#7945: Perjalanan Khalid bin al-Walid dari Iraq Menuju Medan Yarmuk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kisah perjalanan tentera Khalid al-Walid dari Iraq menuju ke Yarmuk, untuk menghadapi peperangan Yarmuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya).”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).

Peperangan Yarmuk berlaku pada tahun 13 H, sebelum penaklukan Damsyik. Inilah sepertimana disebut oleh Saif bin Umar, dan diikuti oleh Abu Ja’far Ibn Jarir al-Tabari. (Lihat Tarikh al-Tabari, 3/441)

Manakala al-Hafiz Ibn ‘Asakir menukilkan daripada Yazid bin Abu Ubaidah, al-Walid bin Muslim, Ibn Luhaiah, al-Laith bin Sa’ad dan Abu Ma’syar, bahawa peristiwa ini berlaku pada tahun ke-15 H selepas penaklukan Damsyik.

Muhammad bin Ishaq serta Khalifah bin Khayyat menyatakan bahawa peperangan Yarmuk berlaku pada hari Isnin, selepas berlalu lima hari bulan Rejab tahun 15 H. (Lihat Tarikh Dimasyq, 1/254)

Perjalanan Khalid bin al-Walid dari Iraq Menuju Medan Yarmuk

Bagi menghadapi bala tentera Rom yang besar, Khalifah Abu Bakar R.A telah menghantar surat kepada Khalid bin al-Walid supaya bergerak dari Iraq dan melakukan perjalanan menuju ke Syam. Hal ini disebabkan para sahabat yang telah berada di Syam menyampaikan berita kepada Khalifah Abu Bakar R.A supaya menyediakan pasukan bantuan disebabkan kedatangan musuh dari pasukan Rom dengan jumlah yang amat besar ke Yarmuk.

Laluan perjalanan Khalid bersama pasukannya dalam menuju ke Syam ini belum pernah ditempuh oleh manusia. Mereka melalui kawasan padang gurun yang terhampar luas, yang gersang dan tandus tanpa sebarang tanaman yang tumbuh, melintas bukit-bukau, naik ke pergunungan dan menyusuri lereng-lereng.

Khalid bin al-Walid berpandangan bahawa jika mereka melalui jalan yang biasa, maka perjalanan tersebut akan diketahui oleh bangsa Rom, dan seterusnya akan mengakibatkan perjalanannya terhalang dan terganggu sehingga mereka tidak dapat bergabung bersama pemimpin pasukan Islam yang sedang berada di Syam. Oleh sebab itu, Khalid memilih untuk mengambil jalan yang tidak biasa dilalui, iaitu dengan melalui tempat-tempat yang tidak ada penduduknya.

Khalid al-Walid membawa Rafi’ bin Umairah al-Ta’i sebagai penunjuk jalan. Rafi’ menunjukkan kepada Khalid agar berjalan melalui al-Samawah (السَّمَاوَةِ). Ia merupakan padang pasir yang terkenal sangat gersang, yang terletak antara Kufah dan Syam. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/557) Ini kerana, Khalid memerlukan masa yang pantas sekadar lima hari untuk sampai ke Yarmuk bagi bergabung dengan tentera Islam bagi membantu serta menyusun tentera untuk menghadapi kekuatan tentera Rom.

Mereka pun melakukan perjalanan sehingga tiba di Quraqir (قُرَاقِرَ) (iaitu satu lembah yang dimiliki oleh Kalb di Samawah, dari arah Iraq). Mereka memendekkan perjalanan dengan melalui daratan dan padang pasir, serta melalui lembah-lembah dan mendaki gunung-gunung. Mereka juga melalui jalan yang tidak biasa dilalui oleh orang. Sementara itu, Rafi’ terus menunjukkan kepada mereka jalan-jalan yang tidak mempunyai air.

Unta-unta mereka sengaja tidak diberi minum sehinggalah tatkala mereka sudah menemui air, maka unta-unta itu diberi minum sebanyak-banyaknya. Dalam keadaan tidak mempunyai bekalan air lagi, mereka mula menyembelih unta-unta tersebut untuk mengambil air yang tersimpan di dalam bonggolnya. Manakala dagingnya dimasak dan digunakan untuk bekalan makanan mereka. Dikatakan, mereka sembelih empat ekor unta setiap kali berhenti untuk makan dan minum daripada simpanan unta tersebut. Mereka menyembelih unta empat kali.

