Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan bahaya arak dan juga apa sahaja yang memabukkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain. Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal. Oleh itu, semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang. Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Ma’idah: 91)
Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Riwayat al-Hakim (4/145)
Melihat kepada realiti semasa, kita dapat simpulkan kepada beberapa perkara:
- Statistik kemalangan disebabkan oleh pemandu yang mabuk amat tinggi dan boleh membawa kematian.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang bebas daripada pengaruh alkohol. Ketua Pengarah Miros, Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, dapatan itu diperoleh hasil kajian institut tersebut terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kemalangan di negara ini.[1] Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh 2014 sehingga 2018, sebanyak 637 kematian yang berpunca daripada kemalangan yang membabitkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol direkodkan.[2]
- Rumah tangga musnah akibat ketagih arak atau dadah juga tidak dapat disangkal lagi. Ia mengakibatkan kebahagiaan seseorang dan keluarga hancur dan musnah disebabkan mereka yang ketagihan arak atau dadah yang hanya menyembah bahan najis tersebut. Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 5.3% kes keganasan rumah tangga dan 4,5% kes penderaan anak-anak berpunca daripada alkohol (Mastura, 2016).[3]
- Keberhutangan yang melampau sehingga runtuhnya ekonomi seseorang atau keluarga disebabkan arak atau dadah. Kajian yang dibuat oleh Assunta pada 2001 menunjukkan bahawa penagihan arak merupakan faktor utama yang memburukkan lagi masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat terutama kaum India yang bekerja sebagai buruh di ladang getah dan kelapa sawit. Dalam sebulan pekerja-pekerja ladang ini boleh membelanjakan hampir keseluruhan gaji mereka bagi membeli arak. Ketagihan arak ini kemudiannya memporak-perandakan institusi keluarga dan kebiasaannya kaum wanita dan anak-anak menjadi mangsa yang terpaksa menanggung penderitaan ini yang wujud dalam bentuk penderaan dan juga pengabaian.[4]
- Penyakit yang tak terperi yang mengakibatkan pelbagai jenis penyakit dan sebahagiannya membawa kematian. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, alkohol boleh merosakkan atau memusnahkan sel-sel hati. Alkohol akan diproses oleh hati supaya boleh dikeluarkan dari badan anda. Hati boleh menjadi cedera atau rosak teruk jika alkohol diambil secara berlebihan dan berterusan secara kronik.
Peminum arak tegar (kaki botol) berisiko tinggi untuk mendapat penyakit hepar (hati) yang teruk. Sesetengah kaki botol pula boleh mendapat sirosis hati tanpa menghidap hepar (hati) alkoholik. Golongan ini mungkin tidak mempunyai gejala-gejala awal penyakit sirosis hati. Selain itu, peminum arak yang tegar yang mempunyai penyakit hati seperti Hepatitis (jangkitan kuman pada hati) mempunyai risiko yang tinggi menghidap sirosis hati.[5] Menurut satu kajian, setiap tahun di dunia, dicatatkan 3 juta kematian berpunca dari pengambilan alkohol berlebihan.
- Mencetuskan ketidakharmonian di mana arak turut menjadi punca kepada pergaduhan dan perbalahan sama ada dalam kalangan keluarga mahupun dalam kalangan masyarakat dan kaum. Data yang dikeluarkan oleh JKM menunjukkan sepanjang 2008 hingga 2010 terdapat 281 kes pergaduhan kaum yang berpunca daripada arak. Walaupun ini merupakan data lain, namun masalah pergaduhan kaum bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan Malaysia ialah sebuah negara majmuk. Sebarang ketegangan kaum yang berterusan boleh menyebabkan agenda pembangunan negara terbantut.[6]
Hal ini adalah realiti yang dapat dilihat apabila sesebuah keluarga terpengaruh dan terjebak dalam kancah arak dan dadah. Justeru, atas dasar inilah, seolah-olah pensyariatan berkenaan dengan pengharaman arak adalah untuk memelihara Maqasid yang lima, iaitu Hifz al-Din, Hifz al-Nafs, Hifz al-Aql, Hifq al-‘Irdh dan Hifz al-Mal. Semuanya terkait dengan arak dan dadah.
Di samping itu, matlamat syariat ini adalah untuk mencapai jalb al-masalih (meraih banyak maslahat) dan dar’ al-mafasid (menolak banyak kerosakan). Kedua-duanya dapat direalisasikan dengan sebab menjauhkan daripada arak dan dadah. Akhirnya, menatijahkan kebahagiaan dalam kehidupan serta sa‘adah abadiyah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat Berita Sinar Harian yang diterbitkan 8 Mei 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/82625/BERITA/Nasional/Pemandu-mabuk-13-kali-berisiko-sebabkan-kemalangan-Miros . Diakses pada 20 Disember 2023.
[2] Lihat https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/11/25/arak-menghalang-usaha-merealisasi-maslahah/. Diakses pada 20 Disember 2023.
[3] Lihat https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/11/25/arak-menghalang-usaha-merealisasi-maslahah/. Diakses pada 20 Disember 2023.
[4] Lihat https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/11/25/arak-menghalang-usaha-merealisasi-maslahah/. Diakses pada 20 Disember 2023.
[5] Lihat http://www.myhealth.gov.my/rosak-hatimu-akibat-arak/. Diakses pada 20 Disember 2023.
[6] Lihat https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/11/25/arak-menghalang-usaha-merealisasi-maslahah/. Diakses pada 20 Disember 2023.