#7946: Definisi dan Rukun Mubahalah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud dan definisi mubahalah? Benarkah ia ada rukun-rukun yang mesti dipatuhi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Ibn Manzur, al-Bahl (البَهْل) ialah al-La‘n (اللَعْن) — yakni laknat. Manakala tabahalu (تَبَاهَلُوا) dan ibtahalu (ابْتَهَلُوا) ialah mereka saling melaknat. Mubahalah (المُبَاهَلَة) pula ialah mula‘anah (المُلاعَنة) — yakni saling melaknat.

Beliau turut berkata: Jika dikatakan: “بَاهَلْتُ فُلَانًا” bererti aku saling melaknat dengan si fulan itu. Justeru, makna mubahalah (المُبَاهَلَة) ialah suatu kaum berhimpun apabila mereka berselisih pendapat dalam suatu perkara seraya berkata: “Semoga laknat Allah ditimpakan ke atas orang zalim daripada kalangan kami.” (Lihat Lisan al-Arab, 11/72)

Manakala menurut al-Raghib al-Asfahani: Al-Bahl (البَهْل) dan al-Ibtihal (الابْتِهَال) dalam doa ialah suatu kelakuan yang melampaui batas dalam berdoa. Ia juga boleh bermaksud al-Tadharru‘ “التَضَرُّع” — yakni berdoa dengan bersungguh dan rendah diri — seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT:

ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:Kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.

(Surah Ali ‘Imran: 61)

Oleh itu, sesiapa yang mentafsirkan ibtihal (ابْتِهَال) dengan makna laknat maka ia merujuk kepada kelakuan berdoa dengan melampau, meminta agar ditimpakan laknat. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 149)

Begitu juga, Abu Bakar al-Dimyati ada menyatakan bahawa al-Ibtihal (الابْتِهَال) itu merujuk kepada perkataan orang Arab, “bahalahullah” (بَاهَلَهُ الله) yang bererti semoga Allah melaknat seseorang, dan menjauhkan seseorang itu daripada rahmat-Nya, atau seperti perkataan seseorang, “abhaltuhu” (أَبْهَلْتُهُ) yakni aku tidak peduli terhadapnya. Dalil asal kepada ibtihal (ابْتِهَال) atau mubahalah (مُبَاهَلَة) adalah sepertimana yang disebut di dalam surah Ali ‘Imran ayat 61:

ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:Kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.

Kemudian disyariatkan penggunaannya dalam setiap doa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, sekalipun tidak berlaku saling melaknat antara dua orang. (Lihat I‘anah al-Talibin, 3/282) Ini dikuatkan lagi oleh kenyataan Imam Sahl al-Tustari dalam Tafsirnya (hlm.48), yang menyatakan bahawa ibtihal itu adalah suatu doa.

Demikianlah juga disebut dalam Hasyiata Qalyubi wa Umairah (3/154) dan Hasyiah Jamal (4/37):

وَمَعْنَى نَبْتَهِلُ نَقُولُ بَهْلَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Maksudnya: “Dan makna nabtahil (dalam ayat 61, Surah Ali ‘Imran) ialah kita berkata, ‘Semoga laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta; sama ada daripada kami atau daripada kamu.’”

Selain itu, mubahalah ini juga memiliki rukun-rukunnya, iaitu:

  • Tawaran kepada pihak seteru.
  • Penerimaan daripada pihak seteru.
  • Doa laknat.
  • Ta‘liq doa laknat dengan pihak yang berdusta.
  • Pendustaan dalam urusan agama, bukan dalam urusan kehakiman, melainkan li‘an. Ini kerana urusan kehakiman lebih kepada perkara yang boleh dianalisis secara material, manakala agama lebih kepada pengetahuan tentang perkara ghaib yang diketahui melalui wahyu dan penafsiran terhadap wahyu. Adapun li‘an (لِعَان) antara suami isteri, ia berlaku apabila suami gagal memberikan bukti yang boleh dianalisis secara material.

Jika tidak cukup rukun-rukun ini, maka ia tidak disebut sebagai mubahalah secara hakikat, melainkan ditafsirkan dengan istilah lain seperti sumpah, doa laknat, atau gabungan kedua-duanya, atau hanyalah konsep menakut-nakutkan dalam konteks amar makruf nahi mungkar, seperti yang berlaku antara Rasulullah SAW dengan Kristian Najran.

Selain itu, kami juga ingin menegaskan bahawa konsep mubahalah yang sebenarnya adalah melibatkan dua pihak yang saling mendoakan dengan disertai bersama laknat Allah ke atas pendusta antara mereka. Maka, kami katakan sekali kali bahawa mubahalah adalah doa — meminta agar Allah menimpakan bala dan laknatnya ke atas pendusta — dan bukannya sumpah sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”