Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan apa pintu-pintu syaitan yang besar supaya saya lebih dapat berhati-hati dalam menjalani kehidupan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا۟ ٱلشَّيْطَـٰنَ ۖ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ
Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”
(Surah Yasin: 60)
Ibn Jarir al-Tabari berkata: Allah SWT menyatakan: “Bukankah Aku memberikan perintah kepada kamu dan menyuruh kamu di dunia untuk tidak menyembah syaitan, supaya kamu tidak mentaatinya dalam maksiat kepada Allah (sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kamu)? Aku katakan kepada kamu: Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang jelas bagi kamu. Dia telah menampakkan kebencian terhadap kamu dengan menolak untuk sujud kepada kamu, iaitu kepada nenek moyang kamu, sebab iri hati terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada mereka, seperti kemuliaan dan kesombongan yang diberikan Allah kepada mereka, sehingga dia berhasil mengeluarkan mereka (Adam dan Hawa) dari syurga. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/470)
Sebelum kami menjawab isu ini, suka dinyatakan bahawa semulia-mulia anggota bagi manusia ialah hatinya kerana dengannya dapat mengetahui Allah, beramal dengannya dan memperoleh makrifat. Justeru, syaitan akan cuba masuk kepada anak Adam melalui hati.
Antara pintu-pintu syaitan yang besar ialah:
- Hasad dengki
Makna hasad ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Jurjani di dalam kitabnya adalah bercita-cita untuk menghilangkan nikmat orang yang didengkinya agar ia berpindah kepadanya. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 87)
Ini menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan terlindung cahaya mata hatinya sehingga menyebabkan dikuasai oleh syaitan.
Betapa buruknya hasad ini, ia boleh memakan kebajikan seseorang. Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الْحَسَدَ يَأكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Maksudnya: “Sesungguhnya sifat hasad itu boleh memakan kebajikan-kebajikan sebagaimana api memakan kayu api.”
Riwayat Abu Dawud (4903), Ibn Majah (4210), al-Bazzar (6212), Abu Ya‘la (3656) dan al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (1048). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini berstatus hasan li ghairihi.
Namun, di sana terdapat juga hasad yang dibenarkan. Ini sepertimana disebut dalam hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Maksudnya: “Tidak ada hasad melainkan pada dua perkara iaitu apabila seseorang itu dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya harta, lalu dia membelanjakannya pada jalan kebenaran serta seseorang yang dikurniakan hikmah oleh Allah SWT kepadanya, lalu dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.”
Riwayat al-Bukhari (73)
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, maksud hasad di dalam hadith ini adalah membawa maksud al-Ghibtah (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa mahu melihat nikmat tersebut hilang daripada orang tersebut dan lafaz hasad yang digunakan dalam hadith ini adalah majaz. Keinginan ini juga disebut sebagai satu persaingan dan ia juga merupakan satu tindakan yang terpuji sekiranya dalam perkara ketaatan. (Lihat Fath al-Bari, 1/167)
- Marah
Maksud marah (اَلْغَضَبُ) pada istilah adalah perubahan dalam diri atau emosi yang dibawa oleh kekuatan dan rasa dendam demi menghilangkan gemuruh di dalam dada, dan yang paling besar daripada sifat marah adalah ‘اَلْغَيْظُ’, sehingga mereka menyebutkannya sebagai ‘kemarahan yang teramat sangat’. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 162 dan Ihya’ Ulum al-Din, 3/247)
Sifat marah boleh menghilangkan pertimbangan akal dan menjadikannya gila. Tindakannya pada ketika itu akan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan melepaskan dendam kesumat. Justeru, Rasulullah SAW pernah menyebut dalam hadith ketika menasihatkan seorang lelaki, apabila dia berkata kepada Rasulullah:
أَوْصِنِي، قَالَ: لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ: لَا تَغْضَبْ
Maksudnya: “‘Wasiatkanlah kepadaku.’ Sabda Baginda: ‘Janganlah marah.’ Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda: ‘Janganlah marah’.”
