Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat kes mubahalah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ
Maksudnya: “Jika sesiapa mengingkarimu wahai Muhammad tentang kisah Nabi Isa setelah engkau mendapat pengetahuan yang sebenar tentangnya maka katakanlah kepada mereka, “Marilah bersama-sama menyeru anak-anak kami, anak-anak kamu, isteri-isteri kami, isteri-isteri kamu dan diri kami termasuk diri kamu, kemudian kita sama-sama berkumpul dan bermubahalah dengan berdoa kepada Allah supaya Allah melaknat orang-orang yang berdusta.’”
(Surah Ali ‘Imran: 61)
Zaman Rasulullah SAW terdapat bukti yang menunjukkan adanya cabaran dan mubahalah tetapi tidak disambut oleh ahli kitab kerana dibimbangi tembelang mereka akan pecah serta mereka akan ditimpa laknat Allah SWT.
Imam Ibn Kathir ketika mensyarahkan ayat ini mengatakan bahawa apabila turunnya ayat Surah Ali ‘Imran itu, Rasulullah SAW datang menemui mereka dengan ayat-ayat Allah dan menyelesaikan kes yang berlaku antara Baginda dan mereka. Kemudian Baginda menyuruh untuk melakukan mula‘anah(saling melaknat) seperti mana yang diperintahkan ke atasnya, supaya dapat membalas dakwaan mereka tentang hal Isa A.S. Mereka berkata: “Wahai Abu al-Qasim! Tentang itu, biarkan kami perhatikan dulu tentang hal ehwal kami, nanti kami datang kembali kepadamu tentang apa yang sepatutnya kami lakukan mengenai tawaranmu itu.”
Lalu mereka beredar daripada Nabi SAW dan memisahkan diri mereka dengan orang ramai untuk berbincang dengan ‘Aqib. ‘Aqib itu ialah individu yang mengetuai pendirian mereka. Mereka bertanya kepada ‘Aqib: “Wahai ‘Abd al-Masih! Apa pandanganmu (tentang tawaran mubahalah)?” Dia menjawab: “Demi Allah, wahai sekalian orang Kristian! Sebenarnya kamu telah mengakui bahawa Muhammad itu adalah Nabi yang diutus, dan beliau telah mendatangkan kepadamu pemutus berdasarkan berita daripada pemilik kamu. Kamu juga tahu bahawa seseorang Nabi tidak akan saling melakukan laknat dengan suatu kaum melainkan kaum itu akan diwarisi saki baki orang tua sedangkan orang-orang mudanya tidak tumbuh. Itu yang akan berlaku kepada kamu jika kamu turun bermubahalah. Jika kamu mengabaikan pandanganku ini, nescaya hancurlah agama kamu dan kalah kamu dengan hujah yang datang daripada pemilik kamu. Kamu berkumpullah dan pulanglah ke negeri kamu.”
Setelah itu, mereka berjumpa dengan Nabi SAW dan berkata: “Wahai Abu al-Qasim! Kami telah berpandangan bahawa kami tidak akan saling melaknatimu. Kami akan biarkan kamu atas agama kamu dan kami balik dalam agama kami. Tetapi tolong berikan kami seorang lelaki daripada sahabat-sahabatmu, yang anda redha terhadapnya, untuk ikut kami dan menjadi hakim ke atas kami dalam urusan harta benda kami. Sesungguhnya kami berpuas hati dengan kamu.” Lalu Baginda memanggil Abu ‘Ubaidah dan bersabda: “Kamu pergi bersama mereka dan selesaikan kes-kes mereka dengan kebenaran pada perkara yang mereka perselisihkan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/378)
Hamka menyatakan dalam tafsirnya, menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim, dua orang Kristian yang bernama Sayid dan ‘Aqib berhujah dengan Nabi SAW berkenaan dengan kepercayaan. Setelah diusulkan dengan mubahalah mereka mundur dan tidak berani kerana keyakinan yang sudah tertanam dalam hati mereka bahawa orang ini adalah benar-benar Rasulullah — pesuruh Allah. Maka, mereka mengetahui merekalah yang akan ditimpa bala bencana disebabkan oleh kedegilan mereka itu. (Lihat Tafsir al-Azhar, 2/793)