Setelah hari kelima, Khalid al-Walid memanggil penunjuk jalannya dan bertanya: “Hai Rafi, bagaimana?” Jawab Rafi’: “Bagus, insya Allah kita tidak akan kehausan. Sudah ada mata air.” Sebenarnya, Rafi’ sedang menghadapi sakit mata. Dia memusingkan kepalanya ke kanan dan kiri. Dia kemudian berkata: “Hai kamu semua. Lihat, ada dua tanda di sana.” Setelah mereka sampai ke tempat itu, dia berhenti lagi dan berkata: “Lihat, ada pohon ‘Ausaj itu.” Mereka menjawab: “Kami tidak melihat.”

Kata Rafi’: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Celakalah kamu semua kalau begitu. Aku juga tak akan mempedulikan kamu semua. Lihatlah ke kanan dan ke kiri.” Mereka semua pun memerhatikan. Yang mereka lihat adalah sebatang pohon yang sudah dipotong dan hanya tinggal tunggul. Melihat itu, pasukan tentera Islam pun bertakbir dan Rafi’ juga turut bertakbir.

Kata Rafi’: “Galilah sampai ke akarnya.” Setelah mereka gali, tiba-tiba memancar air dari sebuah mata air. Mereka semua pun meminum untuk menghilangkan dahaga. Setelah yakin, mereka semua dalam keadaan selamat, Rafi’ berkata: “Aku tidak pernah ke tempat ini kecuali sekali, semasa aku masih kanak-kanak bersama dengan bapaku.”

Khalid dan pasukannya sempat meminum air ketika sampai di tempat ini. Di situ juga, mereka melihat terdapat jalan masuk ke Syam. (Lihat al-Yarmuk bi Qiyadah Khalid bin al-Walid oleh Shauqi Abu Khalil, hlm. 29-30)

Tatkala sebelum Subuh, Khalid dan pasukannya pun tiba di Suwa, iaitu sebuah tempat yang dilalui dari Iraq ke Syam. Perjalanan mereka telah mengambil masa sehingga lebih kurang lima hari. Mereka keluar menuju ke Rom dari arah Tadmur. Di sana penduduk Tadmur dan Arakah bersepakat untuk berdamai.

Tatkala melewati Azra, Khalid berjaya menaklukinya dan memperoleh harta rampasan dalam jumlah yang besar dari Ghassan. Akhirnya, mereka keluar dari sebelah timur Damsyik, kemudian terus berjalan sehingga tiba di parit Busra, dan di sana mereka bergabung bersama pasukan Syurahbil bin Hasanah yang sedang memerangi penduduk wilayah itu. Akhirnya penduduk negeri tersebut meminta perdamaian dan menyerahkan negeri itu kepada Khalid. Negeri tersebut merupakan kota pertama yang ditakluki di wilayah Syam. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/556-557)

Di sini jelas menunjukkan, Khalid al-Walid telah melalui jalan yang luar biasa untuk pantas dan cepat sampai ke destinasi sebenar. Saat yang sama, ia menyelesaikan ujian perjalanan tersebut dengan bijaksana dan juga mengharapkan pertolongan Allah SWT. Begitu juga, dalam perjalanan tersebut, jelas menunjukkan keberkatan apabila banyak kawasan yang dilalui akhirnya menyerah diri, dan jika ada sedikit perlawanan, natijahnya berpihak kepada tentera Khalid sehingga mendapat kemenangan yang besar, di samping mereka sanggup berdamai dengan tentera Islam. Itulah kehebatan Khalid al-Walid dan tentera Islam yang dipimpinnya. Ia juga seolah-olah menjadi warming up dan persediaan untuk menghadapi Rom sebagai tamrin askari yang amat baik.

Maka layaklah khalid digelar saifullah al-maslul, sebagaimana hadith Nabi SAW:

أخَذَ الرّايَةَ زَيْدٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أخَذَ جَعْفَرٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أخَذَ ابنُ رَواحَةَ فَأُصِيبَ وعَيْناهُ تَذْرِفانِ: حتّى أخَذَ الرّايَةَ سَيْفٌ مِن سُيُوفِ اللَّهِ، حتّى فَتَحَ اللَّهُ عليهم.

Maksudnya: Bendera tentera Islam dipegang oleh Zaid, maka Zaid terkorban syahid. Kemudian diganti oleh Ja’far dan Ja’far juga terkorban syahid. Kemudian diambil alih oleh Ibn Rawahah, maka Ibn Rawahah juga terkorban syahid. Sedang mata Nabi mengalir air matanya seraya berkata: Bendera telah diambil oleh pedang daripada pedang-pedang Allah, sehingga Allah dapat memberi kemenangan kepada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (4262)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”