Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan balasan yang telah menimpa kepada para penghina Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.
(Surah al-Hijr: 95)
Imam Ibn Kathir berkata: (Ayat ini bererti:) “Lakukanlah (wahai Muhammad) apa yang diperintahkan kepada kamu dan jangan takut selain Allah, kerana sesungguhnya Allahlah yang menjaga kamu dan memelihara kamu daripada gangguan mereka sebagaimana Dia melindungi kamu daripada golongan yang mencerca dan menghina.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/551)
Syeikh Al-Maraghi berkata: “(Yakni) sesungguhnya Kami akan memelihara kamu daripada sebarang kejahatan orang yang mempersendakan kamu dan al-Quran yang dilakukan oleh sekelompok orang musyrik yang mempunyai kekuatan, dan seringkali menyakiti serta berbuat jahat kepada Rasulullah SAW tatkala mereka melihat Baginda melewati mereka. Allah SWT telah memusnahkan dan membinasakan mereka serta melenyapkan segala tipu daya mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/83)
Kami kemukakan di sini beberapa kisah untuk dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran berkaitan penghinaan terhadap Rasulullah SAW. Di antaranya:
Pertama: Kisah Ka‘ab bin Asyraf yang Memusuhi Nabi SAW
Ketika zaman Rasulullah SAW, telah dicatatkan bagaimana terdapat seorang individu yang sangat memusuhi Baginda, menghina serta menghasut orang ramai supaya memerangi Baginda SAW. Beliau bernama Ka‘ab bin Asyraf, seorang Yahudi yang paling ekstrem dalam membenci Islam, orang-orang Islam, Rasulullah SAW serta dalam membangkitkan seruan untuk memerangi Baginda SAW.
Tatkala berita tentang kemenangan orang-orang Islam dan terbunuhnya tentera Quraisy di Peperangan Badar sampai kepadanya, maka musuh Allah ini mula mencerca Rasulullah SAW dan orang-orang Islam. Sebaliknya, dia memuji musuh mereka dan menghasut mereka untuk segera membunuh musuhnya. Dia kemudian pergi kepada kaum Quraisy dan menemui al-Muttalib bin Abu Wuda‘ah al-Sahmi. Di sana dia menyenandungkan syair-syair sambil menangisi para korban musyrikin yang ditimbun di telaga Badar. Dengan melakukan itu, dia berharap dapat membangkitkan kemarahan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW serta mengajak mereka untuk memerangi Baginda. Kemudian Ka‘ab kembali ke Madinah, dan dia terus menyampaikan syair-syair yang menyinggung perasaan isteri para sahabat, sehingga dengan perkataan yang lancang itu dia menyakiti hati mereka. Ketika itu Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لِكَعْبِ بْنِ الْأَشْرَفِ؟ فَإِنَّهُ قَدْ آذَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: “Siapakah yang akan menghadapi Kaab bin Asyraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya!”
Baginda kemudian menyerahkan mandat untuk menghadapi Ka‘ab kepada Muhammad bin Maslamah, ‘Abbad bin Bisyr, Abu Na’ilah. Muhammad bin Maslamah dilantik sebagai panglima pasukan khas ini.
Pada malam bertarikh 14 Rabiul Awwal tahun ketiga Hijrah, pasukan khas ini datang ke kawasan rumah Ka‘ab bin Asyraf. Ka‘ab keluar dengan pakaian yang berbau harum semerbak. Ia disambut baik oleh Abu Na’ilah dan Muhammad bin Maslamah lalu diajak bercakap-cakap. Abu Na’ilah berpura-pura hendak mencium bau wangi pada rambut Ka‘ab lalu beliau menghulurkan tangan membelai-belai rambutnya sambil berkata: “Sungguh, aku belum pernah mengalami malam seharum malam ini.” Ka‘ab bangga mendengar pujian seperti itu. Abu Na’ilah mengulanginya lagi. Dibelainya lagi rambut Ka‘ab, tetapi kemudian direnggutnya sekeras-kerasnya sambil memegang lehernya dan menyeru kepada para sahabatnya: “Bunuhlah musuh Allah ini!” Seketika itu juga beberapa bilah pedang menembus dadanya. Begitulah nasib Ka‘ab bin Asyraf, pemimpin Yahudi yang memusuhi Islam, menyakiti Allah dan Rasul-Nya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 358-362).
Kedua: Pengakhiran Hidup ‘Utaibah bin Abu Lahab
Beliau ialah ‘Utaibah bin ‘Abd al-‘Uzza (Abu Lahab) bin ‘Abd al-Muttalib, merupakan sepupu Nabi SAW. Ibunya ialah Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah. (Lihat Usd al-Ghabah, 3/562) Beliau mempunyai beberapa saudara, antaranya yang bernama ‘Utbah dan Durrah. Kedua-duanya saudaranya itu memeluk Islam. Hanya ‘Utaibah sahaja yang tidak ikut memeluk Islam.
