Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud khianat dan dalil-dalil larangannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Khianat mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat ialah perbuatan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, melakukan tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia sama ada kepada negeri, bangsa dan lain-lain.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
(Surah Al-Anfal ayat 27)
Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma`ani: “Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ianya berlawanan dengan maksud amanah. Dikehendaki di sini ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.” (Lihat Ruh al-Ma’ani,4/182)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا – أَوْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ أَرْبَعَةٍ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ – حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
Maksudnya: “Empat sifat yang siapa dapati ada pada dirinya maka orang itu adalah seorang munafik, atau siapa yang di dalam dirinya ada satu daripada empat perkara tersebut, maka orang itu memiliki satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya, iaitu: apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mengingkari, apabila membuat perjanjian dia membelakanginya dan apabila berdebat dia berpaling daripada kebenaran.”
Riwayat al-Bukhari (2459)
Hadith di atas membicarakan tentang ciri-ciri orang munafik. Munafik yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah munafik amali (perbuatan) dan bukan munafik i’tiqadi (akidah). Ada lima jenis sifat munafik amali iaitu berdusta, tidak menepati janji, khianat, perselisihan yang melampau dan munkir janji.
Hadith ini juga memberi peringatan kepada orang Muslim supaya tidak menyerupai sifat orang munafik dan menjauhi perbuatan yang tercela. Barangsiapa yang membiasakan diri dengan sifat-sifat nifak dan beranggapan sifat tersebut tidak salah hingga ianya menjadi satu perwatakan pada dirinya, maka ia sebenarnya melambangkan fasad (buruknya) akidah.
Sifat khianat dan menipu bukan membawa maksud bahawa si pelakunya akan terkeluar dari daerah keimanan keseluruhannya. Ini kerana iman akan mengangkat seseorang dari darjat munafiq, akan tetapi dikira perbuatan tersebut merupakan suatu sikap yang tercela. Oleh kerana itu ulama menyebutnya sebagai malapetaka yang membinasakan dengan perbuatan yang dilakukannya. Demikianlah yang disifatkan dengan sifat tersebut ialah dosa yang berhak untuk dibalas akan tetapi bukan bermaksud kedudukan munafiq yang zahir kelslamannya dan batinnya kufur. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 520)
Justeru itu, perbuatan khianat amatlah bertentangan dengan ajaran Islam. Ia merupakan satu perbuatan yang tidak baik dan boleh mendatangkan permusuhan diantara dua pihak.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”