Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengambil sarang burung tempua untuk jadikan hiasan di rumah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan kisah berkaitan sabda Nabi SAW kepada kanak-kanak kecil. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ “ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ” نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا.
Maksudnya: Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang terbaik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu ‘Umair, yang aku rasa baru sahaja berhenti menyusu dengan ibunya. Setiap kali adikku itu dibawa kepada Baginda akan bertanya kepadanya, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan? (burung pipit belaan yang selalu dia bermain dengannya) Kadang-kala waktu solat tiba sedang Baginda masih di rumah kami, maka Baginda mengarahkan kami untuk menghamparkan tikar dibawahnya, dibersihkan dan direnjis air. Kemudian Baginda berdiri dan kami mengikut Baginda, dan solat di belakang Baginda.
Riwayat al-Bukhari (6203)
Terdapat juga riwayat lain yang menyebut:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ فَمَاتَ فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ ” مَا شَأْنُهُ ” . قَالُوا مَاتَ نُغَرُهُ فَقَالَ ” يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
Maksudnya: Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Aku mempunyai seorang adik yang diberi kuniyah (gelaran) Abu ‘Umair yang mempunyai seekor burung pipit yang dia selalu bermain dengannya, namun ia telah mati. Maka suatu hari Baginda SAW datang berjumpa dengannya dan melihatnya bersedih, lalu Baginda SAW bertanya akan hal Abu ‘Umair, lalu dijawab: Burung pipitnya telah mati. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya “Wahai Abu ‘Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit itu?
Riwayat Abu Daud (4969)
Sarang burung tempua adalah dari burung tempua. Burung tempua merupakan keluarga jenis burung kicau kecil yang turut digolongkan dalam kelas Ploceidae. Burung-burung jenis tempua ini mula muncul pada zaman Miosen. Kesemua spesies keluarga ini bertaburan asal banyaknya di Afrika namun ada juga beberapa spesies yang hidup di kawasan tropika benua Asia. Burung Tempua merupakan burung yang memakan biji benih dengan paruh berbentuk kon yang tumpul, yang terdapat di Asia dan di Sub Sahara, Afrika. Kebanyakan burung jantan dalam spesies ini berwarna terang, biasanya merah, kuning ataupun hitam.
Burung Tempua dikenali kerana kelebihannya yang membina sarang yang besar yang dijalin daripada rumput dengan pelbagai bentuk bergantung kepada spesies. Burung Burung Tempua mempunyai keupayaan yang khas untuk menganyam sarangnya. Sarangnya mempunyai struktur besar yang boleh dimasuki, dianyam daripada rumput dan ranting yang tergantung daripada dahan pokok dan mungkin mempunyai laluan masuk yang menjulur. Sarang yang diperbuat daripada helaian halus rumput yang dianyam dengan rapi membentuk struktur seperti kon yang tergantung dari dahan pokok.
Gambar di atas: Sarang Burung Tempua (Sumber gambar: https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/1/19/YosriSarangBurungTempua.jpg)
Sarang bagi Burung Tempua jantan berbeza dari segi rekaannya, bentuk, struktur, dan saiz. Sarang Burung Tempua jantan mempunyai tempat bertenggek baginya menunjuk-nunjukkan dirinya, sementara sarang Burung Tempua betina mempunyai bahagian bawah yang melengkung bagi menyimpan telur. Sarang Burung Tempua Kerbau (buffalo-weavers), bagaimanapun, membina sarang besar yang tidak kemas dalam koloni mereka, yang mungkin mempunyai beberapa sarang bulat yang dianyam dalamnya. Sarang burung yang dianyam terkenal atas keutuhannya meskipun tergantung amat tinggi selain kepakaran menganyam burung itu sendiri sehingga diabadikan sebagai kiasan peribadi yang tabah dan berani dalam pantun syair orang Melayu.[1]
Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah untuk seseorang itu menjadikan sarang burung tempua sebagai hiasan di dalam rumahnya. Dalam erti kata lain, kami melihat ia termasuk dalam perkara yang diharuskan dan dibenarkan. Lebih-lebih lagi ia bukanlah patung ataupun memiliki rupa bentuk makhluk bernyawa yang dilarang untuk diletakkan di dalam rumah. Selain itu, tujuannya juga adalah untuk menghiasi dan menyerikan lagi ruang-ruang dalam rumah dan bukannya untuk dimuliakan mahupun diagungkan. Justeru, perkara ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Perkara ini juga adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Al-Nasafi ketika mensyarahkan ayat di atas menjelaskan, Allah SWT telah menciptakan segala yang ada di bumi adalah untuk manfaat manusia di dunia dan juga agama mereka. Adapun yang pertama itu jelas, manakala yang kedua ialah renungan terhadapnya dan segala keajaiban yang menunjukkan kepada Pencipta yang Maha Berkuasa, Bijaksana, dan Mengetahui. Apa yang terdapat di dalamnya mengingatkan tentang akhirat kerana kenikmatannya mengingatkan tentang pahala, dan keburukannya pula mengingatkan tentang hukuman. Al-Karkhi, Abu Bakr al-Razi, dan golongan Muktazilah telah menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa segala sesuatu yang dapat diambil manfaatnya adalah diciptakan sebagai mubah secara asalnya. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/76)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.wikiwand.com/ms/articles/Tempua. Diakses pada 12 Disember 2024.