Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perspektif Islam dan hukum terhadap isu pemerdagangan manusia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan perbincangan ini dengan memetik nas Ilahi:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً
Maksudnya: “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.”
(Surah al-Isra’: 70)
Pada ayat di atas, Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya mengulas mengenai karamah insaniyyah yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahawa manusia diberi nikmat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan ialah kemuliaan dan kehormatan diri, di mana dua nikmat ini tidak ada pada mahkluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/190)
Saidina Umar bin al-Khattab ketika menegur anak gabenor Mesir yang memukul rakyat biasa tatkala kalah berlumba kuda, dengan nada yang tegas berkata:
مَتَى اسْتَعبَدْتمُ النَّاسَ وَقَدْ وَلَدَتْهم أُمَّهَاتُهم أَحْرَارًا
Maksudnya: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia? Sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu mereka sebagai manusia merdeka!”[1]
Dalam Islam, terdapat prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara lima perkara utama dalam Islam. Imam al-Ghazali berkata: “Maksud Syarak untuk makhluk lima perkara iaitu: Memelihara mereka berkenaan dengan Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta. Setiap satunya mengandungi pemeliharaan asas yang lima ini, iaitu maslahat. Dengan luputnya satu daripadanya, maka ia membawa kepada mafsadah. (Lihat al-Mustasfa, 1/483)
Konsep pemeliharaan terhadap nyawa (hifz al-nafs) merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Contohnya, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa. Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Kegiatan pemerdagangan manusia merupakan satu bentuk lanjutan daripada amalan perhambaan di mana amat ditentang oleh Islam. Islam memerintahkan agar hamba dilayan dengan baik, kehormatan hamba diangkat sepertimana manusia merdeka serta perasaan hamba dijaga. Islam juga memerintahkan umatnya agar sentiasa bersikap adil dalam menjatuhkan hukuman. Dalam pada itu, Islam menetapkan agar layanan sama rata diberikan terhadap semua manusia meskipun berbeza warna kulit, jantina dan keturunan.
Dalam sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang firman Allah SWT:
ثَلَاثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ كُنْتُ خَصْمَهُ خَصَمْتُهُ: رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ، وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ، وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُوَفِّهِ أَجْرَهُ
Maksudnya: “Tiga golongan Aku musuhi mereka di Hari Kiamat dan siapa yang Aku musuhinya nescaya Aku kalahkannya. (1) Lelaki yang memberi bai’ah dengan-Ku kemudian dia memungkirinya. (2) Lelaki yang menjual orang yang merdeka kemudian dia menikmati hasil jualannya; dan (3) lelaki yang mengupah seseorang, lalu orang itu melaksanakan tugasnya kemudian dia tidak membayar upahnya.”
Riwayat al-Bukhari (2227), Ahmad (8677) dan lain-lain
Dalam mensyarahkan hadith ini, al-Muhallab berkata: “Sesungguhnya amat besar dosa bagi sesiapa yang menjual orang yang merdeka. Ini kerana semua orang Islam sama sahaja dari sudut kehormatan dan zimmahnya. Sebenarnya orang Islam terhadap orang Islam yang lain hendaklah menolongnya bukan menzaliminya, menasihatinya bukan mengambil kesempatan keatasnya. Justeru tidak ada kezaliman yang lebih besar daripada menjadikan seseorang itu hamba atau membawa kearah itu. Siapa yang menjual orang yang bebas dan merdeka sebenarnya dia telah melakukan perbuatan yang Allah tidak izinkan dan akan membawa kepada kehinaan. Ini termasuk dosa besar.”
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Penjualan tersebut terbatal dan kedua-dua penjual dan pembeli dikenakan hukuman.” Diriwayatkan daripada Jallas, daripada Ali R.A bahawa beliau berpendapat: “Hendaklah dipotong tangan penjual orang yang merdeka.” Tetapi pendapat yang kuat ialah pendapat ramai di kalangan ulama, iaitu penjual tersebut tidak dianggap pencuri dan tidak harus dipotong tangannya di bawah hukum hudud (namun masih tertakluk kepada hukuman takzir). (Lihat Syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Battal, 6/349)
Dalam isu pemerdagangan manusia ini, bagaimana mungkin mangsa itu diperlakukan sedemikian rupa, sedangkan manusia itu wajib dipelihara haknya untuk hidup dan dimuliakan. Ini sepertimana firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً
Maksudnya: “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya ke atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.”
(Surah Al-Isra’: 70)
Ayat ini menunjukkan karamah insaniyyah daripada Allah yang mengurniakan pelbagai keistimewaan dengan akal fikiran, petunjuk hidayat, rupa bentuk, dan pelbagai yang lain sehingga layak menjadi khalifah Allah di muka bumi. Justeru, merendahkan martabat seseorang manusia yang lain dengan menjual dan memperdagangkannya adalah satu jenayah dan pelanggaran hak-hak asasi manusia serta menyalahi nas yang sahih lagi sarih.
Kemuliaan manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT yang sewajarnya dipertahankan. Sifat kebersamaan dan kesaksamaan tanpa mengira warna kulit dan latar belakang ialah piagam yang dibawa oleh Islam dan Rasulullah SAW. Benarlah sabda Nabi SAW:
النَّاسُ كُلُّهُمْ بَنُو آدَمَ وَآدَمُ خُلِقَ مِنْ تُرَابٍ
Maksudnya: “Manusia semuanya adalah anak Adam, dan Adam diciptakan daripada tanah.”
Riwayat al-Tirmizi (3955). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan.
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Apabila seluruh manusia itu asalnya adalah satu atau sama, maka kesemua mereka adalah bersaudara. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/317)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Nota Hujung:
[1] Lihat Futuh Misr oleh Ibn ‘Abd al-Hakam, hlm. 195 dan al-Wilayah ‘ala al-Buldan fi ‘Asr al-Khulafa’ al-Rasyidin oleh ‘Abd al-‘Aziz bin Ibrahim, hlm. 45.