Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan kewajipan dalam berdakwah kepada masyarakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”
(Surah Fussilat: 33)
Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata, ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)
Al-Zamakhsyari pula berkata, ayat ini umum pada semua yang menghimpun padanya tiga perkara:
- Hendaklah dia orang yang beriman dan beriktiqad dengan agama Islam.
- Hendaklah dia yang melakukan kebaikan dan kebajikan.
- Hendaklah dia menyeru ke arahnya.
Ini semua tidak berlaku kecuali dari golongan ulama’ yang beramal. (Lihat al-Kassyaf, 4/156)
Di dalam ayat lain pula, Allah SWT mengajarkan kepada Rasulullah SAW kaedah dakwah yang lebih efisien. Firman-Nya:
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah al-Nahl: 125)
Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini, beliau menyatakan bahawa Allah SWT memerintahkan agar kita menyeru manusia ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, iaitu dengan al-Quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Terdapat juga pandangan lain yang menyatakan, hikmah itu adalah perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/52)
Meskipun ayat ini ditujukan kepada Baginda SAW, akan tetapi kita sebagai umatnya dituntut untuk menelusuri akhlaknya serta menjadikan Baginda sebagai suri tauladan, lebih-lebih lagi dalam medan dakwah ini. Allah SWT menyebutkan di dalam firman-Nya:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
Pendakwah ini juga merupakan suatu kefardhuan secara kifa’iy, iaitu perlunya ada sebahagian dari kita yang menggalas tanggungjawab ini agar masyarakat awam Islam sentiasa berada di atas landasan yang benar, dengan bimbingan para pewaris-pewaris nabi dan rasul. Firman Allah SWT:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Surah Ali ‘Imran: 104)
Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di mengatakan, ini merupakan bimbingan dari Allah SWT untuk orang-orang beriman agar adanya sekumpulan dari kalangan mereka yang tampil ke hadapan untuk menyampaikan dakwah ke jalan Allah SWT serta membimbing masyarakat kepada agama. Termasuklah dalam khitab ayat ini golongan ulama’ dan pendidik dalam bidang agama, mereka yang memberi peringatan dan mengajak penganut agama lain kepada agama Islam, dan mengajak golongan yang menyimpang ke jalan istiqamah. Termasuk juga orang-orang yang berjihad di jalan Allah SWT, dan mereka yang ke hadapan untuk meninjau keadaan masyarakat serta menggesa mereka menunaikan ketetapan syara‘ seperti solat 5 waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menunaikan haji, dan hukum-hakam Islam yang lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 142)
Pendakwah ini memikul satu tanggungjawab yang besar untuk memastikan agama Allah SWT kekal tertegak di atas muka bumi ini sehingga hari pengakhiran. Lihatlah betapa tingginya kedudukan pendakwah yang hakiki, sehingga mereka ini dimuliakan seperti dalam sabda Rasulullah SAW:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ. إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke Syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan diminta keampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sungguh, keutamaan seorang alim dibanding seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama ke atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil sebahagian yang sangat besar.”
Riwayat Abu Daud (3641), al-Tirmizi (2682), Ibn Majah (223) dan Ahmad (21715)
Semoga penulisan ringkas ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada masyarakat khususnya para pendakwah, imam, guru agama dan seumpamanya dan seterusnya dapat menambahkan lagi kefahaman berkaitan metodologi penyampaian dakwah. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”