Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, bagaimana cara untuk membersihkan hati?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami kemukakan di sini secara ringkas beberapa cara untuk membersihkan hati dan menetapkannya pada agama Allah dan mentaatinya. Antaranya:
Pertama: Banyakkan berdoa dan munajat kepada Allah SWT seperti menyebut:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Doa ini merupakan antara doa yang sering dibacakan oleh Rasulullah SAW. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW selalu mengucapkan: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ” (Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu) Kemudian aku pun bertanya: ‘Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.’”
Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)
Begitu juga, perkara ini turut dinyatakan oleh Ummu Salamah R.Anha. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, beliau berkata:
قُلْتُ لِأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ ؟ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ؟ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.
Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: ‘Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW berada bersamamu?’ Beliau menjawab: ‘Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ” (“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”).’ Ummu Salamah menyebut: ‘Aku berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah! Betapa kerap engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”.’ Lalu Baginda SAW menjawab: ‘Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.’”
Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)
Kedua: Mujahadah al-Nafs
Menurut Ibn Manzur, al-Mujahadah bermaksud menahan daripada syahwat, menjauhkan hati daripada angan-angan. Al-Nafs merupakan Bahasa Arab yang memiliki makna hakikat, jiwa atau ruh. Dapat disimpulkan bahawa Mujahadah al-Nafs adalah memerangi jiwa atau ruh yang menyeru kepada kejelekan.
Mujahadah al-Nafs adalah proses pertama dalam tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa). Ia juga disebut al-takhalli yang bermaksud pengosongan jiwa iaitu mengosongkan jiwa daripada selain Allah SWT dan segala sifat buruk atau sifat mazmumah serta daripada penyakit-penyakit hati seperti mengumpat, hasad dengki, dendam, bimbang, berprasangka buruk dan sebagainya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 18/25; Mausu‘ah Mustalahat al-Tasawwuf al-Islami, hlm. 169)
Jihad melawan nafsu adalah perkara yang perlu untuk setiap umat Islam mengambil berat kerana ia merupakan jihad untuk mengawal diri dari dikuasai oleh hawa nafsu. Cara untuk berjihad melawan nafsu mempunyai empat peringkat iaitu:
- Melakukan jihad terhadap diri supaya mempelajari petunjuk dan agama yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan kejayaan untuk diri sendiri tanpanya dan tiada kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpanya. Apabila jiwa tidak dibekalkan dengan ilmu, makamalanglah seseorang itu di dunia dan akhirat.
- Berjihad terhadap diri supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh. Apabila seseorang itu tidak mengamalkannya, maka ilmu yang dipelajari hanya sekadar menjadi ilmu tanpa amal. Walaupun tidak membahayakannya, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil.
- Berjihad terhadap diri supaya berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang- orang yang tidak mengetahuinya. Sekiranya seseorang itu tidak melakukannya, dia termasuk dalam golongan yang menyembunyikan apa yang Allah SWT turunkan daripada petunjuk dan penerangan. Ilmunya tidak memberikan manfaat dan tidak dapat menyelamatkannya daripada seksaan Allah SWT.
- Berjihad dengan kesabaran ketika mengalami kesukaran dan seksaan daripada makhluk dalam berdakwah pada jalan Allah SWT dan menanggung semuanya denganmengharapkan redha Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/776-777)
Justeru, berjuang melawan hawa nafsu (mujahadah li nafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada melakukan perkara baik atau buruk. Melaksanakan kecenderungan pada perkara yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada di dalam seseorang yang berjuang dalam melawan hawa nafsu.
Mujahadah nafsu adalah dengan meninggalkan sebarang kehendak yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, jika datang sifat hasad, maka hendaklah kita memahami bahawa ia tidak memberi manfaat kepada kita tetapi sebaliknya membakar segala amalan-amalan kita sebagaimana api membakar kayu-kayu api.
