#7978: Fatwa-fatwa Ulama Berkaitan Kad Kredit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah perbincangan dan fatwa-fatwa ulama’ semasa berkaitan isu penggunaan kad kredit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ Dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(Surah Ali-Imran : 130)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً’, yakni, mereka diperintahkan untuk meninggalkan amalan riba, menginfakkan harta di jalan Allah, serta mempersiapkan diri untuk menyebarkan agama Islam. Sebagaimana yang diketahui, pengharaman riba berlaku dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun, ia disebutkan di sini sebagai peringatan terhadap amalan yang mereka lakukan sebelum ini. Dahulu, mereka melakukan riba dengan menetapkan tempoh tertentu, dan apabila tempoh tersebut tamat, mereka menambah jumlah hutang. Hal ini berterusan secara berulang kali sehingga peminjam riba memperoleh keuntungan berlipat kali ganda daripada jumlah asal yang dipinjamkan. (Lihat Fath al-Qadir, 2/319)

Dalam menjawab isu ini, kami kemukakan pandangan-pandangan ulama’ seperti berikut:

Pertama: Pandangan yang Membenarkan Ketika Ada Keperluan:

Pada hakikatnya, ini merupakan pendapat ulama yang memperincikan perbahasan penggunaan kad kredit konvensional, ketika adanya hajat keperluan sehingga memerlukan seseorang itu untuk mengambil kad tersebut, dan juga hukum penggunaannya ketika tidak mempunyai sebarang keperluan serta tiada alternatif lain selain kad kredit konvensional.

1-Syeikh ‘Abd al-Haq al-Turkmani

Antara yang menyebutkan pandangan ini adalah Syeikh ‘Abd al-Haq al-Turkmani, dalam laman utama beliau mengulas mengenai kad kredit konvensional. Beliau menyatakan bahawa: Ini adalah isu yang sering kali ditanyakan, oleh kerana terdapat keperluan yang mendesak untuk menggunakan kaedah ini. Banyak laman web tidak menerima kad tunai atau kad debit, atau mungkin juga seseorang itu memerlukannya untuk membeli sesuatu sebelum gaji masuk ke akaunnya. Beliau lebih cenderung untuk memilih pendapat dan memberikan fatwa keharusan menggunakan kad kredit atas dasar keperluan, dengan komitmen sepenuhnya untuk melunaskan keseluruhan hutang itu dalam tempoh masa yang ditetapkan agar terhindar dari membayar riba.

Keringanan ini pada hakikatnya dikeluarkan oleh seorang ilmuan yang besar, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, yang memberikan pandangan tersebut ketika seorang lelaki bertanya kepada beliau: “Pemegang kad Visa akan dikenakan syarat riba jika pembayaran tertunda, dan mungkin dikenakan denda. Tetapi di tempat tinggal saya di Amerika, saya tidak dapat menyewa kereta atau mendapatkan banyak perkhidmatan awam tanpa menggunakan kad Visa. Jika saya tidak menggunakan kad ini, saya akan menghadapi kesulitan besar yang tidak dapat saya tanggung. Oleh itu, adakah diharuskan jika saya memberikan sepenuh komitmen untuk membayar pada masa tertentu, agar saya tidak terjerumus ke dalam riba, yang membolehkan saya menggunakan kad ini dalam keadaan sulit yang saya hadapi?”

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin menjawab, sekiranya kesulitan itu diyakini atau pasti, dan kebarangkalian untuk tertunda tertunda pembayaran semula itu adalah rendah, saya berharap tidak ada masalah dalam keadaan ini.

Kemudian, lelaki tersebut bertanya lagi: “Adakah syarat yang mempunyai unsur riba itu boleh membatalkan kontrak?”

Syeikh menjawab: “Sekiranya dalam kontrak tersebut terdapat syarat yang batil sekalipun, ia tidak akan membatalkan kontrak kerana dua faktor:

  • keperluan,
  • dan kerana syarat yang mempunyai unsur riba itu tidak terpenuhi, disebabkan seseorang itu mempunyai sangkaan yang kuat bahawa dia akan melunaskan hutang tersebut.

