#7951: Kes Mubahalah Ibn Abbas R.Anhuma

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kes mubahalah Ibn ‘Abbas R.Anhuma?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istilah mubahalah juga merujuk kepada kes ‘aul dalam bab pembahagian harta pusaka. Telah berlaku perbezaan penghakiman pada zaman sahabat Nabi SAW — semoga Allah meredhai mereka semua — di mana Amirul Mukminin, Umar al-Khattab R.A telah berhukum bahawa ahli-ahli waris ialah suami (1/2), ibu (1/3) dan saudara perempuan (1/2), perlu dibahagikan secara ‘aul, yakni suami menerima bahagian 3/8, ibu 2/8, manakala saudara perempuan menerima 3/8. Apabila Umar wafat, Ibn Abbas telah berhukum dengan pendapat yang berlawanan, yakni saudara perempuan menerima baki setelah ditolak bahagian suami dan ibu. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/431-432)

Ibn Abbas R.Anhuma telah beralasan seperti berikut:

أَتَرَوْنَ الَّذِي أَحْصَى رَمْلَ عَالِجٍ عَدَدًا لَمْ يُحْصِ فِي مَالٍ قَسَّمَهُ نِصْفًا وَنِصْفًا وَثُلُثًا ، فَبِهَذَانِ النِّصْفَانِ قَدْ ذَهَبْنَا بِالْمَالِ فَأَيْنَ مَوْضِعُ الثُّلُثِ ؟

Maksudnya:Tidakkah anda memerhatikan seseorang yang menghitung pasir-pasir yang begitu banyak hingga tidak terkira, pada harta (pusaka) yang pembahagiannya ialah separuh, separuh dan sepertiga? Apabila dua separuh itu sudah diambil daripada harta mana pergi bahagian sepertiga?”

Dalam catatan kitab Mughni al-Muhtaj (4/57), Ali bin Talib R.A telah membantah perkataan Ibn Abbas R.Anhuma itu dengan berkata:

هَذَا لَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا لَوْ مِتُّ أَوْ مِتَّ لَقُسِمَ مِيرَاثُنَا عَلَى مَا عَلَيْهِ النَّاسُ مِنْ خِلَافِ رَأْيِكَ

Maksudnya: “Pendapat anda itu tidak memiliki apa-apa makna. Kalau aku mati, atau engkau mati, nescaya kami akan membahagikan harta pusaka kami berdasarkan kaedah yang digunakan oleh orang ramai, yang berbeza dengan pendapat anda!”

Dalam catatan lain, orang yang membantah itu ialah ‘Ata’ bin Abu Rabah. (Lihat al-Hawi al-Kabir oleh Imam al-Mawardi, 8/129 dan Nihayah al-Matlab oleh Imam al-Juwaini, 9/142)

Manakala, Ibn Abbas R.Anhuma begitu tegas dengan pendapatnya sehingga beliau mengucapkan:

فَإِنْ شَاءُوا فَلْنَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَهُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَهُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَهُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Jika mereka inginkan, maka kami menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”

Dalam Raudhah al-Talibin (6/91), Ibn Abbas R.Anhuma dicatatkan telah berkata:

مَنْ شَاءَ بَاهَلْتُهُ أَنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَعُولُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang inginkan, aku akan bermubahalah dengannya bahawa masalah ini tidak boleh dibahagikan secara ‘aul.”

Apabila ditanya kepada Ibn Abbas R.Anhuma, mengapakah beliau diam dan tidak mengingkarinya pada zaman Umar R.A, beliau menjawab:

كَانَ رَجُلًا مُهَابًا فَهِبْتُهُ

Maksudnya: “Beliau (Umar) ialah orang yang digeruni, maka aku gerun terhadapnya.”

(Lihat Hasyiata Qalyubi wa Umairah, 3/154 dan Hasyiah Jamal, 4/37)

Menurut al-Allamah Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili, pendapat Ibn Abbas R.Anhuma yang tidak menerima pensyariatan konsep ‘aul ini menyalahi ijmak dan perlu ditolak kerana Ibn Abbas R.Anhuma mengingkarinya selepas berlakunya ijmak dalam kalangan sahabat ketika isu ini berbangkit di zaman Umar al-Khattab. Bahkan, pendapat Ibn Abbas R.Anhuma itu tidak dipegang oleh mana-mana Imam mazhab. (Lihat al-Mu‘tamad, 4/437)

Kami katakan, penolakan itu dapat dilihat dari perkataan Ali bin Abu Talib R.A dan ‘Ata’ bin Abu Rabah bahawa pendapat Ibn Abbas R.Anhuma itu tidak mengubah apa-apa. Walau bagaimanapun, kami tidak menjumpai apa-apa rekod yang menunjukkan para sahabat yang tidak bersetuju dengan Ibn Abbas telah menyambut seruan mubahalah berkenaan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”