#7844: Solat Tasbih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum solat tasbih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى

Maksudnya: “Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (daripada segala sifat-sifat kekurangan).”

(Surah al-A‘la: 1)

Sayyid Qutb menyebutkan dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran (8/11-12) bahawa yang dimaksudkan dengan tasbih ialah memuji, menyanjung tinggi, membersihkan Allah SWT daripada segala sifat  yang kurang dan menghadirkan konsep sifat-sifat Allah Yang Maha Indah serta hidup di tengah-tengah pancaran cahaya pengertian-pengertiannya yang indah, jelas, berwarna warni dan menghayati citarasa dengan sepenuh hati dan perasaan. Tasbih bukan semata-mata mengulang-ngulangkan ucapan Subhanallah sahaja, malah ia merupakan satu ucapan yang melepaskan ke dalam hati suatu pengertian dan suatu keadaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, tetapi dapat dirasa dan dikecapi oleh minda. Ia menyarankan hidup bersama pancaran pengertian-pengertian yang jelas dan berwarna warni yang terbit dari mengingati konsep-konsep nama-nama Allah.

Hukum Solat Tasbih

Pada asasnya, ulama’ fiqah telah berbeza pendapat berkenaan hukum solat tasbih kepada tiga pendapat:

Pertama: Sebahagian ulama’ dalam kalangan mazhab Syafi’i berpendapat hukumnya adalah disunatkan. Malah Imam al-Nawawi dalam sebahagian kitabnya menyatakan bahawa ia adalah sunnah hasanah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/150).

Kedua: Sebahagian ulama’ dalam kalangan mazhab Hanbali pula berpendapat hukumnya adalah tidak mengapa dengan maksud harus. Mereka berpendapat sekalipun hadithnya tidak thabit, tetapi dalam bab fadha’il a’mal ia diboleh- kan untuk beramal dengan hadith dhaif. Ibn Qudamah, seorang tokoh besar dalam mazhab Hanbali menyatakan bahawa hukumnya adalah harus. Beliau menyebutkan, Imam Ahmad tidak mensahihkan hadith berkenaan solat tasbih, bahkan beliau tidak melihat bahawa ia adalah diharuskan. Akan tetapi jika seseorang ingin melakukannya, maka tidak mengapa kerana solat-solat sunat dan kelebihan amalan tidak disyaratkan padanya hadith sahih. (Lihat al- Mughni, 3/324).

Ketiga: la tidak disyariatkan. Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyebutkan bahawa berkenaan hukum sunatnya perlu dikaji lagi kerana hadithnya adalah dhaif, di samping padanya terdapat perbezaan dengan solat yang biasa dilakukan. Maka seharusnya tidak dilakukan dan hadith yang ada tidak thabit. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/54).

Begitu juga Lajnah al-Da’imah pernah ditanya berkenaan hal ini, dan mereka menjawab bahawa solat tasbih adalah bid’ah dan hadith mengenainya pula tidak thabit, bahkan ia adalah munkar. Malah, sebahagian ulama’ memasukkannya sebagai di antara hadith- hadith palsu. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 8/163).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”