#7952: Menyeru kepada Kesamarataan antara Wanita dan Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum bagi seseorang yang menuntut kesamarataan antara wanita dan lelaki, termasuk dalam perkara-perkara yang telah dibuat perbezaan oleh syariat antara keduanya, seperti: pembahagian harta pusaka, poligami, dan talak? Adakah hal tersebut dianggap sebagai satu bentuk pelanggaran terhadap syariat dan penafian terhadapnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa sesungguhnya Islam telah menyamakan lelaki dan wanita dalam hak-hak serta tanggungjawab. Firman Allah SWT:

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ

Maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.

(Surah Ali ‘Imran: 195)

Al-Baidhawi menyatakan, Allah SWT telah memperkenankan permohonan hamba-Nya dengan menerima permintaan mereka. Begitu juga Allah SWT turut menyatakan bahawa Dia tidak akan mensia-siakan amalan sesiapa pun yang beramal, sama ada lelaki mahupun perempuan, kerana mereka saling berasal antara satu sama lain – lelaki berasal daripada perempuan, dan perempuan berasal daripada lelaki – sama ada kerana mereka berasal dari satu asal yang sama, atau kerana hubungan erat dan kesatuan yang wujud antara mereka, atau kerana mereka bersatu dan bersepakat dalam agama. Ayat ini disisipkan untuk menjelaskan kesetaraan wanita dan lelaki dalam janji Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/55)

Selain itu, Allah SWT juga berfirman:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).

(Surah al-Baqarah: 228)

Al-Qasimi menjelaskan, maksudnya adalah, kaum wanita mempunyai hak terhadap kaum lelaki sebagaimana kaum lelaki mempunyai hak terhadap kaum wanita. Oleh itu, hendaklah masing-masing melaksanakan tanggungjawabnya kepada yang lain dengan cara yang baik dan penuh keadilan. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 2/135).

Selain daripada itu, Allah SWT turut berfirman:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

(Surah al-Nahl: 97)

Al-Baidhawi menyatakan bahawa Allah menjelaskan jenis-jenis jantina untuk menolak sebarang kekhususan terhadap golongan tertentu. Namun, ia mesti disertai dengan keimanan, kerana amal perbuatan orang kafir tidak diambil kira dalam pemberian ganjaran pahala, tetapi hanya boleh diharapkan untuk meringankan azab. Begitu juga dalam ayat “فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً”, Allah SWT mengkhabarkan di dunia, dia akan hidup dengan kehidupan yang baik. Jika dia berada dalam kelapangan rezeki, maka hal itu jelas. Namun, jika dia dalam kesempitan, kehidupannya tetap baik kerana qana‘ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha terhadap pembahagian Allah, dan mengharapkan ganjaran yang besar di akhirat. Sebaliknya, seorang kafir jika dalam kesempitan, keadaannya lebih buruk, dan jika dalam kelapangan, sifat tamak serta ketakutan terhadap kehilangan nikmat tidak akan membiarkan dia menikmati kehidupannya. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 3/239).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita adalah saudara kandung lelaki.

Riwayat Abu Dawud (204)

Maksudnya ialah kejadian dan tabiat perempuan adalah setara dengan lelaki. Ini seolah-olah mereka sebahagian daripada lelaki. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/74).

Selain itu, Ibn Ruslan ketika mensyarahkan hadith ini turut menyatakan, maksudnya, wanita adalah setara dan serupa dengan lelaki dalam kejadian dan sifat semula jadi. Dalam erti kata lain, maknanya yang dikehendaki di sini ialah lelaki dan wanita adalah saudara kandung yang berasal daripada asal yang sama, iaitu Nabi Adam, kerana Hawa diciptakan daripada Nabi Adam. Dikatakan bahawa mereka adalah saudara kandung kerana kedua-duanya terpecah daripada satu asal yang sama. Hadith ini juga menjadi dalil untuk menyamakan hukum antara perkara yang setara, kerana sesuatu yang serupa dengan yang lain diberikan hukum yang sama. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 2/357).

Namun, terdapat perbezaan antara konsep kesamaan (المساواة) dan kesetaraan mutlak (التساوي); syariat Islam, walaupun mengiktiraf prinsip kesamaan antara lelaki dan wanita, tidak menetapkan kesetaraan mutlak dalam sifat kejadian, fitrah semula jadi, dan tugas-tugas taklifi (kewajipan agama). Ini kerana perbezaan ciri-ciri kejadian menuntut perbezaan dalam fungsi dan peranan, supaya dapat mencapai kesempurnaan yang dikehendaki Allah SWT melalui kepelbagaian ciptaan-Nya. Allah SWT berfirman:

وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنثَىٰ

 Maksudnya: “Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.

(Surah Ali ‘Imran: 36)

Begitu juga firman-Nya:

 وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.

 (Surah al-Nisa’: 32)

Tambahan pula terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5885)

Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami katakan bahawa seruan untuk menyeragamkan kesetaraan antara lelaki dan wanita adalah suatu bentuk kezaliman yang menjerumuskan kedua-duanya ke dalam jalan yang gelap dan tidak selari dengan fitrah yang telah Allah SWT ciptakan pada manusia. Ia membebankan kedua-duanya dengan tanggungjawab yang melampaui kemampuan mereka. Seruan untuk menjadikan wanita setara dengan lelaki dalam perkara-perkara yang telah dibezakan oleh syariat adalah satu bentuk penghinaan terhadap hikmah syariat, penafian terhadap identiti Islam, dan pelanggaran terhadap sistem sosial yang umum.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”