#7840: Fadhilat Amalan Zikir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah fadhilat dan kelebihan bagi seorang yang melazimi zikir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai mukadimah perbincangan, kami ingin menjelaskan terlebih dahulu beberapa fadhilat zikir itu sendiri. Antaranya:

Pertama: Terselamat daripada Sifat Lupa Diri

Seseorang yang berzikir secara istiqamah akan terselamat daripada melupakan dirinya sendiri. Melupakan diri sendiri akan menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat. Oleh itu lupa dari mengingati Allah SWT merupakan sebab seseorang itu lupa akan dirinya sendiri serta mengabaikan segala jenis kebaikan untuk dirinya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.”

(Surah al-Hasyr: 19)

Apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya dia lalai daripada segala perbuatan yang boleh membawa kebaikan untuk dirinya. Akhirnya sikap ini akan menjadi sebab kemusnahannya. Sebagaimana seseorang yang melupakan sawah atau ladangnya dan langsung tidak menghiraukan sawah atau ladangnya maka pastilah sawah atau ladangnya itu akan musnah.

Seseorang hanya akan terselamat daripada kebinasaan ini apabila lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Zikrullah juga dikasihinya seperti orang yang kasihkan air semasa dahaga, kasihkan makanan semasa lapar, kasihkan pakaian dan rumah semasa cuaca panas terik atau cuaca dingin.

Bahkan, zikrullah sepatutnya dikasihi lebih daripada keperluan-keperluan di atas. Ini kerana ketiadaan keperluan-keperluan tersebut hanya akan menyebabkan kebinasaan tubuh manusia, tetapi ketiadaan zikrullah mengakibatkan kebinasaan roh dan hati.

Kedua: Meningkatkan Kerohanian

Zikir meningkatkan kerohanian seseorang secara berterusan walaupun seseorang itu berada di atas tilam, di pasar, ketika sihat ataupun sakit dan ketika berseronok-seronok mengecap kenikmatan. Tidak ada suatu amalan lain yang boleh menjadi sebab peningkatan kerohanian pada setiap masa. Oleh itu tidur seseorang yang hatinya bercahaya dengan nur zikir lebih baik daripada seorang yang berjaga sepanjang malam dalam keadaan hatinya lalai.

Ketiga: Dirinya Akan Dilimpahi Nur (Cahaya)

Nur zikrullah akan bersama seseorang itu sama ada di dunia mahupun di dalam kubur dan nur tersebut berada di hadapannya ketika dia melintas titian sirat. Allah SWT berfirman:

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).

(Surah al-An’am: 122)

Orang pertama yang dimaksudkan ialah orang-orang mukmin yang hatinya bercahaya dengan beriman kepada Allah SWT mahbah (mencintai-Nya), makrifat (mengenali-Nya) dan zikrullah (sentiasa mengingati-Nya). Sementara orang yang kedua tidak mempunyai sifat-sifat tersebut.

Sebenarnya nur itu adalah sesuatu yang begitu unggul, dalam nur itu terdapat kejayaan yang sempurna. Justeru, diriwayatkan dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW sentiasa berdoa supaya Allah SWT menjadikan nur pada daging, tulang, otot, rambut, kulit, telinga, mata, di atas, di bawah, di kiri, di hadapan dan di belakang Baginda SAW.

Baginda SAW memohon supaya keseluruhan dirinya dijadikan nur. Mengikut kadar nur daripada zikir, amalan-amalan yang lain akan bercahaya. Amalan daripada sesetengah orang menuju ke langit dalam keadaan seumpama cahaya matahari dan cahaya yang seumpama itulah akan kelihatan pada wajah mereka pada hari kiamat.

Keempat: Terbuka Jalan Menuju Allah SWT

Zikir adalah perkara utama dalam ilmu tasawwuf dan diamalkan oleh setiap ahli tasawwuf dalam tariqat mereka. Sekiranya pintu zikir telah terbuka bagi seseorang, bererti telah terbuka baginya jalan menuju kepada Allah SWT nescaya dia akan mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak ada apa-apa yang berkurangan di sisi Allah SWT.

Kelima: Menjadikan Seseorang Itu Mulia

Di dalam hati manusia ada suatu bahagian yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka zikir bukan sahaja dapat mengisi bahagian hati bahkan menjadikan seseorang itu kaya, walaupun tiada mempunyai harta, menjadikannya dipandang mulia, walaupun tidak mempunyai puak dan bukan dari keturunan bangsawan. Begitu juga, ia akan menjadikannya seperti seorang raja, walaupun tidak mempunyai kerajaan. Sebaliknya seorang yang lalai daripada zikrullah pasti dia akan dihina walaupun dia mempunyai harta kekayaan, keturunan bangsawan dan kerajaan.

Keenam: Menyedarkan Hati yang Lalai

Zikir menyedarkan hati yang tidur dan menjadikan hati itu sentiasa berwaspada daripada kelalaian. Selagi hati masih tidur maka selama itulah manusia di dalam  kerugian.

Zikir merupakan pohon yang menghasilkan buah makrifatullah. Semakin diperbanyakkan zikir itu semakin kukuh tunjang pohon itu, semakin kuat tunjang pohon itu maka semakin banyak buah yang terhasil. Firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا ۚ إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ ۚ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۖ وَمَكْرُ أُولَٰئِكَ هُوَ يَبُورُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: Orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”.

(Surah al-Fatir: 10)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”