Oleh itu, kerana keyakinan bahawa komitmen tersebut akan terpenuhi dan syarat riba itu tidak terpenuhi, diikuti dengan wujudnya keperluan – ini adalah noktah terakhir yang amat penting – maka saya berharap tidak ada masalah dalam hal ini, kerana kita mempunyai sesuatu yang pasti berlaku, iaitu keperluan, dan kita mempunyai sesuatu yang meragukan, iaitu terlewat melakukan pembayaran, maka mempertimbangkan yang pasti adalah lebih utama. Dan Allah jua yang lebih mengetahui.” (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami ke-12, 3/514)

Kemudiannya, Syeikh ‘Abd al-Haq al-Turkmani menyebutkan bahawa Syeikh Ibn al-‘Uthaimin juga mempunyai fatwa yang bertentangan, yang menyatakan secara jelas bahawa hukum asal penggunaannya adalah haram. Manakala keringanan yang disebutkan ini diberikan kerana terdapat hajat keperluan seperti yang disebutkan. Adapun, mereka yang tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menggunakan kad kredit konvensional ini (seperti ada alternatif lain), maka tidak diharuskan baginya untuk mengambil keringanan ini.[1]

2-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid ketika ditanya tentang hukum penggunaan kad ini, beliau menyatakan terlebih dahulu hukum asal penggunaannya, iaitu haram kerana ia melibatkan muamalat yang berunsurkan riba. Sementelahan lagi, sememangnya terdapat syarat-syarat yang berunsur riba dalam akad kad kredit ini. Akan tetapi, di sesetengah negara bukan Islam, ramai orang yang terpaksa mengambil kad kredit konvensional ini kerana terdapatnya keperluan untuk menggunakannya. Beliau kemudiannya membawakan jawapan Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin di atas, yang mengharuskan penggunaan kad kredit tersebut ketika terdapatnya keperluan dan pemegang kad tersebut mampu membayar komitmen bulanan tanpa melebihi tempoh masa yang ditetapkan.[2]

3-Perhimpunan Ulama Islam Amerika (AMJA)

Ketika penutupan konvensyen ke-3 yang diadakan di Nigeria, mereka menyebutkan beberapa kesimpulan berkenaan hukum-hakam yang terkait dengan isu fiqh kontemporari, dan antaranya adalah hukum penggunaan kad kredit konvensional. Mereka menyatakan, kad kredit ini pada asalnya  termasuk dalam akad yang fasid kerana terdapat beberapa syarat yang berunsur riba, yang mana pengguna wajib menerima syarat tersebut.

Akan tetapi, diberikan keringanan untuk menggunakannya dalam keadaan umum balwa, dalam erti kata lain, ia boleh mendatangkan mudarat dan kepayahan dalam kalangan majoriti para mukallaf ataupun sekumpulan yang tertentu dari kalangan mereka jika tidak menggunakannya. Keringanan ini juga dibolehkan apabila terdapatnya keperluan untuk menggunakannya, tanpa terdapat alternatif lain yang patuh syariah. Dalam masa yang sama, terdapat kebarangkalian yang kuat bahawa pengguna dapat melunaskan hutang kredit yang diambil tersebut sekaligus tanpa melebihi tempoh yang ditetapkan agar dapat mengelakkan dari tersungkur dalam syarat riba tersebut.

Meskipun begitu, terdapat syarat lain yang disebutkan oleh Perhimpunan Ulama Islam Amerika, iaitu dengan menggunakannya hanya ketika terdapatnya keperluan sahaja, dan tidak menggunakannya jika tujuan asal penggunaan kad kredit tersebut telah tercapai. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.”

