Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa pandangan Islam terhadap orang yang suka bertangguh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.’”
(Surah al-Taubah: 105)
Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)
Bertangguh mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud menunggu hingga ke masa lain. Sikap menangguh atau melambat-lambatkan suatu pekerjaan amat tidak digalakkan kerana ia bukanlah satu sikap yang baik. Kebiasaannya, kerja yang bertangguh atau sengaja dilambat-lambatkan akan menghasilkan output yang kurang sempurna dan terbengkalai.
Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya umatnya jangan menjadikan sikap suka bertangguh atau melambat-lambatkan pekerjaan sebagai satu kelaziman. Hal ini kerana dikhuatiri ia akan menjadi satu tabiat yang tidak baik.
Daripada Ibn Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ
Maksudnya: Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir. Dan adalah Ibn ‘Umar R.A berkata, apabila kamu berada di waktu petang maka jangan kamu tunggu waktu pagi, dan apabila kamu berada di waktu pagi maka jangan kamu tunggu petang. Ambillah dari kesihatanmu untuk sakitmu dan dari kehidupanmu untuk matimu.
Riwayat al-Bukhari (6053) dan al-Turmuzi(2333)
Ibn Umar R.Anhuma dalam wasiatnya itu berkata: “Gunakanlah dari sihatmu bagi masa sakitmu dan dari hidupmu bagi masa matimu.” Ini bermaksud masa sihat dan masa hidup di dunia hendaklah digunakan sepenuhnya dan sebaik-baiknya untuk amal dan pekerjaan yang berguna untuk mendatangkan faedah di kemudian hari dan hendaklah menghargai masa tersebut sebelum datang masa sakit dan masa mati. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 379-380)
Terlalu banyak ‘kerja’ yang diamanahkan terbengkalai, tidak siap, terpaksa menukar kontraktor, hasil binaan cepat rosak, jambatan runtuh, atap bangunan bocor, lift rosak. Itulah yang sering kedengaran natijah daripada sikap bertangguh.
Kami nukilkan apa yang kami nyatakan dalam buku kami, peri pentingnya pelaksanaan tanpa bertangguh termasuklah dalam mengejar cita-cita. Antara lain, kami katakan:
Ibn Abi al-Dunya dalam kitab Qasr al-Amal pada hikmah ke-206-208, antara lain meriwayatkan banyak nas antaranya:
Daripada Abi Ishak al-Sabie’ R.A. berkata:
قِيلَ لِرَجُلٍ مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ: أَوْصِ، قَالَ: احْذَرُوا سَوْفَ
Maksudnya: “Dikatakan kepada lelaki daripada Abdul Qais: “Wasiatkanlah kepada aku.” Jawabnya: “Awasi perkataan saufa (yang bermaksud ‘akan’).”
Daripada Abi al-Jalal, Jailan bin Farwah R.A. katanya:
قَرَأْتُ فِي بَعْضِ الْكُتُبِ أَنَّ سَوْفَ جُنْدٌ مِنْ جُنُودِ إِبْلِيسَ
Maksudnya: “Aku baca pada sebahagian kitab, bahawa saufa (akan buat) adalah tentera daripada tentera-tentera iblis.”
Daripada Anas Bin Malik R.A. katanya:
التَّسْوِيفُ جُنْدٌ مِنْ جُنُودِ إِبْلِيسَ عَظِيمٌ، طَالَمَا خَدَعَ بِهِ
Maksudnya: “Bertangguh itu tentera daripada tentera-tentera syaitan yang besar selama mana diperdaya dengannya.”
Justeru, sayugia kita menghindarkan kalimah ini yang menunjukkan kita sebenarnya bertangguh.
Banyak kali menyebut perkataan ‘akan’ dan ‘nanti’ sebenarnya boleh menjadi racun dan virus yang akhirnya menatijahkan sebuah kegagalan dalam kehidupan. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 115-116)
Justeru, ambillah masa dan peluang yang ada dalam melakarkan sejarah yang baik dan lebih penting, dapat melaksanakan amanah yang ditaklifkan dengan cara yang terbaik mungkin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.” 22