#7828: Definisi Tauhid dan Iman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah definisi dan pengertian tauhid dan iman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَـٰنُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah: 163)

Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama: Definisi Tauhid

Tauhid dari segi bahasa menurut al-Qamus al-Muhit bererti menjadikan sesuatu itu satu. (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/324) Menurut Hasyiah al-Bajuri iaitu kitab syarah kepada kitab Jauharah al-Tauhid, ia bermaksud mengetahui bahawa sesuatu itu adalah satu. (Lihat Hasyiah al-Bajuri, hlm. 38)

Istilah tauhid menurut bahasa berasal daripada perkataan arab “وحّد” yang bermaksud menyatukan sesuatu, dan perkataan tersebut menunjukkan sesuatu yang tunggal. Ia dengan erti tidak memiliki kesamaan dari sesuatu. Disebabkan itu, bagi menunjukkan keesaan Allah, maka orang Arab menyebut “اللهُ وَاحِدٌ” yang bermaksud Allah adalah Esa dan tidak ada yang menyamai-Nya dalam segala hal.

Dengan itu perkataan tauhid (توحيد) mengandungi makna pengetahuan tentang ke-Esaan Allah SWT, tiada tandingan, saingan dan yang sama dengan-Nya. Oleh itu, jika seseorang tidak berkeyakinan sedemikian – meng-Esakan Allah – maka sesungguhnya dia tidak bertauhid. (Lihat Tahzib al-Lughah, 5/192-198 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, hlm. 1084, al-Ta’rifat, hlm. 96)

Manakala kalimah tauhid menurut istilah adalah mengesakan Allah terhadap apa sahaja yang khusus bagi-Nya seperti ke-Ilahian, ke-Tuhanan dan nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Penggunaan istilah dan maknanya terdapat dalam beberapa firman Allah SWT dalam al-Quran, antaranya firman-Nya:

قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

(Surah al-Ikhlas (1-4)

Allah SWT turut berfirman:

وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَـٰنُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah: 163)

Imam al-Haramain al-Juwaini ketika menjelaskan makna tauhid menyebut, iaitu meyakini keesaan Allah SWT, yang penjelasannya ditujukan untuk membuktikan secara argumentatif keesaan Allah SWT dan bahawa tidak ada Tuhan selain-Nya. (Lihat al-Syamil fi Usul al-Din, hlm. 351)

Imam al-Junaid ketika ditanya berkenaan tauhid, lalu beliau menjawab: “Menunggalkan Yang Maha Tunggal dengan mewujudkan Wahdaniyah-Nya melalui kesempurnaan Ahadiyah-Nya, bahawa Dia-lah Yang Esa Yang tiada beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sekutu, keraguan dan keserupaan bagi-Nya; tidak perlu ada upaya bertanya bagaimana; tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Lihat al-Luma’ oleh Abu Nasr al-Siraj al-Tusi – tahqiq Syeikh Abd al-Halim Mahmud dan Taha Abd al-Baqi Surur, hlm. 49)

Imam al-Qusyairi pula berkata: “Tauhid ialah kamu mengenali semua alam yang baharu tercipta dengan sebab Allah, yang berdiri dengan-Nya, manakala Dia-lah yang menjalankannya, menumbuhkannya dan mengekalkannya. Tiada satu pun sama ada zarrah atau sekecil-kecilnya dalam mengadakan dan menciptakan, kecuali daripada-Nya.” (Lihat Lata’if al-Isyarat, 2/23)

Kesimpulannya, tauhid ialah ilmu yang mampu menthabitkan kepercayaan dan keyakinan agama yang terhasil daripada dalil yang benar-benar meyakinkan. Ia terkenal sebagai ilmu tauhid kerana perbahasannya lebih tertumpu kepada bidang keesaan Allah.

Kedua : Definisi Iman

Iman dari segi bahasa adalah kepercayaan dan membenarkan. Menurut Ibn Manzur di dalam kitab Lisan al-‘Arab (13/23): “Ulama’-ulama’ bahasa Arab dan yang lainnya telah sepakat menyatakan bahawa pengertian iman adalah percaya dan membenarkan (التصديق). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَالُوا يَا أَبَانَا إِنَّا ذَهَبْنَا نَسْتَبِقُ وَتَرَكْنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَاعِنَا فَأَكَلَهُ الذِّئْبُ ۖ وَمَا أَنتَ بِمُؤْمِنٍ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ

Maksudnya:Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar.”

