dalam apa jua konteks, dan ia tidak boleh diriwayatkan kecuali diperjelaskan statusnya.” Kemudian, beliau menukilkan kalam Abu al-Fadhl al-‘Iraqi dalam Alfiyah:
وَسَهَّلُوا فِي غَيْرِ مَوْضُوعٍ رَوَوْا مِنْ غَيْرِ تَبْيِينٍ لِضَعْفٍ وَرَأَوْا
بَيَانَهُ فِي الْحُكْمِ وَالْعَقَائِدِ
“Dan ringankanlah pada apa yang mereka riwayatkan (sirah) selain dari palsu,
tanpa perlu dijelaskan kedha‘ifan riwayatnya. Dan telitilah,
Penjelasannya (riwayat dha‘if) dalam bab hukum-hakam dan aqidah.”
Dalam erti kata mudah, kisah yang dha‘if dalam riwayat sirah itu mungkin tidak menjadi masalah untuk dibawakan, akan tetapi kisah palsu dalam riwayat sirah itu perlu diperjelaskan kepalsuannya kepada masyarakat. Dan sebaik-baiknya, ilmuan agama itulah yang memainkan peranan penting dalam menentukan keabsahan sesebuah kisah itu sebelum ia disampaikan kepada masyarakat awam.
Pinangan kali kedua
Dikatakan selepas Ummu Hani’ memeluk Islam yang berlaku susulan daripada penaklukan kota Makkah, dinyatakan bahawa Nabi SAW telah melamar beliau buat kali kedua. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ أُمَّ هَانِئٍ بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ! إِنَّي قَدْ كَبِرْتُ، وَلِي عِيَالٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْإِبِلَ صَالِحُ نِسَاءِ قُرَيْشٍ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah meminang Ummu Hani’ binti Abu Talib, lalu beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku ini sudah berumur, dan aku mempunyai anak.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sebaik-baik perempuan yang menunggang unta (wanita arab) ialah wanita Quraisy yang solehah. Dia sangat penyayang terhadap anak yang masih kecil dan sangat pandai memelihara harta suami yang ada pada tangannya.’”
Riwayat Muslim (2527)
Nabi SAW telah meminang (berhasrat untuk berkahwin dengan) Ummu Hani’, Fakhitah binti Abu Talib. Maka dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah tua (sekarang berusia) dan aku sudah menjadi seorang wanita tua. Aku mempunyai anak-anak kecil yang akan mengganggu kamu jika kamu mengahwini aku. Sekiranya kamu meninggalkan aku, itu lebih baik bagi aku dan bagi kamu. Dia ingin mengatakan bahawa anak-anak kecilnya mungkin akan menyusahkan Nabi SAW.” (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, 24/194)
Al-‘Iraqi menyebutkan bahawa: “Ummu Hani’ telah meminta maaf kepada Nabi SAW ketika Baginda meminangnya kerana usia tuanya dan kerana dia mempunyai anak-anak. Dia berlemah lembut kepada Nabi SAW supaya Baginda tidak merasa terganggu dengan mengahwini wanita tua, dan juga tidak terganggu dengan berurusan dengan anak-anaknya. Jika orang lain berada dalam situasinya, mereka mungkin akan lebih mementingkan kepentingan diri sendiri tanpa mempedulikan kepentingan suami dan anak-anak.” (Lihat Tarh al-Tathrib, 15/7)
Kisah ini dinilai sebagai kisah yang sahih kerana ia disandarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Imam Muslim di mana Umat Islam telah bersepakat akan kesahihannya.
Dakwaan Ummu Hani’ merupakan “cinta pertama” Nabi SAW
Terdapat dakwaan daripada sesetengah pendakwah selebriti yang menyatakan bahawa Ummu Hani’ adalah “cinta pertama” atau “first love” Nabi SAW. “Cinta pertama atau “first love” ini dalam bahasa mudahnya dapat diertikan sebagai orang pertama yang dicintai secara romantik.[3]
Berkenaan hal ini, pertamanya kami ingin tegaskan bahawa sesuatu kenyataan atau kisah hendaklah bersumberkan dengan dalil-dalil yang kukuh lagi sahih seperti al-Quran dan al-Sunnah terutamanya apabila melibatkan kisah-kisah atau peristiwa berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW. Menukilkan atau menyebutkan kisah-kisah yang tidak ada rujukan yang jelas lagi sahih, dikhuatiri dan dibimbangi boleh membawa kepada pendustaan terhadap Baginda SAW. Ketahuilah, bahawa di sana terdapatnya ancaman yang berat buat mereka yang berdusta atas nama Nabi SAW. Ini sebagaimana sabda Baginda SAW:
مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di neraka.”