‘Utaibah pernah didoakan dengan keburukan oleh Rasulullah SAW, di mana Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)Mu.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10346) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3984)
‘Utaibah telah mati sebelum peristiwa pembukaan kota Makkah. Dia telah diterkam haiwan buas tatkala dalam perjalanan menuju ke bumi Syam. Meskipun ayahnya Abu Lahab berusaha menjaganya, namun doa Nabi SAW yang mustajab tetap tidak mampu untuk menghalangnya.
Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sejarah berkenaan orang yang terkena doa tersebut. Ada menyatakan bahawa ‘Utbah yang terkena doa itu. Namun, pendapat yang paling kuat adalah yang menyebut bahawa orang yang terkena doa tersebut ialah saudaranya, iaitu ‘Utaibah bin Abu Lahab. Dia telah diterkam oleh singa di kawasan al-Zarqa, di Syam. Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Ketika itu, dia sedang tidur bersama rombongannya. (Lihat al-Isabah, 6/122 dan Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/339).
Ketiga: Kisah Abu Amir al-Rahib yang Berusaha Memerangi Rasulullah
Abu Amir al-Rahib merupakan seorang lelaki daripada Bani Khazraj. Beliau beragama Nasrani dan mempunyai pengaruh besar dalam kabilahnya. Apabila Islam telah menjadi kuat di Madinah, maka Abu Amir menjadi tidak senang. Dia pun pergi ke Makkah menemui orang kafir Quraisy untuk mengajak memerangi Rasulullah SAW di Madinah. Mereka pun bersetuju dan menyusun kekuatan sehingga berlaku Perang Uhud. Dia turut mengajak kaum Ansar untuk bergabung dengannya, namun apabila mereka mengetahui tujuannya, mereka lalu mencela dan mengejinya.
Rasulullah SAW juga telah mengajaknya untuk memeluk Islam serta membaca al-Quran kepadanya sebelum dia lari ke negara Rom. Walaupun begitu, dia tetap menolak untuk masuk Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/211).
Malah, dia berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku tidak dapati suatu kaum yang memerangimu, melainkan aku pasti akan bersama mereka.” (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/425). Lalu Baginda SAW mendoakannya supaya mati di tempat yang jauh dalam keadaan terusir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/211).
Akhirnya, dia mati di kota Qansarin (wilayah Rom) akibat doa Rasulullah SAW tersebut ke atasnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/257).
Keempat: Penulis Wahyu yang Murtad dan Menghina Nabi SAW
Kisah ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:
كَانَ رَجُلٌ نَصْرَانِيًّا فَأَسْلَمَ، وَقَرَأَ البَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، فَكَانَ يَكْتُبُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَعَادَ نَصْرَانِيًّا، فَكَانَ يَقُولُ: مَا يَدْرِي مُحَمَّدٌ إِلَّا مَا كَتَبْتُ لَهُ فَأَمَاتَهُ اللَّهُ فَدَفَنُوهُ، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَقَالُوا: هَذَا فِعْلُ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ لَمَّا هَرَبَ مِنْهُمْ، نَبَشُوا عَنْ صَاحِبِنَا فَأَلْقَوْهُ، فَحَفَرُوا لَهُ فَأَعْمَقُوا، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَقَالُوا: هَذَا فِعْلُ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ، نَبَشُوا عَنْ صَاحِبِنَا لَمَّا هَرَبَ مِنْهُمْ فَأَلْقَوْهُ، فَحَفَرُوا لَهُ وَأَعْمَقُوا لَهُ فِي الأَرْضِ مَا اسْتَطَاعُوا، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَعَلِمُوا: أَنَّهُ لَيْسَ مِنَ النَّاسِ، فَأَلْقَوْهُ
Maksudnya: Ada seorang lelaki Nasrani yang memeluk Islam dan membaca surah al-Baqarah serta Ali ‘Imran. Dia menjadi penulis untuk Nabi SAW. Suatu ketika dia kembali menjadi Nasrani dan berkata: “Muhammad tidak mengetahui selain apa yang aku tulis kepadanya.” Lalu Allah mematikannya dan mereka mengebumikannya.
Pada pagi keesokan harinya, jasadnya dicampak keluar oleh perut bumi. Orang Nasrani berkata: “Ini ialah perbuatan Muhammad dan para pengikutnya, ketika lari daripada mereka maka mereka menggali kubur sahabat kita dan mencampakkannya di atas tanah.” Mereka pun menggali kubur yang lebih dalam untuknya.
Namun, pagi keesokan harinya dia telah dicampak keluar oleh tanah. Mereka berkata: “Ini ialah perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya, mereka membongkar kubur sahabat kita, kerana dia keluar daripada agama mereka, lalu mereka mencampakkannya di atas tanah.” Mereka kembali menggali dan memperdalamkan kuburnya semampu mereka. Pagi keesokan harinya, dia kembali dikeluarkan oleh tanah. Akhirnya mereka mengetahui bahawa itu bukan perbuatan manusia. Maka mereka pun mencampakkannya begitu sahaja.
