#7950: Definisi ‘Illah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud ‘illah dalam perbincangan fiqh dan usul fiqh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

‘Illah (العِلَّةُ) merupakan perkataan yang berasal dari perkataan Arab. Ibn Manzur menyebutkan bahawa ‘illah dengan makna sebab atau tempat uzur (dinamakan illah  kerana lemahnya dan matinya). (LihatLisan Arab, 6/412) Pada bahasa, ia juga bermaksud suatu nama yang diberi kepada sesuatu perkara di mana kewujudannya akan mengakibatkan berubahnya keadaan sesuatu kepada suatu keadaan yang lain. (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul al-Fiqh, 2/96)

Al-Qarafi pula menyebutkan, ‘illah (العِلَّةُ) dari sudut bahasa boleh merujuk beberapa perkara. Antaranya, perkara yang menonjol dan memberikan kesan, seperti ‘illah sakit, yang mana ianya memberikan kesan mengikut adat kebiasaan. Selain itu, ‘illah (العِلَّةُ) itu adalah faktor bagi sesuatu perkara. Sebagai contoh, ‘illah Zaid memuliakan ‘Ali adalah keilmuan serta kebaikannya. (Lihat Nafa’is al-Usul, 7/3217).

Mengikut istilah usul fiqh, ‘illah (العِلَّةُ) bermaksud Istia’rah pada segala hukum syarak yang muttaridahdengan dua cara:

  • Kerana adanya sambungan atau kaitan antara ‘illah dan hukum.
  • Kerana adanya sambungan atau kaitan antara semata-mata sebab dan hukum. (Lihat Mausu‘ah Mustalahat Usul Fiqh, 1/956)

Abu al-Munzir al-Minyawi mendefinisikan ‘illah (العِلَّةُ) sebagai satu sifat yang sentiasa ada, yang mana terdapat dalil yang membuktikan bahawa ianya adalah sebab kepada sesuatu hukum syara‘. (Lihat al-Syarh al-Kabir, hlm. 486)

Pada hakikatnya, ulama menyebut terdapat dua puluh empat syarat ‘illah (العِلَّةُ) yang perlu difahami antaranya:

  • Hendaklah ia memberi kesan kepada hukum mengikut sangkaan mujtahid.
  • Sifat yang khusus bagi hikmah yang dimaksudkan syarak.
  • Hendaklah zahir yang nyata.
  • Selamat daripada dibatalkan oleh nas dan ijmak.
  • Tidak bertentangan dengan banyak ‘illah yang lebih kuat.
  • Sentiasa bersama apabila didapati ‘illah nescaya didapati hukum.
  • Hendaklah tiada ternafi pada hukum yang subuti.
  • Hendaklah bersifat merentasi.
  • Ternafinya hukum dengan ternafinya ‘illah.
  • Segala sifatnya diterima.
  • Asal yang dikiaskan ke atasnya hendaklah di ‘illahkan dengan ‘illah yang bergantung dengannya hukum pada cabang sama ada dengan nas atau ijmak.
  • Ia bukan yang tidak wajib pada cabang dari segi hukum, sedangkan bagi asal ada hukum yang lain.
  • Janganlah membawa kepada dua yang bertentangan.
  • Jangan tak’hir sabitnya ‘illah daripada hukum asal.
  • Hendaklah sifat yang tertentu.
  • Cara mengisbatkannya mengikut hukum syarak.
  • Bukanlah sifat yang diandaikan.
  • Jika sekiranya di istinbat maka syarat tidak kembali pada asal untuk membatalkannya.
  • Jika sekiranya istinbat maka syarat tidaklah boleh bertentangan dengan yang mana-mana menafikan pada wujudnya asal.
  • Jika sekiranya di istinbatkan maka syarak tidak boleh mengandungi penambahan atas nas.
  • Tidaklah boleh bertentangan ‘illah dengan ‘illah yang lain dengan menafikan hukum.
  • Jika sekiranya pada asal syarat maka tidak harus ‘illah yang ada menghilangkan syarat tersebut.
  • Bukanlah dalil yang menunjukkan ke atas ‘illah dan bukan juga menghukum cabang, dengan umum dan khususnya kerana mencukupi ketika itu daripada kias.
  • Tidaklah ‘illah menguatkan bagi kias asal yang dinaskan atasnya dengan mengisbatkan atas asal nas yang dinaskan atasnya dengan penafian. ( Lihat Mustalahat Usul Fiqh, 1/994)

Satu kaedah yang mesti difahami, betapa pentingnya illah dalam istinbat hukum kerana sifat hukum itu akan sentiasa bersama dengan illah sepertimana kata ulama’ usul:

الْحُكْمُ يَدُوْرُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُوْدًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Kewujudan sesuatu hukum tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya (sebabnya).” (Lihat Mughni Zawi al-Afham oleh Ibn ‘Abd al-Hadi , hlm. 174; I‘lam al-Muwaqqi‘in, 4/135)

Dr Muhammad Sidqi al-Burnu berkata: Hukum sentiasa bergerak seiring dengan ‘illahnya sama ada wujud atau tiada. Jika didapati ‘illah atau sebab, maka sabitlah hukum dengannya. Apabila hilangnya ‘illah atau sebab, maka hilanglah hukum dengan sebab kehilangannya dan berakhir dengan sebab kesudahannya. Ini kerana hukum sifatnya sentiasa bersama dengan ‘illah dan sebabnya, ketika ada atau sebaliknya. (Lihat Mausu‘ah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 3/195)

Ibn al-Qayyim berkata: Dengan sebab ini, apabila syariat menggantungkan hukum dengan sebab atau ‘illah, hilangnya hukum dengan sebab hilangnya ‘illah seperti arak diikat dengannya hukum najis dan wajib dikenakan had dengan sebab boleh memabukkan. Apabila hilang daripadanya dan jadi cuka sebagai contoh, maka hilanglah hukum. Begitu juga sifat fasik, diikat dengan tegahan daripada menerima penyaksian dan riwayat. Apabila hilangnya sifat kefasikan, maka hilanglah hukum yang dikaitkan dengannya. Sebenarnya, syariah itu dibina berasaskan kaedah ini. Maka begitulah orang yang bersumpah, apabila melakukan sumpah atas sesuatu yang tidak dilakukannya dengan sebab, maka hilanglah sebab tersebut dan ketika itu tiadalah dikenakan dosa atas perbuatannya. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi’in, 4/105).

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”