Natijahnya, tidak boleh mengeluarkan wang dengan menggunakan kad kredit ini melainkan dalam keadaan darurat sahaja, kerana syarat yang mempunyai unsur riba tersebut telah ditetapkan sejak dari awal persetujuan akad lagi, dan tidak ada jalan lain untuk mengelak dari syarat tersebut.[3]

Syeikh Dr. Walid bin Idris al-Manisi, salah seorang jawatankuasa fatwa Perhimpunan Ulama Islam Amerika, cenderung memilih pandangan yang mengharuskan penggunaan kad kredit konvensional ini, tetapi keharusan tersebut hanya khusus untuk pembelian barangan sahaja tanpa melakukan pengeluaran wang tunai menggunakan kad tersebut. Keharusan ini juga diikat dengan syarat, bahawa pengguna perlu membayar dalam tempoh tertentu yang tidak dikenakan keuntungan riba padanya, yang kebiasaannya tempoh tersebut lingkungan 25 hari hingga 30 hari. Caj yang dikenakan oleh pengeluar kad ke atas penjual barangan itu pula ibarat upah yang diberikan kepada agen, dan ianya dibenarkan menurut pandangan yang lebih tepat, dengan izin Allah SWT.

Adapun pengeluaran wang tunai, pengguna pasti dikehendaki membayar keuntungan riba kepada pengeluar kad, maka hukumnya adalah haram.[4]

4-Dr. ‘Abd Sattar Abu Ghuddah

Beliau berpendapat bahawa ini adalah sesuatu yang boleh diterima, seolah-olah pemegang kad masuk ke dalam kontrak dengan memikul tanggungjawab untuk membayar faedah, kemudian dia memperbetulkan kontrak dengan menolak syarat yang tidak sah ini dan tetap komited untuk membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan tanpa penangguhan — bagi mengelakkan dikenakan caj tersebut. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 12/1455).

 

5-Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi

Dalam salah satu fatwa yang dikeluarkan oleh beliau dalam sebuah rancangan televisyen Qaf al-Tafa‘uliyyah (قاف التفاعليّة), beliau menyatakan: “Membuka akaun bank di negara bukan Islam adalah diharuskan, dalam keadaan tidak ada bank Islam, atau mungkin bank Islam itu wujud tetapi sangat jauh atau tidak dapat melunaskan kewajipan dengannya. Dan begitu juga diharuskan mengambil kad kredit kerana ia hampir sahaja dianggap sebagai suatu keperluan asasi, yang mana boleh mendatangkan risiko jika seseorang itu membawa wang secara tunai begitu sahaja. Dalam keadaan ini, tiada halangan untuk menggunakan kad kredit, tetapi dengan satu syarat, pengguna tidak dikenakan faedah apabila di dalam akaunnya mempunyai nilai yang mencukupi untuk dibayar semula kepada bank, tanpa dikenakan sebarang faedah.”[5]

Kedua: Pandangan yang Tidak Membenarkan:

Terdapat pandangan sebahagian ulama lain yang melarang penggunaan kad kredit konvensional secara keseluruhan, tanpa membeza-bezakan hukumnya ketika terdapatnya keperluan (hajat) ataupun tidak.

1-Majma‘ al-Fiqh al-Islami

Resolusi No. 108 (2/12) berkenaan “Kad Kredit”: Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam Pertubuhan Persidangan Islam Sesi Ke-12 yang diadakan di Riyadh (Arab Saudi) pada 25 Jamadil Akhir hingga 1 Rejab 1421H (23-28/9/2000).

Berdasarkan Resolusi No. 63 (1/7) bagi tajuk Pasaran Modal telah diputuskan penetapan penangguhan berkaitan kad kredit akan dibuat pada sesi yang akan datang.

