Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan panggilan kafir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah al-Mumtahanah: 8-9)
Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)
Isu memanggil masyarakat bukan Islam dengan panggilan ‘Kafir’ telah dibincangkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam sebuah penulisan beliau. Katanya: “Antara bentuk dakwah dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, serta perbahasan yang baik yang dituntut ke atas orang Islam, terutamanya pada era globalisasi ini: Kita tidak berinteraksi dengan mereka yang berlainan fahaman dengan kita menggunakan perkataan ‘Kuffar,’ meskipun kita beriktiqad akan kekufuran mereka. Lebih-lebih lagi apabila yang berlainan fahaman dengan kita itu dari kalangan Ahli Kitab, atas dua alasan berikut:
Pertama: Kalimah ‘Kuffar’ itu mempunyai banyak makna, sebahagiannya tidak dimaksudkan dengan kafir secara yakin, seperti mengingkari kewujudan Allah, Rasul-Nya, dan hari akhirat, sebagaimana keadaan kelompok al-Madiyyun (materialis) yang tidak beriman dengan apa sahaja yang tidak dapat diketahui oleh pancaindera. Maka mereka tidak beriman dengan tuhan, nabi dan juga akhirat.
Kita sebagai muslim, apabila kita berbicara tentang Ahli Kitab, kita tidak menyifatkan mereka sebagai kafir dengan makna tersebut. Sebaliknya yang kita maksudkan adalah kekufuran (tidak menerima) mereka terhadap risalah Muhammad dan agama yang dibawa. Inilah maksud yang sebenar, sepertimana mereka beriktiqad bahawa kita (orang Islam) kufur terhadap agama yang mereka anuti sekarang, ini juga penggunaan yang benar.”
Kedua: Al-Quran mengajarkan kita agar tidak berinteraksi dengan manusia menggunakan ucapan ‘Kafir,’ meskipun mereka sememangnya golongan Kuffar. Perbincangan tentang masyarakat yang tidak beriman di dalam al-Quran, sama ada disebutkan dengan seruan: (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) iaitu “Wahai sekalian manusia,” (يَا بَنِي آدَمَ) iaitu “Wahai anak-anak Adam,” (يَا عِبَادِي) iaitu “Wahai hamba-hamba-Ku,” atau (يَا أهْلَ الْكِتَابِ) iaitu “Wahai Ahli Kitab.”
Di dalam al-Quran tidak menyeru dengan ucapan ‘Kafir’ melainkan pada dua ayat sahaja, pertamanya ketika menceritakan tentang interaksi dengan mereka semasa Hari Kiamat:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَعْتَذِرُوا الْيَوْمَ ۖ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): ‘Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan’.”
(Surah al-Tahrim: 7)
Dan seterusnya dalam firman Allah SWT:
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ﴿١﴾ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٣﴾ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ﴿٤﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٥﴾ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ﴿٦﴾
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadah sepertimana kamu beribadah. Dan kamu pula tidak mahu beribadah sepertimana aku beribadah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.”
(Surah al-Kafirun: 1-6)
Ini merupakan dialog dengan golongan Musyrikin penyembah berhala yang menawarkan kepada Rasulullah untuk menyembah tuhan mereka selama satu tahun, dan mereka pula menyembah Tuhannya (Allah) selama satu tahun. Maka surah ini ingin mematahkan cubaan mereka ini dengan intonasi yang tajam, menggunakan gaya bahasa yang bersifat muktamad, tidak tersisa sebarang ruang untuk bantahan. Rasulullah SAW diperintahkan untuk berdialog bersama mereka dengan surah yang keras ini, terkandung di dalamnya pengulangan serta penegasan, dan disudahi dengan satu ayat yang membuka pintu toleransi dengan agama lain ketika mana disebutkan: ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.” (Lihat Khitabuna al-Islami fi ‘Asr al-‘Aulamah, hlm. 44)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”