#7843: Fadhilat Zikir Hauqalah (لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan fadhilat dan kelebihan daripada zikir hauqalah (لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat banyak fadhilat zikir dengan ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه’. Kami menukilkan di sini daripada kitab Majma’al-Zawaid oleh al-Hafiz Nur al-Din al-Haithami berkenaan dengan fadhilat tersebut. Antaranya :

Pertama: Sebagai pintu syurga

Daripada Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏‏ أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ ‏؟‏‏ قُلْتُ: بَلَى‏.‏ قَالَ :‏ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ‏

Maksudnya: “Adakah kamu mahu aku tunjukkan kepadamu pintu dari pintu-pintu syurga?” Beliau bertanya: “Apakah itu?” Sabda Rasulullah SAW: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Riwayat al-Tirmizi (3581), Ahmad (21996), dan al-Nasaie di dalam Sunan al-Kubra (10189). Syeikh Syuaib al-Arnaout di dalam kitabnya Takhrij al-Musnad (1438) menyatakan hadith ini Hasan li ghairih.

Kedua: Sebagai tanaman syurga

Daripada Abu Ayub al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW pada malam di Isra’kan telah melintasi Ibrahim AS dan Ibrahim AS berkata kepada Baginda SAW:

مُرْ أُمَّتَكَ فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ، فَإِنَّ تُرْبَتَهَا طَيِّبَةٌ، وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ قَالَ: وَمَا غِرَاسُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ “

Maksudnya: Perintahkanlah umatmu dan perbanyakkan dari tanaman syurga kerana tanahnya baik dan tempatnya luas. Tanya Baginda SAW : “Apakah tanaman syurga?” Jawabnya: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Hadith riwayat Ahmad (23552) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (648). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid (10/100) menyatakan Rijalhadith ini semuanya sahih kecuali Abdulllah bin Abd al-Rahman bin Abdullah bin Umar bin al-Khattab, dia adalah thiqah yang tidak dibincangkan oleh sesiapapun dan Ibn Hibban menthiqahkannya.

Ketiga: Sebagai penghapus dosa

Daripada Abdullah bin Amr, katanya : Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَى الأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، إِلَّا كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: Tidak ada sesiapapun di Bumi ini apabila dia berkata, Tiada Tuhan selain Allah dan Allah maha besar dan “‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’” kecuali diampunkan kesalahan-kesalahannya walaupun ianya sebanyak buih di lautan.

Hadith riwayat al-Tirmizi (6460), al-Nasaie di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124) dan Ahmad (6479). Pengarang kitab Sahih al-Jami’ (6536) menilai hadith ini sebagai hasan.

 

Keempat: Diperbanyakkan tanamannya di syurga

Daripada Ibn Umar katanya, Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثِرُوا مِنْ غَرْسِ الْجَنَّةِ فَإِنَّهُ عَذْبٌ مَاؤُهَا طَيِّبٌ تُرَابُهَا، فَأَكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِهَا، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya:Perbanyakkanlah daripada tanaman syurga kerana airnya tawar dan tanahnya baik serta subur. Maka perbanyakkanlah daripada tanamannya dengan menyebut: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله

Hadith riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (12/364). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (1407) menilai hadith ini sebagai hasan.

Kelima: Sebagai penyembuh penyakit

Daripada Abi Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Syeikh Ubaidullah al-Rahmani al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam al-Syaukani berkata: Zahirnya, sesungguhnya zikir ini adalah penawar dengan bilangan yang disebutkan, dan boleh jadi ia adalah lebih daripada itu. Maka maksudnya, ia adalah penawar kepada seluruh penyakit di mana seringan-ringannya ialah al-Hamm (yakni keluh kesah). Penyakit tersebut merangkumi penyakit-penyakit batin seperti takabbur, ‘ujub, syirik tersembunyi, dan hawa nafsu, ataupun yang lebih umum daripada itu. Dan inilah yang jelas.

Manakala Mulla ‘Ali al-Qari berkata, iaitu daripada penyakit-penyakit duniawi dan ukhrawi. Maksud yang paling ringan adalah yang paling sedikit dan paling mudah. Al-Hamm (keluh kesah) di sini merangkumi jenis yang berhubung dengan agama atau dunia, atau keresahan kehidupan dan dukacita hari akhirat.

Al-Munawi pula berkata: Demikian itu kerana seorang hamba, apabila terlepas daripada asbab, maka hatinya akan gembira dan bahagia, dukacitanya akan terlerai, serta akan datang kepadanya kekuatan, pertolongan dan dokongan. (Lihat Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 17/261)

Begitu juga, al-San’ani ada menjelaskan bahawa penawar daripada 99 penyakit dan seringan-ringannya ialah al-Hamm. Akan tetapi, penawar ini tidak akan memberi manfaat kecuali bagi sesiapa yang beriktikad  dengannya, serta melakukan dengan hati yang hadir, yang kuat dan membenarkan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 11/146)

Keenam: Penyelesai kemelut kehidupan

Daripada Ali bin Abi Talib RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِ بِنِعْمَةٍ فَلْيَحْمَدِ اللهَ وَمَنِ اسْتَبْطَأَ الرِّزْقَ فَلْيَسْتَغْفِرِ اللهَ وَمَنْ حَزَبَهُ أَمْرٌ فَلْيَقُلْ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya:Siapa yang dikurniakan kepadanya nikmat, maka hendaklah ia memuji Allah SWT, dan siapa yang rezekinya payah maka hendaklah beristighfar kepada Allah SWT, dan siapa yang dilanda kerunsingan maka hendaklah ucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (642). Hadith ini dinilai dhaif sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Silsilah al-Dha’ifah (4565)

Ketujuh: Penyelamat daripada bala

Daripada Anas bin Malik RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ نِعْمَةً فِي أَهْلٍ أَوْ مَالٍ، أَوْ وَلَدٍ، فَقَالَ: مَا شَاءَ اللَّهُ، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَيَرَى فِيهِ آفَةً، دُونَ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Tiada suatu nikmat pun yang diberikan oleh Allah kepada seseorang hamba dalam keluarga, harta dan anak, maka dia berkata ‘ مَا شَاءَ اللَّهُ، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’. maka tiada suatu malapetaka pun yang akan menimpanya selain dari kematian.”