Berkenaan dengan sifat marahnya pula, seseorang itu hendaklah memikirkan akibatnya. Begitu juga dengan mengingati pesanan Rasulullah SAW kepada lelaki yang meminta wasiat daripada Baginda berkali-kali tetapi jawapan Baginda adalah:
لاَ تَغْضَبْ
Maksudnya: “Janganlah kamu menuruti amarah.”
Riwayat al-Bukhari (6116)
Ibn Rajab al-Hanbali dalam menjelaskan hadith ini menyebutkan: “Iaitu, janganlah kamu bertindak dengan kemarahan apabila ia berlaku kepadamu. Bahkan lawanlah diri kamu untuk tidak melepaskan kemarahan dan mengelakkan daripada bertindak dengan dorongan rasa marah. Sesungguhnya apabila kemarahan menguasai seseorang, ia menjadi seperti penyuruh dan penegah kepada orang tersebut.” (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/404).
Antara cara lain menahan marah adalah sebagaimana pesanan yang Baginda SAW titipkan, iaitu:
- Memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan yang direjam.
Hal ini sebagaimana riwayat daripada Sulaiman bin Sard, katanya: Aku pernah duduk bersama Nabi SAW dan ada dua orang yang saling mengejek. Salah seorang telah merah mukanya dan membesar urat di lehernya. Maka Nabi SAW bersabda:
إنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لو قالَها ذَهَبَ عنْه ما يَجِدُ، لو قالَ: أعُوذُ باللَّهِ مِنَ الشَّيْطانِ، ذَهَبَ عنْه مَا يَجِدُ
Maksudnya: “Sesungguhnya, aku mengetahui suatu perkataan yang jika dia ucapkan, maka akan hilang apa yang ada pada dirinya. Sekiranya dia mengucapkan ‘أعُوذُ باللَّهِ مِنَ الشَّيْطانِ’ (Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan), maka akan sembuh apa yang ada pada dirinya.”
Riwayat al-Bukhari (3282) dan Muslim (2610)
Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
إِِذَا غَضِبَ الرَّجُلُ فَقَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ سَكَنَ غَضَبُهُ
Maksudnya: “Jika seseorang marah, kemudian dia mengucapkan ‘أعوذُ باللهِ’ (aku berlindung kepada Allah), maka marahnya akan reda.”
Riwayat Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (5/256). Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (765) menilai hadith ini sebagai dha‘if. Manakala pengarang Sahih al-Jami‘ (695) menilainya sebagai sahih.
- Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk
Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Zar al-Ghifari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”
Riwayat Abu Dawud (4782) dan Ahmad (21386) Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan para perawi hadith ini adalah thiqah dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (4782)
- Mengelak daripada membuat sebarang keputusan besar
Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi’ bin al-Harith R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَحْكُمْ أَحَدٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ وَهُوَ غَضْبَانُ
Maksudnya: “Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.”
Riwayat Muslim (1717)
Menurut Ibn Jibrin, hadith ini adalah pengajaran daripada Nabi SAW kepada para hakim, seolah-olah Baginda ingin menyatakan bahawa seorang hakim seharusnya memberikan hukuman ketika hatinya dalam keadaan tenang, badannya bertenang, dan hanya membuat keputusan selepas merenung secara matang, merenung sedalam-dalamnya, meneliti hujah-hujah yang dikemukakan, memahaminya dengan baik, dan selepas diteliti penghujahan tersebut serta mengetahui keabsahan atau kelemahan tuduhan dan pendapat yang dikemukakan oleh pihak yang bersengketa. Ini tidak akan tercapai jika dia membuat keputusan ketika dalam keadaan marah. (Lihat Syarh ‘Umdah al- Ahkam, 73/12).
Selain itu, mafhum hadith ini juga tidak seharusnya disempitkan kepada bab penghakiman seorang hakim sahaja, tapi seharusnya terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan
- Diam
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (245)
Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa mendiamkan diri ketika marah merupakan penawar yang berkesan bagi sifat marah kerana ketika perasaan marah sedang membuak-buak berkemungkinan akan terkeluar daripadanya ungkapan-ungkapan yang tidak sepatutnya diucapkan seperti cercaan dan lain-lain yang akan mengakibatkan kemudaratan yang besar — seperti terguris perasaan orang lain atau mungkin akan memberi ancaman kepada diri sendiri. Oleh itu, apabila dia diam ketika sedang marah, maka hilangkan segala keburukan dan kemudaratan tersebut daripadanya. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/406).
