Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kaedah berwuduk di atas kapal terbang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syara‘ pula adalah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53).
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Ibn Kathir apabila menghuraikan makna ayat ini mendatangkan beberapa pandangan ulama. Di antaranya, ada yang berpendapat bahawa perintah berwuduk bagi mereka yang sedang dalam hadas dan ingin mendirikan solat. Sebahagian yang lain berpendapat, makna umum daripada ayat di atas menunjukkan perintah berwuduk pada setiap kali ingin mendirikan solat. Ia menjadi kewajipan bagi mereka yang sedang berhadas, dan menjadi perkara sunat bagi mereka yang dalam keadaan suci daripada hadas (kecil). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/29; dan Ma‘alim al-Tanzil, 2/229)
Begitu juga al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Justeru, di antara kaedah yang dicadangkan bagi mengambil wuduk di dalam kapal terbang adalah dengan menggunakan air yang sangat minimum seperti dengan menggunakan spray.
Kami melihat penggunaan spray bagi berwuduk berkait rapat dengan sekurang-kurangnya dua syarat sah wuduk iaitu air yang disembur itu hendaklah dipastikan air mutlak dan air itu hendaklah mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk. Hal ini adalah jelas kerana di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan (iaitu air mutlak) seperti mana kami telah sebutkannya di atas, dan begitu juga kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Selain itu, di antara syarat sah wuduk juga ialah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/70; Lihat Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/95). Oleh itu, ketika menggunakan spray bagi berwuduk hendaklah dipastikan semburan air pada anggota wuduk itu mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk.
Begitu juga di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah mendatangkan syarat-syarat sahnya wuduk di antaranya ialah menggunakan air bersih dan mesti mengalirkan air ke atas anggota wuduk. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/330).
Selain itu, sebelum menyembur air dengan menggunakan spray atau berwuduk dengan air yang sedikit hendaklah juga dipastikan tidak ada apa-apa kotoran atau najis pada anggota wuduk, yang dapat menghalang air daripada sampai pada anggota wuduk. Hal ini kerana menghilangkan najis atau kotoran serta apa-apa yang menghalang air daripada sampai ke anggota wuduk termasuk dalam syarat sah wuduk seperti mana yang disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/70).
Justeru, seseorang yang berwuduk dengan menggunakan spray adalah sah wuduknya jika ia memenuhi semua syarat-syarat sah wuduk.
Sebagai kesimpulannya, di antara kaedah yang dicadangkan untuk berwuduk ketika di dalam pesawat atau kapal terbang adalah sebagaimana berikut:
- Penggunaan air yang minimum dengan kadar yang sedikit.
- Menggunakan spray dan diratakan keseluruhan anggota wuduk.
- Disarankan supaya berwuduk dahulu sebelum menaiki pesawat.
- Hanya melakukan basuhan rukun sahaja dengan sekali basuhan sahaja
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”