Riwayat al-Bukhari (6197) dan Muslim (2134) secara ringkas.
Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1291) dan Ahmad (18202)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan dari neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagi mana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:
Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji, di samping ia juga termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi dikira kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab dari pelbagai sudut.
Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa‘iz (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma‘ umat Islam.
Keempat: Haram meriwayatkan hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Sesiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/69-71)
Sehubungan dengan itu, kami berpendapat, dakwaan bahawasanya Ummu Hani’ merupakan “cinta pertama” atau “first love” adalah tidak berasas dan kenyataan ini juga boleh dipertikaikan. Ini kerana kami mendapati, di sana tidak adanya bukti mahupun rujukan yang kuat sama ada daripada al-Quran dan al-Sunnah, mahupun daripada athar-athar para sahabat yang secara spesifik dan jelas menceritakan tentang peristiwa cinta pertama Nabi SAW. Apatah lagi, ia melibatkan soal dalaman iaitu perbuatan hati, emosi dan jiwa yang tidak ada yang mengetahuinya melainkan hanya Allah SWT. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa cerita-cerita atau dakwaan-dakwaan yang meragukan seumpama ini sepatutnya dijauhkan dan dielakkan daripada disampaikan atau diketengahkan kepada masyarakat, melainkan untuk menjelaskan akan kelemahan dan kepalsuannya.
Pada masa yang sama, sebagai seorang Muslim sepatutnya kena lebih bersikap berhati-hati dan berwaspada dalam menyebarluaskan sebarang cerita dan kisah yang belum dapat dipastikan lagi kesahihan dan kebenarannya, sebelum ia dikongsikan dan disebarkan kepada umum. Hal ini adalah selari sebagaimana kaedah yang menyebutkan:
إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ
Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”
Ingatlah Allah SWT berpesan:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah al-Isra’: 36)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyatakan, janganlah mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung di atas apa yang dikatakan dan dilakukan. Hal ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh itu akan dipertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan. Dan tujuan penciptaannya adalah bertujuan untuk ibadah kepada Allah SWT dan bekerja untuk agama”. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/457).
Seterusnya, apabila kita melihat kisah-kisah perkahwinan Rasulullah SAW, dikisahkan Ummu Hani’ hasil daripada perkahwinannya dengan Hubairah dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu ‘Amr, Ja’dah, Hani’ dan Yusuf. Disebutkan dalam al-Raudh al-Unuf (7/109) bahawa Ja’dah merupakan anaknya yang paling tua.
Perkahwinan pertama Baginda adalah bersama Ummul Mukminin Saidatina Khadijah R.Anha, iaitu ketika berusia 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu berusia 15 tahun lebih tua. Tambahan lagi, junjungan kita Nabi Muhammad SAW tidak berkahwin dengan mana-mana wanita lain semasa bersama dengan Saidatina Khadijah R.Anha sehinggalah beliau wafat pada tahun ke-3 sebelum hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111; Dala’il al-Nubuwwah, 2/351-353; Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 280)
Bermula dari kisah kehidupan Rasulullah SAW sehinggalah wafatnya isteri Baginda Khadijah, tidak ada seorang pun dari kalangan ulama’ – berdasarkan kepada pembacaan kami – yang meriwayatkan tentang luahan rasa hati Baginda SAW terhadap seorang wanita melainkan tingginya kecintaannya terhadap Khadijah. Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa Rasulullah SAW akan memuji dengan sebaik-baik pujian apabila Baginda bercerita tentang Khadijah. Sabda Baginda:
مَا أَبْدَلَنِي اللهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا، قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ، وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ، وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ، وَرَزَقَنِي اللهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla tidak memberikan ganti kepada aku dengan sesiapa yang lebih baik daripadanya (Khadijah). Dia beriman denganku ketika orang lain kufur terhadapku. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia menghilangkan kegusaranku dengan hartanya ketika orang lain menahan hartanya daripadaku, dan Allah mengurniakan rezeki kepadaku dengan anaknya, sedangkan Dia menghalang isteri-isteriku (yang lain) daripada melahirkan anak.”
