Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan berkenaan salah seorang pendakwah unggul yang boleh saya jadikan contoh dalam misi dakwah ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”
(Surah Fussilat: 33)
Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata: Ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata ketika menafsirkan ayat ini dengan menyatakan beberapa isi penting iaitu perkataan menyeru kepada mengesakan Allah dan taat kepada-Nya serta beribadah kepada-Nya. Selain itu, maksud beramal soleh di dalam ayat di atas adalah menunaikan segala yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas manusia di samping menjauhkan segala yang diharamkan oleh Allah SWT ke atasnya. (Lihat Tafsir al-Munir, 24/228-229)
Antara ulama’ moden atau pendakwah masa kini yang luar biasa adalah Syeikh Dr Abdul Rahman Humaid al-Sumaith. Saya telah menulis biografi beliau dan dimuatkan dalam sebuah buku bertajuk Tokoh Pendakwah Islam : Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith.
Abdul Rahman bin Humaid al-Sumaith lahir pada 15 Oktober 1947 di Kuwait. Gelarannya ialah Abu Suhaib. Beliau berasal daripada golongan Najd yang terkenal dengan pegangan agama yang teguh dan kuat. Pada peringkat awalnya beliau belajar di negaranya sendiri iaitu Kuwait dan kemudiannya beliau telah menyambung pengajiannya pada Julai 1972 di Jami’ah Baghdad dalam bidang Sarjana Muda Kedoktoran. Selepas itu beliau menyambung pelajaran di Liverpool.
Kemudian beliau ke Kanada bagi menyambung pelajarannya dalam bidang Usul dari Julai 1974 sehingga 1978. Kemudian ke London dari tahun 1979 hingga tahun 1980 sebelum kembali semula ke Kuwait pada tahun 1983. Beliau meninggal dunia pada hari Khamis 15 Ogos 2013 bersamaan 8 Syawal 1434 Hijri ketika berusia 66 tahun kerana sakit jantung.
Antara kejayaan dan sumbangannya ialah:
- Selepas menamatkan pelajaran di peringkat kedoktoran beliau begitu aktif menyampaikan dakwah khususnya di benua Afrika. Hasilnya amat lumayan di mana lebih daripada 11 juta orang masuk Islam dengan sebab dakwahnya selama 29 tahun. Natijah daripada itu menunjukkan bahawa seolah-olah hampir seribu orang masuk Islam sehari dengan sebab dakwahnya. Inilah titik keluarbiasaan yang tidak wujud pada orang lain.
- Penubuhan sekolah-sekolah pembelajaran dan pendidikan untuk anak-anak Afrika lebih daripada setengah juta orang.
- Penubuhan lima buah Universiti di Afrika.
- Menggali telaga untuk para penduduk lebih daripada 12,000 telaga.
- Menyediakan lebih daripada 4000 pendakwah, guru dan pemikir untuk meneruskan dakwah Islamiyyah.
- Menyediakan lebih daripada 840 tempat belajar.
- Membina hampir 5700 masjid.
- Memberi bantuan dan memelihara lebih daripada 5000 anak yatim.
- Membina 124 hospital dan klinik.
- Menyediakan sejumlah yang besar untuk umat Islam sedunia berbuka puasa melebihi 40 buah negara yang membabitkan hampir 2 juta orang.
- Memberi tajaan untuk 95 ribu pelajar Muslim dalam meneruskan pembelajaran mereka.
- Mencetak lebih daripada 6 juta naskah mushaf untuk diedarkan kepada muallaf atau saudara Islam yang baru. (Lihat Tokoh Pendakwah Islam: Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith, hlm. 17 dan 23-24)
Sebenarnya, ramai lagi tokoh-tokoh yang hebat, yang kita boleh contohi mereka seperti Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Maulana Abi al-Hasan Ali al-Nadwi dan lain-lain. Benarlah kata pujangga Arab:
فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ
“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,
Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”