Dan berdasarkan Resolusi No. 102/4/10 setelah diteliti kertas kajian mengenai kad kredit yang dikemukakan kepada Majlis dan setelah didengari oleh para cendekiawan dan ahli ekonomi dalam perbincangan serta berdasarkan Resolusi No. 63(1/7) yang mentakrifkan kad kredit sebagai:

Satu dokumen diberikan oleh pengeluarnya (bank) kepada seseorang individu atau entiti (pemegang kad) dengan ikatan kontrak di antara mereka yang membolehkan pemegang kad membeli barang-barang atau perkhidmatan daripada penjual yang mengiktiraf kad tanpa perlu membuat pembayaran segera kerana jaminan pembayaran yang dibuat oleh pengeluar kad. Pembayaran dibuat melalui akaun pengeluar kad (bank) di mana selepas itu caj akan dikenakan ke atas pemegang kad pada selang waktu yang ditentukan. Sebahagian pengeluar mengenakan kadar faedah (riba) pada jumlah baki yang belum dilangsaikan selepas satu tempoh tertentu dari tarikh (hutang tersebut) yang dituntut manakala sebahagian pengeluar tidak mengenakan sebarang kadar faedah.

Keputusannya adalah seperti berikut:

  • Tidak dibenarkan untuk menggunakan kad kredit atau bertransaksi dengannya jika ia mensyaratkan pengenaan kadar faedah (riba) walaupun pemegang kad berazam untuk membayar dalam tempoh yang tidak dikenakan caj kadar faedah.
  • Dibenarkan untuk menggunakan kad kredit jika tidak disyaratkan sebarang pengenaan caj faedah atas hutang. Keharusan aqad ini melihat kepada dua jenis pertimbangan:
    1. Dibenarkan bagi pengeluar kad untuk mengambil sejumlah wang yang tertentu daripada pemegang kad ketika pengeluaran atau pembaharuan kad atas kos sebenar (actual cost) di atas perkhidmatan yang telah disediakan kepada pemegang kad.
    2. Dibenarkan pengeluar kad untuk mengambil komisen atas barang-barang atau perkhidmatan yang dibeli oleh pemegang kad dengan syarat bahawa barang-barang atau perkhidmatan itu dijual pada harga yang serupa sama ada dalam bentuk tunai atau kredit.
  • Penggunaan kad kredit untuk mengeluarkan tunai adalah sebuah bentuk pinjaman (Qardh) daripada pengeluarnya. Oleh itu, transaksi seperti ini tiada larangan menurut syara‘ selagi mana tidak melibatkan pembayaran caj faedah (riba). Jumlah caj tertentu yang diambil oleh pengeluar kad sebagai bayaran untuk kos perkhidmatan sebenar yang tidak berkaitan dengan jumlah pinjaman atau tempoh bayaran tidak dianggap sebagai riba. Apa-apa caj tambahan ke atas perkhidmatan sebenar adalah haram kerana ia merupakan riba yang diharamkan syara‘ seperti yang digariskan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa iaitu pada Resolusi No.13 (10/2) dan No.13 (1/3).
  • Tidak dibenarkan menggunakan kad kredit untuk membeli emas, perak dan mata wang.

2-Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia

Berkenaan keharusan penggunaan kad kredit Islam, Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-77 bertarikh 3 Julai 2008 dan mesyuarat ke-78 bertarikh 30 Julai 2008 telah memutuskan bahawa kad kredit yang berdasarkan konsep ujrah seperti yang dicadangkan adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut:

  1. Institusi kewangan Islam hendaklah memastikan ujrah yang dikenakan merupakan tukaran kepada perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan sebenar (non-fictitious) yang berlandaskan Syariah;
  2. Pengenaan ujrah yang berbeza bagi jenis kad kredit yang menawarkan perkhidmatan, keistimewaan dan manfaat yang berbeza adalah harus;
  • Pengenaan ujrah bagi perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan yang tidak berkaitan dengan pemberian qardh, penangguhan hutang dan pertukaran tunai dengan tunai pada nilai berbeza adalah dibenarkan; dan
  1. Pengenaan ujrah bagi perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan yang berkaitan dengan pemberian qardh, penangguhan hutang dan pertukaran tunai dengan tunai pada nilai berbeza adalah tidak dibenarkan. Namun demikian, caj bagi menampung kos sebenar (nafaqah/taklufah) pengendaliannya boleh dikenakan.

