#7955: Syarat-syarat Mubahalah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah mubahalah mempunyai syarat-syaratnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:Jika sesiapa mengingkarimu wahai Muhammad tentang kisah Nabi Isa setelah engkau mendapat pengetahuan yang sebenar tentangnya maka katakanlah kepada mereka, “Marilah bersama-sama menyeru anak-anak kami, anak-anak kamu, isteri-isteri kami, isteri-isteri kamu dan diri kami termasuk diri kamu, kemudian kita sama-sama berkumpul dan bermubahalah dengan berdoa kepada Allah supaya Allah melaknat orang-orang yang berdusta.’

(Surah Ali ‘Imran: 61)

Seseorang yang mahu bermubahalah dengan orang yang batil mestilah bersifat dengan sifat-sifat orang yang beriman yang mana terhimpun dalam diri mereka kebaikan dan kesolehan. Dan dia tidak boleh terkeluar daripada usul-usul Syariah dan usul-usul Iman. Oleh yang demikian, para ulama telah meletakkan syarat-syarat yang mesti dipatuhi bagi seseorang yang mahu bermubahalah.

Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidi telah menyatakan bahawa terdapat lima syarat bagi mubahalahyang mesti dipenuhi sebelum seseorang itu melakukannya. Syarat-syarat tersebut ialah:

  • Mengikhlaskan niat hanya kerana Allah SWT semata-mata. Hal ini kerana mubahalah itu adalah doa dan merendahkan diri kepada-Nya. Tambahan lagi, mengikhlaskan niat juga adalah merupakan faktor penyebab kepada sesuatu doa itu diterima oleh Allah SWT sebagaimana ibadah-ibadah yang lain. Maka, tidak boleh mubahalah tersebut tujuannya adalah untuk mengalahkan pihak lawan dan memenangkan hawa nafsu semata-mata atau inginkan kemasyhuran dan kedudukan. Akan tetapi ia bertujuan bagi mempertahankan kebenaran dan menjelaskannya serta berdakwah kepada Allah dan memelihara agama-Nya.
  • Mempunyai ilmu pengetahuan (berilmu). Hal ini kerana mubahalah itu mesti didahului terlebih dahulu dengan sesi dialog dan perdebatan. Dan tidak ada debat tanpa ilmu. Selain itu, perdebatan dengan orang yang jahil lebih banyak membawa kepada kerosakkan berbanding kebaikan.
  • Hendaklah orang yang mengajak kepada mubahalah itu terdiri dalam kalangan orang yang soleh dan bertakwa.
  • Hendaklah mubahalah tersebut berlaku selepas tertegaknya hujah ke atas pihak yang berselisih serta telah nyata kebenaran kepadanya dengan dalil-dalil dan bukti-bukti yang jelas.
  • Hendaklah mubahalah tersebut bagi perkara-perkara yang penting di dalam agama. Dan diharapkan dengan melaksanakannya dapat memberikan kebaikan serta menolak kerosakkan kepada agama Islam dan penganut-penganutnya. (Lihat al-Mubahalah fi al-Islam oleh al-Sayyid Murad Salamah, hlm. 22-25)

Syeikh al-Qasimi ada menukilkan daripada al-Kazruni yang menyatakan bahawa Syeikh al-Duwani membolehkan mubahalah selepas zaman Nabi SAW. Dan beliau telah menulis satu risalah berkenaan syarat-syarat mubahalah yang merupakan hasil istinbat daripada al-Quran, al-Sunnah, Athar dan kalam para ulama. Kesimpulan pendapat beliau mengenainya ialah:

أَنَّها لَا تَجوْزُ إِلَّا فِي أَمْرٍ مُهِمٍّ شَرْعًا، وَقَعَ فِيْهِ اشْتِبَاهٌ وَعِنَادٌ لَا يَتَيَسَّرُ دَفْعُهُ إِلَّا بِالْمُبَاهَلَةِ، فَيُشْتَرَطُ كْوْنُهَا بَعْدَ إِقَامَةِ الْحُجَّةِ وَالسَّعْي فِي إِزَالَةِ الشُّبْهَةِ وَتَقْدِيْمِ النُّصْحِ وَالْإِنْذَارِ وَعَدَم نَفْعِ ذلِكَ وَمَسَاسُ الضَّرُوْرَةِ إِلَيْهَا

Maksudnya:Mubahalah tidak dibolehkan melainkan untuk perkara yang penting di dalam syarak, yang mana pada dirinya terdapat keraguan dan ketegaran, yang tidak ada lagi cara lain bagi menolaknya melainkan dengan bermubahalah. Disyaratkan bagi melaksanakannya mestilah selepas tertegaknya hujah dan bersegera bagi menghilangkan syubhah. Selain itu, mesti didahulukan dengan nasihat, peringatan, akan tetapi kedua-dua perkara tersebut tidak memberi manfaat padanya (tidak ada kesan). Juga, ada keperluan mendesak kepadanya (yakni mubahalah tersebut).” (Lihat Mahasin al-Takwil, 2/330)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”