Riwayat al-Bukhari (6116)
Maksud perkataan “Janganlah Marah” yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.
Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda pada hadith yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi.”
Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang dalam kalangan kamu marah maka hendaklah dia berwuduk. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 156-157)
- Cintakan kemegahan dan perhiasan (hubbu al-dunya)
Hal ini seperti rumah, pakaian, kenderaan, perabot, sehingga dia menjadi hamba kepada perkara tersebut sepanjang usianya. Ibn al-Qayyim berkata:
مُـحِبُّ الدُّنْيَا لَا يَنْفَكُّ مِنْ ثَلَاثٍ: هَمٌّ لَازِمٌ، وَتَعَبٌ دَائِمٌ، وَحَسْرَةٌ لَا تَنْقَضِى
Maksudnya: “Pencinta dunia tidak akan terlepas daripada tiga perkara, iaitu: (Pertama), kesedihan (kegelisahan) yang terus menerus. (Kedua), Kelelahan yang berterusan. (Ketiga), Penyesalan yang tidak akan pernah berhenti.” (Lihat Ighathah al-Lahfan, 1/87)
- Kenyang yang amat sangat.
Ini kerana ia boleh membawa kuatnya syahwat yang menyibukkan diri daripada mentaati Allah SWT.
Imam Ahmad bin Sahl[1] menyebutkan, ketahuilah musuh-musuhmu terbahagi kepada empat, iaitu:
- Dunia: Senjatanya ialah makhluk, sedangkan penjaranya ialah uzlah.
- Syaitan: Senjatanya ialah kenyang, sedangkan penjaranya ialah lapar.
- Nafsu: Senjatanya ialah tidur sedangkan penjaranya adalah dengan berjaga malam (dengan beribadah).
- Hawa Nafsu: Senjatanya bercakap, sedangkan penjaranya ialah diam.
- Sifat tamak.
Perkataan tamak berasal daripada perkataan arab (ط – م – ع) yang bermaksud keinginan hati yang kuat untuk mendapatkan sesuatu. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, hlm. 925) Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tamak bermaksud keinginan untuk memiliki sesuatu tanpa batasan. Begitu juga keadaan sesuatu perolehan yang tidak mencukupi menyebabkan seseorang membuat kerja-kerja terhina.[2]
Sifat tamak ini menyebabkan seseorang tidak lagi mengambilkira halal dan haram. Apa yang lebih utama adalah mendapatkan hajat yang hendak dimilikinya.
- Gopoh-gapah dan tindakan terburu-buru.
Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: “Sifat tenang itu daripada Allah SWT, manakala sikap tergopoh-gapah itu daripada syaitan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20767)
Al-San‘ani menyebutkan, ketenangan atau tetap dalam satu urusan dan melakukannya merupakan pasak yang kukuh daripada Allah dengan maksud sifat yang Allah suka kepada hamba-Nya sehingga menjadi tabiat. Sedangkan gopoh-gapah dari syaitan dengan makna ia termasuk sifat-sifat yang disukai oleh syaitan. Ia akan mengheret manusia ke arahnya kerana akan menghalangnya daripada sifat tenang. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/112)
Hal ini berbetulan dengan satu kaedah fiqh:
مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang tergesa-gesa untuk mendapatkan sesuatu sebelum waktunya, maka dia akan dihukum dengan keharamannya (tidak mendapatkannya).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, oleh Ibn Nujaim, hlm. 159)
Kisah asbab nuzul turunnya ayat ‘إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ’ hendaklah dijadikan pengajaran. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”[3]
(Surah al-Hujurat: 6)
Sebenarnya banyak lagi cara syaitan memasuki hati manusia dan untuk membersihkannya serta melawan segala senjata syaitan yang telah disebutkan, para ulama telah mengemukakan banyak cara untuk merawat hati manusia.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
Nota Hujung:
[1] Ahmad bin Sahl, Abu Zaid al-Balkhi. Seorang ulama terkenal. Menghimpun ilmu syariat, falsafah, adab dan kesenian. Beliau lahir di Kota Balkhi pada tahun 235 H. Beliau banyak mengembara. Meninggal dunia pada tahun 322 H.