(Surah Yusuf: 17)

Sementara iman dari segi istilah syara’ pula adalah percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tentang segala ajaran agama yang mudah diketahui, atau seumpamanya dengan dalil-dalil yang meyakinkan.

Nabi Muhammad SAW mentafsirkan pengertian iman di dalam hadith yang panjang yang telah diriwayatkan oleh Umar al-Khattab RA ketika Baginda disoal oleh malaikat Jibril AS: “Beritahulah padaku pengertian iman!” Lalu Baginda SAW menjawab:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: “Bahawa kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari kiamat serta qada’ dan qadar sama ada baik atau buruk.”

Riwayat Muslim (1)

Kalaulah tidak kerana iman kepada Allah SWT yang terpahat kuat di hati para sahabat, ditambah pula tunduk dan yakin kepada-Nya, nescaya kalimat-kalimat al-Quran ini akan lenyap bagai ditiup angin tanpa meninggalkan sebarang kesan di dalam jiwa dan pemikiran mereka.

Pancaran kekuatan iman ini dapat dilihat dalam kata-kata Saidatina Aisyah R.Anha: “Sesungguhnya surah al-Quran yang pendek yang mula-mula diturunkan oleh Allah SWT menyebutkan perihal syurga dan neraka. Apabila manusia kembali kepada Islam, turunlah pula ayat-ayat yang menyebut perkara-perkara halal dan haram.

Sekiranya pada awal-awal lagi ayat tegahan ‘jangan minum arak’ diturunkan, mereka akan berkata: “Demi Allah kami tidak akan meninggalkannya!” Begitu juga sekiranya ayat tegahan ‘jangan kamu berzina’ diturunkan, mereka juga akan menjawab: “Kami tidak akan meninggalkannya.”

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Harith bin Malik Anshari RA terdapat suatu gambaran yang jelas untuk memberikan pengertian kepada kita betapa hebatnya keimanan yang dimiliki oleh sebahagian sahabat Nabi SAW. Inilah gambaran yang cemerlang sekali untuk keimanan seseorang. Dalam hadith tersebut, al-Harith bin Malik al-Ansari R.A berkata bahawa beliau telah bersua dengan Rasulullah SAW. Lalu Baginda bertanya kepadanya:

كَيْفَ أَصْبَحْتَ يَا حَارِثُ ؟ قَالَ : أَصْبَحْتُ مُؤْمِنًا حَقًّا ، فَقَالَ : انْظُرْ مَا تَقُولُ ، فَإِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ حَقِيقَةً ، فَمَا حَقِيقَةُ إِيمَانِكَ ؟ فَقَالَ : قَدْ عَزَفَتْ نَفْسِي عَنِ الدُّنْيَا ، فَأَسْهَرْتُ لَيْلِي ، وَأَظْمَأْتُ نَهَارِي ، وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى عَرْشِ رَبِّي بَارِزًا ، وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى أَهْلِ الْجَنَّةِ يَتَزَاوَرُونَ فِيهَا ، وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى أَهْلِ النَّارِ يَتَضَاغَوْنَ فِيهَا . فَقَالَ : يَا حَارِثُ عَرَفْتَ فَالْزَمْ . ثَلاثًا.

Maksudnya:Bagaimana keadaanmu pagi ini, hai Harith?” Al-Harith menjawab: “Kini aku menjadi orang beriman yang sesungguhnya.” Rasulullah SAW bertanya lagi: “Fikirkanlah apa yang telah kamu katakan itu, kerana sesungguhnya setiap sesuatu itu mempunyai hakikatnya masing-masing. Maka bagaimanakah hakikat imanmu?” Al-Harith menjawab: “Aku menjauhkan diriku daripada duniawi. Aku berjaga di malam hari (untuk beribadat) dan aku menghauskan diriku (dengan melakukan puasa), sehingga seakan-akan diriku melihat ‘Arasy Tuhanku tampak jelas, melihat ahli syurga yang sedang saling berkunjung antara sesama mereka di dalam syurga dan melihat ahli neraka sedang menjerit-jerit di dalamnya.” Lalu Nabi SAW bersabda, “Hai Harith, sekarang engkau telah mengetahui. Maka tetaplah pada jalanmu,” sebanyak tiga kali.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (3/266), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10591), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (74) dan al-Bazzar (6948). Al-Busiri menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah (7/454).

Kami akhiri dengan doa:

رَضِينَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”