#7983: Empat Kaedah Utama Membersihkan Hati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ringkaskan, apa cara paling utama untuk membersihkan hati menurut ulama tasawwuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Ibn ‘Ata’illah dalam kitabnya, Taj al-‘Arus menyimpulkan bahawa terdapat empat perkara yang dapat membantu menyuci dan menjernihkan hati, iaitu:

Pertama: Banyakkan Berzikir

Dengan berzikir kepada Allah, ia dapat membersihkan hati daripada kesesatan dan melepaskan diri daripada kebergantungan kepada selain Dia. Hati yang melazimi zikir adalah hati yang mengenali iman dan memiliki rasa takut kepada Allah SWT. Hati tersebut akan bergetar tatkala mendengar nama-Nya disebut, seterusnya menjadikannya semakin lunak dan lembut yang menatijahkan kesucian dan kejernihan hati.

Allah SWT berfirman:

‏اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

(Surah al-Zumar: 23)

Kedua: Banyak Diam.

Lisan yang terlalu banyak berbicara akan mudah tergelincir sehingga memberi kesan yang buruk terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Dalam sebuah hadith yang sahih, Nabi SAW memerintahkan kita agar hanya berbicara yang baik dan benar atau hanya diam. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Riwayat al-Bukhari (6018)

Hadith ini menjelaskan bahawa setiap muslim hendaklah berhati-hati dalam percakapan, dan bercakap hanya dalam perkara yang bermanfaat dan menahan diri dalam apa juga keadaan daripada bercakap perkara yang haram. Selain itu, hendaklah tidak banyak berbicara walaupun pada perkara harus, kerana boleh jadi perkara yang harus itu membawa kepada yang haram. Namun, seseorang wajib bercakap ketika dalam keadaan ada keperluan khususnya untuk menjelaskan kebenaran, melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Semua ini adalah dianggap perkara yang mulia. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 152)

Imam al-Syafi‘i pernah mengungkapkan:

قالوا سَكَتَّ وَقَد خُوصِمتَ قُلتُ لَهُم            إِنَّ الجَوابَ لِبابِ الشَرِّ مِفتاحُ

وَالصَمتُ عَن جاهِلٍ أَو أَحمَقٍ شَرَفٌ            وَفيهِ أَيضاً لِصَونِ العِرضِ إِصلاحُ

أَما تَرى الأُسدَ تُخشى وَهِيَ صامِتَةٌ              وَالكَلبُ يُخسى لَعَمري وَهوَ نَبّاحُ

Mereka berkata: Engkau diam sahaja sedangkan engkau dicaci. Maka jawabku:

“Menjawab adalah kunci pintu keburukan,

Sedangkan diam di depan orang bodoh adalah satu kemuliaan.

Di dalamnya juga terdapat usaha untuk menjaga kehormatan.

Bukankah singa ditakuti meskipun dalam keadaan diam,

Sedangkan anjing itu tetap tidak diacuh meskipun ia terus menggonggong.”

(Lihat Diwan al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 31)

Ketiga: Banyak Khalwat (Menyendiri)

Dengan melakukan khalwat, kita dapat merenung dan bermuhasabah terhadap diri sendiri, dalam usaha membersihkan hati daripada kotoran dunia. Hal ini membawa kepada merasa lemah dan tidak berdaya, serta merasa hanya Allah-lah satu-satunya tempat bergantung. Penuhilah hati dengan tasbih, takbir, tahlil, serta selawat ke atas Nabi SAW.

Ini banyak dilakukan oleh salafus soleh dan ahli tasawuf serta pada solehin. Natijahnya mereka dapat memelihara hati dan mempunyai ketajaman firasat hati serta bersihnya hati sehingga layak mendapat pancaran cahaya serta hidayah daripada Tuhan.

Keempat: Mengurangkan Makan dan Minum.

Mengurangkan makan dan minum atau dengan memperbanyakkan puasa sunat. Dengan begitu kita dapat mematahkan hasrat hawa nafsu, dan melunakkan hati yang keras. Dengan mengurangkan makan dan minum sebenarnya kita belajar mengendalikan nafsu badani, mengawal emosi, belajar qana’ah dan zuhud.

Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa rasa lapar akan membersihkan hati, membangkitkan tekad, dan menajamkan mata hati. Sebaliknya, rasa kenyang akan melahirkan ketumpulan dan membutakan hati, dan mengganggu fikiran.

Menurut beliau, rasa lapar juga dapat menghaluskan hati dan menjernihkannya, kerana hanya dengan hati, seseorang dapat meraih nikmatnya ketaatan, merasakan manfaat zikir dan nikmatnya bermunajat kepada Allah SWT.

Sufyan al-Thauri pernah berkata: “Jika kamu ingin badan sihat dan tidur sedikit, maka sedikitkan makanan anda.”

Dikatakan kepada Imam Ahmad: “Apakah seseorang akan memiliki hati yang lembut (mudah tersentuh) dalam keadaan dia kenyang?” Beliau menjawab: “Saya tidak melihat (perkara) itu (akan berlaku).”

Terdapat banyak kelebihan khususnya bagi yang berpuasa. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah SWT berfirman (yang bermaksud), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’”

Riwayat Muslim (1151)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”