Dalam menyelesaikan segala sifat mazmumah ini, kami mencadangkan kepada pembaca agar merujuk kepada kitab tasawuf seperti kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali, Mukhtasar Minhaj al-Qasidin oleh Ibn Qudamah, Madarij al-Salikin oleh Ibn al-Qayyim dan kitab-kitab lain seumpamanya.
Kami juga berpendapat bahawa seseorang itu perlu melakukan beberapa perkara supaya hatinya sentiasa bersih atau dapat dibersihkannya. Di antaranya:
- Bersahabat dengan rakan yang baik. Ini adalah sebagaimana Nabi SAW bersabda:
الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ
Maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.”
Riwayat Abu Dawud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)
Pernyataan dalam hadith di atas iaitu, “Seseorang itu mengikut agama rakannya,” bermaksud pada kebiasaannya, persahabatan sejati hanya dapat terjalin jika ada kesesuaian dalam nilai agama. Persahabatan yang jelas boleh membawa kepada penerimaan sifat-sifat agama yang mendominasi rakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 8/3142). Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَكُونُوا۟ مَعَ ٱلصَّـٰدِقِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”
(Surah al-Taubah: 119)
- Menghadiri majlis ilmu. Rasulullah SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di satu rumah Allah, mereka membacakan kitabullah dan mempelajarinya, kecuali turun kepada mereka ketenangan, dan rahmat menyelimuti mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah memuji mereka di hadapan makhluk yang ada di dekatnya.”
Riwayat Muslim (6793), Abu Dawud (4946), al-Tirmizi (2646) dan Ibn Majah (225)
Dalam hadith yang lain, disebut juga dengan lafaz majlis zikir. Menurut pengarang kitab Bahjah al-Nazirin, termasuk juga dalam pengertian majlis-majlis zikir adalah halaqah-halaqah ilmu yang diadakan di rumah-rumah Allah untuk belajar, mengajar dan mencari kefahaman terhadap agama. (Lihat Bahjah al-Nazirin Syarh Riyadh al-Salihin, 2/521).
- Banyakkan zikrullah. Abu al-Darda’ R.A berkata:
إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ جِلَاء، وَإِنَّ جِلَاءَ الْقُلُوبِ ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Segala sesuatu itu ada penawarnya, dan penawar hati adalah zikrullah.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (580)
- Membaca al-Quran dan bertadabbur. Allah SWT berfirman:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?”
(Surah Muhammad: 24)
Ayat ini menegaskan bahawa mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 7/458).
- Sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW.
- Melazimi istighfar.
- Membaca sirah Nabi SAW, sirah para sahabat dan sirah salafussoleh. Hal ini seperti mana kata pujangga:
فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ ﺇنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ
Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,
Kerana mencontohi yang mulia itu pasti mendapat kejayaan
- Uzlah daripada suasana dan rakan yang tidak baik.
- Banyak melakukan qiamullail. Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَإِنَّ قِيَامَ اللَّيْلِ قُرْبَةٌ إِلَى اللَّهِ وَمَنْهَاةٌ عَنِ الإِثْمِ وَتَكْفِيرٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَطْرَدَةٌ لِلدَّاءِ عَنِ الْجَسَدِ
Maksudnya: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalang penyakit daripada badan.”
Riwayat al-Tirmizi (3549) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4832) dan Syu‘ab al-Iman (2834)
Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan, sabda Nabi SAW ‘hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam’ iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ‘ia adalah hidangan buat orang yang soleh’ bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ‘ia menghapuskan dosa’ bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/375).
- Sentiasa melazimi solat waktu secara berjemaah.
- Melazimi ke masjid
- Banyakkan bersedekah.
- Kurangkan kata-kata yang tidak bermanfaat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”