Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana dengan hukuman minuman bukan arak, yang menyerupai arak, tetapi bukan keluaran syarikat arak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya air dalam kategori ini juga adalah diharuskan untuk diminum berdasarkan kepada hukum asal air itu sendiri sebagaimana dalil dan kaedah yang kami telah sebutkan sebelum ini.
Sekalipun begitu, dalam isu ini, kita juga hendaklah melihatnya dari skop yang lebih luas dan pelbagai, terutamanya isu yang melibatkan penyerupaan bekas minuman halal yang menyerupai/sangat mirip bekas minuman arak sekalipun ia dikeluarkan oleh syarikat bukan arak.
Hal ini kerana umat Islam diperintahkan supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya. Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).
Justeru, perbuatan minum arak dan mengadakan majlis minum arak bukan merupakan amalan dan tradisi biasa bagi bagi orang Islam, bahkan terdapat larangan keras mengenainya dalam agama Islam. Bukan itu sahaja, umat Islam turut dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang meminum arak seperti perbuatan mengedarkan gelas-gelas arak, dituang air dan dilagakan gelas antara satu sama lain sebelum minum. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa wajib dikenakan hukuman ta‘zir kepada orang yang mengadakan majlis seperti gaya majlis minum arak. (Lihat Raudhah al-Talibin, 10/174).
Hal ini juga adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Ruhaibani bahawa diharamkan menyerupai golongan peminum arak, bahkan ditakzir pelakunya walaupun minuman itu sendiri adalah halal. Jika berkumpul suatu kumpulan, diadakan majlis, dibawakan alat-alat minuman dan bekas-bekasnya, lalu dituangkan padanya minuman al-sakanjabin[1] (bukan arak) atau seumpamanya, dengan dilantik seorang pelayan untuk melayani mereka. Di samping mereka saling mengucapkan perkataan-perkataan yang biasa diucapkan oleh peminum arak (seperti “cheers”), maka hukumnya adalah haram walaupun minuman itu halal kerana majlis tersebut menyerupai majlis peminum arak. (Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 6/219).
Justeru, sekalipun pada asalnya air itu adalah halal tetapi ia dipakejkan dalam bentuk botol arak dan mempamerkan jenama arak. Oleh itu, kami amat bersetuju dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-19 pada tahun 1987 berkenaan produk Malta Guiness yang antara lain menetapkan bahawa:
“Jawatankuasa fatwa tidak wajar mengisytiharkan minuman Guiness Malta ini halal, walaupun pada hakikatnya (kandungan) minuman ini halal kerana ditakuti menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.”
Oleh itu, kami berpendapat bahawa air minuman yang dibotolkan (packaging) sebagaimana atau mirip rupa bentuk arak, ditambah lagi dengan jenama atau namanya yang seakan-akan arak, adalah tidak dibenarkan dan dilarang untuk diminum, sekalipun pada asalnya ia adalah harus. Dalam hal ini, kami mengambil pendekatan Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati arak, penyerupaan budaya arak, tidak sensitif terhadap isu pengharaman arak dan sebagainya. Seterusnya ia boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak dengan meminum air arak yang sebenar dengan sangkaan ia adalah “arak halal” atau seumpamanya. Begitu juga mengambil kira fiqh ma’alat al-af‘al (fiqh implikasi), di mana betapa besarnya impak buruk kepada umat Islam sekiranya ia tidak dibendung segera.
Apatah lagi kita sama sekali tidak boleh melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan arak khususnya kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dengan label-label yang mengelirukan seperti “soju halal”, “arak halal” atau seumpamanya. Perbuatan itu hanya akan menimbulkan lagi kekeliruan, di samping menyentuh sensitiviti umat Islam. Jadilah seorang pengguna Muslim yang bijak dengan menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk yang meragukan. Lebih-lebih lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak mahupun syarikat arak.
Pada masa yang sama, kami juga mengambil kesempatan di sini, mencadangkan jika benar air minuman itu adalah benar-benar halal dan bukan melalui proses atau cara penghasilan arak, maka gunakanlah jenama lain yang langsung tidak ada kaitan dengan arak. Begitu juga elakkanlah ia daripada dibotolkan (packaging) sebagaimana rupa bentuk arak kerana tegasnya pengharaman dan larangan arak ini bukan sahaja kepada peminumnya, bahkan turut dilarang kepada orang Islam untuk menyerupai golongan peminum arak dari sudut gerak-geri, pakaian dan lain-lain seumpamanya, sehinggakan sebahagian ulama menyatakan, mereka juga boleh dikenakan hukuman ta‘zir disebabkan oleh hal itu.
Seperkara yang penting juga, hendaklah kita menjauhi sebarang bentuk kesamaran dan syubhah apatah lagi membawa tohmahan dan tuduhan. Hal ini berdasarkan kaedah:
اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”
Benarlah sabda Nabi SAW: Daripada Nu’man bin Basyir R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ
Maksudnya: “Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya.”
Riwayat al-Tirmizi (1205)
Sebab-sebab berlaku kekeliruan atau syubhah, terbahagi kepada empat:
- Kurangnya ilmu.
- Kurangnya kefahaman.
- Kecuaian dalam pemerhatian dan kajian.
- Buruknya niat dan tujuan. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 76)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”
Nota Hujung:
[1] Minuman yang mengandungi masam dan manis seperti mana yang dinyatakan dalam Mu‘jam al-Wasit (1/440).