Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh saya amalkan untuk mendapatkan pasangan dan anak-anak yang soleh dan solehah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah al-Rum: 21)
Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: “Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas.” (Lihat al-Mu‘tamad, 4/18)
Sebelum membincangkan hal ini dengan lebih lanjut, kami kemukakan terlebih dahulu peri pentingnya doa:
Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ
Makssudnya: “Doa adalah otak (intisari) ibadah”
Riwayat al-Tirmizi (3371) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3324). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (30/298) menyatakan bahawa hadith ini hasan dengan syawahidnya (sokongan hadith lain)
Doa juga sebagai senjata bagi orang beriman sebagaimana sebuah hadith:
الدُّعَاءُ سِلاَحُ الْمُؤْمِنِ
Maksudnya: “Doa adalah senjata orang beriman.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1812). Al-Zahabi dalam Mizan al-I‘tidal (3/514) menyatakan bahawa sanad hadith ini terdapatnya inqita‘ (sanad terputus)
Justeru, perintah Allah untuk berdoa kepada-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Surah Ghafir (60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)
Menjawab persoalan di atas, antara doa yang boleh diamalkan adalah:
- Doa Agar Beroleh Pasangan dan Anak-Anak yang Baik
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إماما
Maksudnya: Wahai Tuhan kami! Berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.
(Surah al-Furqan: 74)
Penulis mencadangkan agar doa ini dibaca selepas solat 5 waktu, selepas solat qiamullail atau selepas membaca al-Quran. la juga boleh dibacakan kepada makanan dan minuman anak sewaktu penyediaannya kerana ayat-ayat Allah itu mampu bertindak sebagai al-Syifa’ dan al-Rahmah dengan izin-Nya juga.
- Doa Mohon Zuriat yang Soleh dan Solehah
Firman Allah SWT:
رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Maksudnya: ”Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”
(Surah as-Saffat: 100)
Al-Tabari berkata: Ini merupakan permintaan Nabi Ibrahim kepada Tuhannya agar Dia mengurniakan keturunan yang soleh kepadanya. Ibrahim berdoa: “Hai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh, yang mentaati-Mu dan tidak melakukan maksiat kepada-Mu, melakukan kebaikan di atas muka bumi dan tidak merosakkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/869)
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”