Riwayat al-Bukhari (3617) dan Muslim (2781)
Syeikh al-Islam berkata: Orang celaka ini yang mendustakan Nabi SAW bahawa dia tidak tahu apa yang Allah tetapkan ke atasnya sehingga Allah menghukumnya dan mendedah aibnya dengan dikeluarkan daripada bumi sekalipun ditanam beberapa kali. Hal seperti ini adalah perkara yang luar biasa menunjukkan setiap seseorang akan hukuman seperti ini apabila dituduhnya kepada Rasul dengan cara mendustakan sedangkan orang mati lain tidak dikenakan hukuman sepertinya. Ini merupakan jenayah yang amat besar, bukan semata-mata kerana murtad, kerana ramai orang murtad mati tidak dimusibah seperti ini. Sesungguhnya Allah ingin membalas kepada penghina Rasul-Nya SAW sehingga dia menzahirkan bagi agama-Nya dan pendustaan kepada pendusta kerana manusia tidak mungkin untuk membalas dan menghukum mereka. (Lihat al-Sarim al-Maslul, 1/122)
Kelima: Kisah Abu Afak
Seorang Yahudi bernama Abu Afak, seorang syeikh yang sangat tua, terkenal dengan cercaan dan sindiran sengitnya terhadap umat Islam. Salim bin Umair R.A merupakan salah seorang sahabat yang menyertai Badar, dan dia terkenal menangis ketika membaca Al-Quran. Beliau bernazar untuk membunuh Abu Afak atau mati tanpanya. Abu Afak ialah seorang lelaki tua yang telah melebihi seratus dua puluh tahun, tetapi dia berniat jahat menghasut orang Islam dan Rasulullah SAW. Sehinggalah pada malam musim panas, mereka menyerbunya ketika dia sedang tidur di halaman, meletakkan pedang di dalam hatinya dan membunuhnya, dan apabila orang itu berteriak, orang ramai berkumpul dan menguburkannya di dalam rumahnya. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 112)
Abu ‘Afak adalah seorang Yahudi yang biasa menghina Rasulullah SAW dengan puisi-puisinya dan menghasut manusia untuk menentang Baginda SAW. Oleh kerana itu, salah seorang sahabat R.A yang bernama Salim bin Umair pergi menemui Abu ‘Afak dan membunuhnya.
Kisah ini diriwayatkan di dalam Uyun al-Athar fi Funun al-Maghazi wa al-Syama’il wa al-Siyar: “Maka berlakulah misi Salim bin Umair Al-Amri melawan Abu ‘Afak si Yahudi di bulan Syawal, di awal bulan ke-2 setelah Hijrah Nabi SAW. Abu ‘Afak adalah lelaki yang berasal dari Bani Amr bin Auf. Dia adalah seorang lelaki tua yang berusia 120 tahun. Dia adalah seorang Yahudi, dan memiliki kebiasaan menghasut manusia untuk melawan Rasulullah SAW. Dia juga selalu membuat puisi-puisi jenaka jahat dan mempersendakan Nabi Muhammad SAW.
Salim bin Umar, yang merupakan salah seorang sahabat yang mudah menangis dan yang ikut serta di dalam Perang Badar, berkata: “Saya bersumpah bahawa saya akan membunuh Abu ‘Afak atau mati dalam usaha membunuh orang tersebut.” “Dia menunggu satu kesempatan hingga tiba suatu malam yang panas yang membuat Abu ‘Afak tidur di halaman. Salim bin Umair mengetahui hal tersebut lalu pergi ke arahnya, kemudian menempatkan pedangnya tepat di atas lehernya dan menikamnya sehingga tembus ke tilam (Abu ‘Afak). Musuh Allah ini menjerit dan beberapa pengikutnya lantas bergegas pergi menuju ke arahnya, membawanya masuk ke dalam rumah, dan menguburkannya.”
Keenam: Pengakhiran Lars Vilks, Kartunis yang Menghina Nabi
Vilks mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam apabila melukis gambar Nabi Muhammad SAW. Dia hidup di bawah perlindungan polis dan tinggal di lokasi rahsia ekoran menerima ancaman bunuh sejak akhbar tempatan Sweden, Nerikes Allehanda menerbitkan kartunnya yang menghina Nabi Muhammad SAW pada 2007.
Karikatur itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt mengadakan pertemuan dengan 22 duta negara Islam bagi meredakan ketegangan.
Pada 5 Oktober 2021, Vilks disahkan terbunuh dalam kemalangan ngeri jalan raya ketika kereta polis dinaikinya terbalik dan terbabas ke lorong bertentangan. Kereta dinaiki Vilks dan anggota polis itu bertembung dengan sebuah lori sehingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar. [1]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/10/872605/polis-sahkan-tiada-unsur-jenayah-kematian-kartunis-nabi-muhammad; dan https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/10/maut-terbakar-kemalangan-kereta-polis-sahkan-tiada-unsur-jenayah-kematian-kartunis-hina-nabi-muhammad/. Diakses pada 25 Disember 2023.