3-Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah

Dalam fatwa Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah mengenai kad kredit mengatakan: Jika kad tersebut merupakan kad kredit, maka hubungan antara pemegang kad dan pengeluar kad tersebut adalah sebagai jaminan dan pinjaman. Oleh itu, tidak dibenarkan untuk menuntut bayaran atas akad yang dilakukan tersebut, kecuali untuk kos sebenar dalam mengeluarkan kad tersebut. Ini kerana bayaran atas jaminan tidak dibenarkan menurut persetujuan ulama dari empat mazhab, dan juga tidak dibenarkan menggunakan kad jika terdapat syarat riba yang mewajibkan pemegang kad untuk membayar jika  lewat dalam pembayaran hutangnya. Dalam kes ini, tidak dibenarkan untuk memanfaatkannya dengan cara ini, walaupun pelanggan yakin dengan kewajipannya untuk membayar tepat pada masanya. Ini kerana syarat riba dalam pinjaman sudah mencukupi untuk mengharamkannya dari awal.[6]

 

4-Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Begitu juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Keharaman adalah kerana mensyaratkan faedah penangguhan apabila pembayaran lewat dari masa yang ditentukan; kerana itu adalah seperti menjual al-kali’ bi al-kali’ iaitu hutang dengan hutang yang diharamkan oleh syara‘, yang bermaksud menjual sesuatu yang bertangguh dengan yang bertangguh.[7]

5-Al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’

Jawatankuasa lajnah ditanya tentang perkara kad kredit. Mereka menjawab seperti berikut: Jika keadaan kad  seperti yang disebutkan, maka ia adalah satu bentuk baru dari perbuatan ribawi, memakan harta manusia dengan cara yang zalim, membuat mereka berdosa, mencemari pendapatan serta urusan mereka. Ia tidak keluar daripada hukum riba jahiliyyah yang diharamkan dalam syariat yang suci yang mana mereka mengatakan: “Sama ada kamu membayar hutang tersebut atau dikenakan riba.” Oleh itu, tidak dibenarkan untuk mengeluarkan kad ini dan menggunakanya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah — al-Majmu‘ah al-Ula, 13/525).

Justeru, Kebanyakan kad kredit tidak mempunyai sebarang kebimbangan dalam bidang ekonomi, bagi individu yang menggunakan perbankan konvensional dan bersedia untuk membayar faedah-faedah ini jika mereka lewat dalam menyelesaikan baki mereka di bank di mana mereka mempunyai akaun.

Namun, larangan ini jelas bagi seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip-prinsip agamanya, di mana dia akan berdosa besar atau melakukan dosa jika dia terlibat dalam riba atau faedah bank, seperti yang berlaku pada masa jahiliyyah.

Tarjih dan Kesimpulan

Berdasarkan kepada penghujahan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa hukum penggunaan kad kredit konvensional pada asalnya adalah tidak dibolehkan dan haram. Hal ini kerana penglibatannya dengan riba dan riba sangat dilarang keras dalam agama Islam berdasarkan nas-nas yang jelas daripada al-Quran dan hadith tentang pengharamannya. Justeru, penggunaan kad kredit konvensional sekalipun ia dibayar dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan faedah atau caj tambahan tetap dilarang dan dihukumkan sebagai haram kerana ia dianggap termasuk dalam perbuatan membantu, menyokong dan mempromosikan kepada produk yang berasaskan kepada riba. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.”

Begitu juga kaedah fiqh yang lain turut menyatakan:

مَا حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إِعْطَأُوهُ

Maksudnya:Sesuatu yang haram untuk mengambilnya, maka diharamkan juga untuk memberinya.

Dalam erti kata lain, kaedah di atas menjelaskan bahawa apa sahaja perkara yang diharamkan untuk diambil, maka memberikannya kepada orang lain juga hukumnya adalah diharamkan. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan.

Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa dalam beberapa keadaan dan realiti semasa terutamanya mereka yang tinggal di negara bukan Islam atau bekerja di luar negara yang tiada pilihan lain atau seumpamanya, maka penggunaan kad kredit konvensional adalah diharuskan kerana adanya keperluan mendesak (dharurah) dengan syarat bahawa bayaran perlu dilakukan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan bagi menghindari daripada dikenakan faedah (interest) lalu ia menjadi riba. Inilah pendapat sebahagian ulama seperti Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin (dalam satu pendapatnya), Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid, Syeikh ‘Abd al-Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi dan Syeikh ‘Abd al-Haq al-Turkmani.

Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Dharurat (keadaan terpaksa) membolehkan perkara yang dilarang.”(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 94 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84).

Seterusnya, keharusan tersebut bukanlah bersifat mutlak, sebaliknya ia terikat dengan kadarnya bagi menghilangkan keadaan darurat itu sahaja seperti mana kaedah menyebutkan:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186)

Makna ijmali bagi kaedah ini iaitu sesuatu yang harus dibina di atas darurat, maka harus pelaksanaannya mengikut kadar yang secukupnya sahaja bagi menghilangkan darurat tersebut semata-mata dan tidak dibolehkan lebih daripada itu. (Lihat Durar al-Hukkam Syarh Majallah al-Ahkam, 1/38)

Begitu juga mereka yang sudah memiliki kad kredit konvensional dan sudah pun menggunakannya dalam apa-apa pembelian atau pembiayaan, kami berpendapat jika tiada sebarang masalah atau seumpamanya, bagi dirinya untuk bertukar kepada kad kredit Islamik, maka hendaklah dia melakukannya sesegera mungkin. Ini adalah kerana ia adalah jauh lebih baik dan lebih selamat dalam menghindari daripada terjebak mahupun terlibat dengan riba. Apatah lagi, turut turut dikhuatiri jika dia terlambat bayar atau terlupa, ia akan terjatuh ke dalam riba, sedangkan pada masa yang sama adanya alternatif lain — iaitu kad kredit Islamik. Tambahan lagi, dengan menyokong bank konvensional secara tidak langsung akan mengakibatkan bank Islam kurang berkembang dan tidak dapat bersaing dengan bank konvensional.

Namun, jika terdapatnya masalah atau seumpamanya untuk dirinya bertukar kepada kad kredit Islamik seperti akan dikenakan cas atau denda yang lebih tinggi atau lain-lain seumpamanya, maka kami berpendapat tidak mengapa untuk dia terus menggunakan kad kredit konvensional tersebut dengan syarat ia mesti dibayar dalam tempoh yang diberikan bagi mengelakkannya dikenakan faedah (interest) atau cas tambahan lalu ia menjadi riba. Dikesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan bahawa dalam menjalankan urusan jual beli menggunakan kad kredit, penting bagi semua individu untuk memahami peraturan agama dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Yang demikian bagi memastikan transaksi tersebut berada dalam batasan yang dibenarkan oleh Islam

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala perintahnya dan menjarakkan kita daripada sebarang unsur riba. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

 

[1] Lihat https://turkmani.com/fatawa/44. Diakses pada 20 Februari 2024.

[2] Lihat https://islamqa.info/ar/answers/3402/التعامل-ببطاقات-الاىتمان-الربوية-في-حالة-الضرورة. Diakses pada 21 Februari 2024.

[3] Lihat https://www.amjaonline.org/declaration-articles/decisions-and-recommendations-of-amjas-third-annual-convention-nigeria-ar/. Diakses pada 21 Februari 2024.

[4] Lihat https://www.amjaonline.org/fatwa/ar/1195/ما-هو-حكم-بطاقات-الائتمان-المصرفية. Diakses pada 21 Februari. 2024

[5] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=COh8gnsnGn8. Diakses pada 22 Februari 2024.

[6] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3408. Diakses pada 20 Februari 2024.

[7] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11797/. Diakses pada 20 Februari 2024.