#215 Hutang Tidak Bermanfaat

Soalan

Adakah boleh saya memberikan hutang kepada kawan baik saya, sedangkan saya mengetaui tujuannya berhutang bukan atas dasar keperluan dirinya, tetapi dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, sedangkan dia tidak berkemampuan untuk membayar hutang tepat pada masanya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 2/117; al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, hlm. 45)

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir (2/497): ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

Surah al-Baqarah: 282

Secara umumnya, hutang di dalam Islam adalah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Orang yang memerlukannya dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta. Ini ada dinyatakan oleh kitab Allah SWT dan ijma’ ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Hikmah pensyariatan membenarkan amalan ini cukup jelas iaitu merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan kesengsaraan.

Berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/128-129), hukum memberi hutang adalah sunat sementara meminta hutang adalah harus pada asasnya. Inilah hukum hutang dalam keadaan biasa. Walau bagaimanapun, hukum ini mungkin berubah bergantung kepada niat orang yang berhutang, iaitu:

  • Haram: Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.
  • Makruh: Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk. Ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.
  • Wajib: Jika pemberi hutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

Berdasarkan persoalan di atas dan juga hujah-hujah yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa hukum memberi hutang ini berbeza mengikut keadaan dan makruh memberi hutang sekiranya pemberi hutang telah mengetahui bahawa orang yang ingin berhutang akan membeli sesuatu yang tidak berfaedah atau membeli sesuatu sekadar untuk menunjuk-nunjuk sedangkan dia tidak mempunyai kemampuan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam agama ini.

Wallahua’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H