[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=tamak. Diakses pada 6 Disember 2023.
[3] Berkenaan asbab nuzul ayat ini, kami nukilkan daripada riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, dan dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya seperti berikut: Daripada al-Harith ibn Dhirar al-Khuza’I R.A, katanya: Aku datang menemui Rasulullah SAW. Baginda mengajakku masuk Islam. Aku pun menyetujuinya. Aku katakan: Wahai Rasulullah, aku akan pulang untuk mengajak mereka memeluk Islam, serta mengeluarkan zakat. Sesiapa yang menerima, aku kumpulkan zakatnya dan mohon kirim utusan kepadaku, supaya dapat membawa zakat yang telah aku kumpulkan itu kepadamu.
Setelah dia mengumpulkan zakat daripada orang yang menerima dakwahnya, dan sampai tempoh yang diinginkan oleh Rasulullah SAW, ternyata utusan tersebut tidak dapat datang. Sementara itu, al-Harith menyangka bahawa Allah dan Rasul-Nya telah marah, maka dia pun segera mengumpulkan kaumnya yang kaya dan berkata: “Dahulu, Rasulullah SAW pernah menentukan waktu untuk memerintahkan utusannya bagi mengambil zakat yang ada padaku, sedangkan menyelisihi janji bukanlah kebiasaan Rasulullah SAW. Dan tidak mungkin utusannya ditahan, kecuali kerana adanya kemarahan Allah dan Rasul-Nya. Maka, oleh itu, marilah kita pergi menemui Rasulullah SAW.
Sebenarnya Rasulullah SAW telah mengutus al-Walid bin ‘Uqbah kepada al-Harith untuk mengambil zakat tersebut, namun di tengah jalan, al-Walid ketakutan sehingga akhirnya dia kembali kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Al-Harith menolak untuk menyerahkan zakatnya, bahkan hendak membunuhku.” Lalu Rasulullah SAW pun menjadi marah dan Baginda lalu mengutus pasukan kepada al-Harith. Sementara itu, al-Harith telah berangkat bersama kaumnya.
Apabila pasukan (yang diutus Rasulullah) berangkat dan meninggalkan Madinah, lalu mereka pun bertemu al-Harith (dan pasukannya di tengah jalan). Setelah al-Harith mengenali mereka, dia pun berkata: “Kepada siapa kamu semua diutuskan?” Mereka menjawab: “Kepadamu.” Dia bertanya: “Untuk apa?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengutus al-Walid bin ‘Uqbah dan dia melaporkan bahawa engkau menolak membayar zakat, bahkan ingin membunuhnya.” Al-Harith menjelaskan: “Tidak benar itu. Demi Allah yang telah mengutus Muhammad dengan sesungguhnya, aku tidak pernah melihatnya sama sekali, apatah lagi datang kepadaku.”
Setelah al-Harith datang menghadap Rasulullah SAW, Baginda pun bertanya: “(Benarkah) engkau menolak membayar zakat dan bahkan ingin membunuh utusanku?” Al-Harith menjawab: “Itu tidak benar. Demi Allah yang mengutusmu dengan sesungguhnya, aku tidak pernah melihatnya dan tidak pula dia datang kepadaku. Juga, tidaklah aku berangkat kecuali setelah nyata ketidakhadiran utusanmu. Aku hanya khuatir jika dia tidak datang disebabkan adanya kemarahan Allah dan Rasul-Nya.” Maka turunlah ayat dalam surah al-Hujurat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, Maktabah al-Safa, 7/248)