#7970: Menukar Nazar Kepada Fakir Miskin Kepada Sumbangan Pembangunan Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah sumbangan untuk pembinaan masjid diterima daripada wang nazar yang telah diniatkan untuk fakir miskin, atau tidak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Nazar

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya,”\

(Surah al-Hajj:29)

Syeikh al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Lafaz suruhan dalam ayat di atas menunjukkan bahawa kewajipan untuk menunaikan nazar kerana lafaz suruhan itu menunjukkan wajib  kecuali terdapat dalil-dalil yang mengubah kewajipan tersebut. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 5/718)

Diriwayatkan daripada  Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

Riwayat al-Bukhari (6696)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut bahawa: Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk berzina dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, mengubah nazar tidak terlepas daripada dua keadaan:

Pertama: Mengubah nazar kepada sesuatu yang lebih baik, lebih mulia, dan lebih tinggi.

Kedua: Mengubah nazar kepada sesuatu yang lebih rendah.

Sebagai contoh: Seorang lelaki bernazar kepada Allah untuk menyembelih seekor kambing, tetapi dia tidak menemui kambing dan menemui ayam jantan lalu menyembelihnya. Ini termasuk dalam keadaan kedua. Jika dia bernazar untuk menyembelih seekor kambing tetapi tidak menemui kambing lalu menyembelih seekor lembu, ini termasuk dalam keadaan pertama.

Dalam keadaan pertama, dibenarkan untuk mengubah kepada sesuatu yang lebih baik daripadanya, tetapi tidak dibenarkan mengubahnya kepada yang lebih rendah. Hal ini sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa beliau berkata:

أنَّ رجلًا قام يومَ الفَتْحِ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ إِّني نَذَرْتُ لِلَّهِ إِن فَتَحَ اللهُ عَلَيْكَ مَكَّةَ أَن أُصَلِّيَ فِي بَيْتِ المَقْدِسِ رَكْعَتَينِ. فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُُ عَلَيْهِ وسلَّمَ: صَلِّ هَاهُنَا. ثُمَّ أَعَادَ فَقَالَ: صَلِّ هَاهُنَا. ثُمَّ أَعَادَ، فَقَالَ: صَلِّ هَاهُنَا. ثُمَّ أَعَادَ، فَقَالَ: شَأنُكَ إذًا

Maksudnya:  “Sesungguhnya ada seorang laki-laki yang berkata pada hari Penaklukan Makkah: wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah bernadzar jika Allah menaklukkan Makkah, maka akan akan solat di Baitul maqdis. (Rasulullah SAW) bersabda, solatlah di sini. Laki-laki itu menanyakannya lagi, lalu beliau menjawab, solatlah di sini. Laki-laki itu masih menanyakannya, hingga beliau bersabda, Terserah kamu kalau begitu.”

Riwayat Abu Dawud (3305) dan Ahmad (3/363)

Solat di Masjid Nabawi lebih baik daripada solat di Masjid Al-Aqsa. Oleh kerana solat di Masjid Nabawi lebih baik daripada solat di Masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad SAW bersabda kepadanya: “Tunaikan nazarmu di sini.” Dengan itu, dia dapat menjimatkan perbelanjaannya kerana solat di Masjid Nabawi lebih baik daripada solat di Masjid al-Aqsa.

Oleh itu, sesiapa yang berkata: “Demi Allah, aku akan menyembelih seekor kambing,” lalu dia menyembelih seekor unta atau lembu, maka itu dibenarkan, dan dia telah memenuhi nazarnya. Namun, mengubah nazar kepada yang lebih rendah tidak dibenarkan kerana asalnya adalah tidak mengubah. Bukti yang ada membenarkan perubahan kepada yang lebih baik, tetapi tiada bukti yang membenarkan perubahan kepada yang lebih rendah, maka ia kekal pada asalnya iaitu tidak mengubah. (Lihat Masail Khalafa Fiha Rasulullah SAW Ahl al-Jahiliyyah, 11/15)

Dalam isu mengubah nazar Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Jika seseorang bernazar untuk menyembelih seekor kambing tetapi menggantikannya dengan seekor unta, maka itu dibenarkan tanpa sebarang perselisihan dikalangan para ulama . (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 18/471)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan: Jika seseorang bernazar untuk menyembelih seekor kambing tetapi menyembelih seekor unta sebagai gantinya, maka itu dibenarkan kerana ia lebih baik daripadanya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/588)

Justeru, dalam isu ini mengikut konteks setempat, kami melihat ia terbahagi kepada dua situasi. Pertama, jika suatu tempat mempunyai banyak masjid dan penduduk setempat tidak menghadapi kesukaran untuk solat di masjid-masjid tersebut, maka mengubah nazar untuk pembangunan masjid adalah tidak dibolehkan. Ini kerana memberikan nazar yang telah diniatkan kepada fakir miskin untuk kelangsungan hidup mereka adalah lebih utama. Namun, jika tiada masjid di suatu tempat sehingga menyukarkan penduduk setempat untuk menunaikan solat dan menjalani urusan agama, maka mengubah nazar kepada pembangunan masjid adalah dibenarkan. Dalam situasi tersebut, penduduk setempat lebih memerlukan masjid untuk kegunaan ibadah, khususnya solat fardhu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Wallahu‘alam