Riwayat Ahmad (24864). Syeikh Syu‘aib al-Arnaut mengatakan hadith ini berstatus sahih dalam ulasannya terhadap Musnad Ahmad (41/356)
Oleh yang demikian, bagaimana mungkin ada mana-mana pihak yang boleh mengeluarkan dakwaan bahawa Ummu Hani’ R.Anha sebagai “cinta pertama” Baginda, sedangkan riwayat pinangan Baginda SAW pada zaman Jahiliyyah itu sendiri tidak berstatus sahih, sebaliknya perawi-perawi dalam riwayat tersebut dikritik oleh para ilmuan hadith. Bahkan, wanita yang paling layak menjadi suri hati cinta pertama buat junjungan kita Rasulullah SAW, tidak lain adalah Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid R.Anha.
Kesimpulan
Kisah berkenaan Ummu Hani’ pernah dilamar oleh Nabi SAW, namun lamaran tersebut ditolak adalah benar. Akan tetapi, ia hanya berlaku sekali sahaja iaitu, pada tahun pembukaan kota Makkah, sewaktu Ummu Hani’ baru memeluk Islam. Adapun lamaran yang berlaku pada zaman Jahiliyyah adalah tertolak dan tidak dapat diterima kerana sanad riwayatnya terlalu bermasalah, sehinggakan perawinya sendiri memperakui kepalsuan riwayatnya daripada Ibn ‘Abbas R.A. Ia tidak boleh untuk dijadikan sebagai hujah mahupun sandaran sebagaimana yang kami telah bahaskan di atas.
Manakala dakwaan berkenaan “cinta pertama” atau “first love” Nabi SAW adalah Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang tidak ada bukti mahupun rujukan yang tuntas dan absah sama ada daripada al-Quran dan al-Sunnah, mahupun daripada athar-athar para sahabat yang secara spesifik dan jelas menceritakan tentang peristiwa cinta pertama Nabi SAW. Oleh itu, cerita-cerita atau dakwaan-dakwaan yang meragukan seumpama ini sepatutnya dijauhkan dan dielakkan daripada disampaikan atau diketengahkan kepada masyarakat, melainkan untuk menjelaskan akan kelemahan dan kepalsuannya.
Selain itu, kita juga hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada dalam menyampaikan sesuatu, lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan atau berkaitan dengan Nabi SAW kerana dibimbangi kita termasuk dalam golongan yang dikatakan berdusta atas nama Baginda SAW. Ini kerana berdusta atas nama Nabi SAW tidak sama seperti mana berdusta atas nama orang lain. Nabi SAW bersabda:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1291)
Kami mengambil kesempatan di sini agar kita sentiasa berpegang kepada sumber-sumber yang sahih di samping rujukan yang muktabar agar kita sentiasa bersama di atas kebenaran. Adapun kesilapan yang berlaku di kalangan kita adalah perkara biasa bagi manusia walaupun beliau seorang ulama’. Justeru, hendaklah kita berpegang dengan nasihat Saidina Umar R.A kepada Abu Musa al-Asy’ari R.A, antara lain menyebut:
الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل
Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”
Antara cara yang terbaik sudah tentu memohon doa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Sesungguhnya kebenaran itu adalah milik Allah SWT. Justeru marilah kita memohon kepada-Nya serta difaqihkan kita dengan ilmu agar ia menjadi pedoman dalam kehidupan kita. Sekali lagi kami memohon maaf atas kelemahan kami dalam menyediakan Bahth Ilmi ini. Semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua dalam mengetahui hakikat sesuatu perkara dengan sebenarnya.
Nota hujung:
[1] Kami telah membawakan riwayat penuh bagi hadith ini dalam Bab: Pinangan Sebelum Keislaman Ummu Hani’
[2] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=TCIiVQDOdeI. Diakses pada 25 Jun 2024.
[3] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/first%20love. Diakses pada 19 Jun 2024.