#254 Suami Mengaku Bujang

Soalan

Adakah jatuh talak kepada saya sekiranya suami saya mengaku yang dia bujang kepada rakan-rakannya? Mohon Pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami. [1]

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah :229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak.

Pertama: Sighah Sarih

Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kaimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talaq. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Imam al-Baijuri menyatakan :“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Kedua: Sighah Kinayah

Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu. Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “engkau telah kosong,” “engkau bebas,” “baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “engkau telah halal.”

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami.

Ibnu al-Qasim al-Ghazzi menyatakan: “Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Berdasarkan persoalan di atas, kami berpendapat bahawa mengaku bujang tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:

  • Boleh jadi yang dimaksudkan dia tinggal berseorangan dan berjauhan dengan isteri atas faktor pekerjaan
  • Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
  • Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, supaya dia boleh berkahwin lain. Hal ini kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
  • Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

Justeru, kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak. Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripada sebarang kekeliruan. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=talak