#7996: Kepentingan Dakwah kepada Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kepentingan dakwah kepada Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”

(Surah Fussilat: 33)

Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata, ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)

Tidak dapat disangkal lagi bahawa berdakwah kepada Allah adalah perkara yang besar dan mulia, sebagaimana tugas para Rasul A.S. Allah SWT mengutus mereka sebagai pemberi dakwah kepada makhluk-Nya dan membimbing mereka dengan kebenaran dan petunjuk yang Allah utuskan kepada mereka. Oleh itu, kedudukan dakwah adalah kedudukan yang agung, sama seperti kedudukan para rasul dan pengikut mereka dari kalangan ahli ilmu dan petunjuk. Ahli ilmu mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan kewajiban ini dan memberikan perhatian yang sepenuhnya. Orang Islam dan bukan Islam memerlukan dakwah, sepertimana firman Allah SWT kepada Bani Israel:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ‎

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah: 24)

Oleh itu, berdakwah kepada Allah SWT dan memberi perhatian kepada usaha-usaha untuk membimbing manusia kepada ketaatan dan penyembahan Allah SWT mempunyai kedudukan yang mulia dan kelebihan yang besar. Cukuplah sebagai bukti, firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

(Surah Fussilat: 24)

Tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh. Orang yang paling baik perkataannya dan memberi petunjuk dalam amalan adalah para pendakwah kepada Allah, dengan kesedaran, keikhlasan dan keinginan yang tulus hanya untuk memperoleh keredhaan Allah SWT. Mereka juga melakukan amalan-amalan yang baik, sepertimana dilakukan oleh orang-orang yang soleh.

Dari kalangan mereka ini, terdapat golongan yang dikategorikan sebagai muazzin atau tukang azan, yang merupakan pemberi dakwah kepada Allah. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa golongan ini termasuk dalam ayat yang menyebutkan tentang pendakwah kepada Allah. Mereka adalah pendakwah kepada agama Allah, yang mengajak kepada keesaan Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan mengagungkan Allah serta solat yang merupakan tiang agama Islam. Pahala mereka sangat besar jika niat mereka diperbaiki oleh Allah. Mereka akan memperoleh ganjaran yang besar dan hasil yang baik sesuai dengan kesungguhan, keikhlasan dan usaha mereka dalam berdakwah.

Selain muazzin,  golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini juga merangkumi orang-orang yang menyebarkan kebaikan dan memberi petunjuk kepada manusia. Mereka adalah pendakwah kepada Allah. Semua yang menyeru kepada kebaikan dan mengajarkan kebaikan kepada manusia adalah pendakwah kepada Allah. Mereka yang termasuk dalam kategori ini adalah orang yang berakhlak mulia, mempunyai keikhlasan kepada Allah, melakukan amalan-amalan soleh, teguh pada Islam dan tidak meninggalkan kaitan dengan agama ini. Mereka menyeru kepada Allah, melakukan amalan-amalan soleh, dan menerima Islam dengan penuh keyakinan dan kesedaran bahawa Islam adalah agama Allah.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/audios/951/اهميةالدعوةالىالله