Kemudian Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT:

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ إِن تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا ‎

Maksudnya : “Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah apa yang dikehendaki Allah)! (Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)?” [Surah al-Kahfi: 39]

Riwayat Ibn Abi Dunya di dalam al-Syukr (1), al-Tabarani di dalam al-Awsat (5995). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid (10/143) menyatakan pada sanad ini terdapat Abd al-Malik bin Zirarah dan dia perawi yang dha’if.

 

Kelapan: Pelepasan daripada tawanan musuh.

‘Auf bin Malik Al-Asyja’i RA pergi menemui Rasulullah SAW, dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku Malik pergi bersamamu berperang di jalan Allah dan dia belum pulang, apa yang harus saya lakukan? Sedangkan semua daripada pasukan tentera sudah pulang.” Maka, Rasulullah SAW bersabda:

 يَا عَوفْ، أَكْثر أَنتَ وَزَوجكَ مِنْ قَولِ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya:Ya ‘Auf perbanyaklah kamu dan isterimu mengucapkan “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ” Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.”

Auf pulang ke rumah dan isterinya sendiri menanti anaknya yang belum datang. Melihat suaminya datang istrinya bertanya: “Wahai ‘Auf apa yang diberikan Rasulullah SAW?” Auf menjawab: Baginda mewasiatkan kepada kita agar kita banyak mengucapkan  “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ”. Maka, jawab isteri Auf, “Ya, sungguh benar Rasulullah SAW”.

Akhirnya mereka berdua duduk terus berzikir dengan “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ” sehingga menjelang malam yang gelap. Tiba-tiba ada seseorang yang mengetuk pintu, dan ‘Auf berdiri membuka pintu, rupa-rupanya yang datang adalah anaknya Malik membawa banyak sekali ghanimah (harta rampasan perang). Maka Auf bertanya: “Apakah ini?” Malik menjawab: “Sesungguhnya musuh menangkapku dan mengikatku dengan rantai besi dan mengikat dua kakiku, maka ketika tibanya waktu malam saya berusaha keras untuk lari namu tidak berjaya disebabkan oleh kuatnya ikatan di kedua-dua tangan dan kaki. Tiba-tiba ikatan daripada besi perlahan-lahan menjadi longgar sehingga ikatan di kedua-dua tangan dan kaki boleh ditanggalkan. Maka aku boleh pulang sekarang dengan ghanimah ini.”

Maka Auf berkata: “Wahai anakku, bukankah jarak antara musuh dan kita sangat jauh? Bagaimana kamu boleh pulang dalam satu malam sahaja?” Malik menjawab: “Wahai ayahanda, demi Allah ketika ikatan itu terlepas, aku merasa ada Malaikat yang membawaku.” Maka Auf berjumpa Rasulullah SAW untuk memberi khabar kepada baginda. Tetapi belum sempat Auf menceritakan kepada baginda SAW, Rasulullah SAW mengatakan kepada Auf: “Wahai Auf bergembiralah bahawa Allah SWT menurunkan ayatnya tentang urusanmu:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Talaq:2-3)

Hadith ini diriwayatkan dengan pelbagai jalur dan lafaz daripada al-Hakim (1993), al-Baihaqi (6/106), Ibn Abi Hatim (18911) dan al-Khatib di dalam kitab Tarikhnya (10/118). Al-Hakim menyatakan hadith ini sanadnya sahih namun dibangkang oleh Imam al-Zahabi. Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Isabah(5/2) menyatakan hadith ini diriwayatkan dengan riwayat yang lain namun darjatnya dhaif.

Berdasarkan hadith-hadith di atas, meskipun sebahagiannya daif, tetapi dalam bab Fadhail A’mal, kebanyakan ulama’ mengharuskan untuk beramal seperti pendapat Abu Daud dan Imam Ahmad. Begitu juga mengikut pendapat yang muktamad daripada imam-imam yang muhaqqiqin. Antaranya: al-Maimuni daripada Imam Ahmad, al-Baihaqi, daripada Ibn Mahdi, Ibn Mubarak, Ibn Abd al-Bar dan Imam al-Nawawi.

Hadith-hadith di atas menunjukkan betapa besarnya fadhilat dan kelebihan bagi sesiapa yang memahami, menghayati, tadabbur dan meyakini berkenaan dengan zikir لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’. Secara ringkasnya, dapatlah dinyatakan kelebihan kalimah ini ialah :

  • Sebagai pintu syurga iaitu dengan mengamalkannya akan membawa kepada masuk syurga.
  • Sebagai khazanah daripada khazanah syurga iaitu besarnya nikmat dan nilai kalimah dan zikir ini di sisi Allah SWT.
  • Kalimah zikir ini merupakan sebagai tanaman syurga yang sudah tentu memberi penambahan nikmat yang sudah ada dengan sebab melazimi zikir ini.
  • Kalimah ini boleh meringankan dan menyembuh pelbagai jenis penyakit seperti dalam riwayat yang menyebut penawar 99 jenis penyakit dengan izin Allah SWT dan yang paling ringan ialah dukacita.
  • Betapa Rasulullah SAW mengajar para sahabatnya sebagai bukti betapa kalimah ini mempunyai nilai yang agung di sisi Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”