#262 Menutup Kepala ketika Buang Air

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya menutup kepala ketika membuang air kecil atau besar? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:Dan orang yang terdahulu — yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Menutup kepala ketika buang air

Mengenai perkara ini, terdapat sebilangan daripada kalangan fuqaha yang melihat bahawa perbuatan menutup kepala semasa membuang air adalah termasuk dalam adab-adab yang baik, bahkan digalakkan. Al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Haramain, al-Ghazali, al-Baghawi dan lain-lain, mereka berpendapat bahawa disunatkan untuk tidak memasuki tandas dalam keadaan terdedah kepalanya — yakni tidak ditutup. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/93)

Selain itu, al-Mardawi juga turut menyatakan bahawa disunatkan untuk menutup kepala ketika membuang air dan perkara ini telah disebut oleh sebahagian besar ashab — yakni dalam kalangan ulama mazhab Hanbali. )(Lihat al-Insaf, 1/97)

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith riwayat Aishah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ النَّبِي صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ غَطَّى رَأْسَه

Maksudnya:Nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas, Baginda menutup kepalanya.”

Riwayat al-Baihaqi (464)

Di samping itu, terdapat dalam hadith yang lain, daripada riwayat Habib bin Soleh, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ لَبِسَ حِذَاءَهُ وَغَطَّى رَأْسَهُ

Maksudnya:Rasulullah SAW apabila masuk ke dalam tandas, Baginda memakai seliparnya dan menutup kepalanya.”

Riwayat al-Baihaqi (465)

Namun, kedua-dua hadith ini telah dikritik oleh para ulama berkenaan status kesahihannya. Sekalipun begitu, terdapat athar yang menceritakan bahawa perkara ini menjadi amalan sebahagian ulama salaf. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Urwah, daripada bapanya bahawa Abu Bakar — ketika sedang berkhutbah kepada orang ramai — berkata:

يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ، اسْتَحْيُوا مِنَ اللهِ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إنِّي لأظل حِين أَذْهَبُ إلَى الْغَائِطِ فِي الْفَضَاءِ، مُغَطّيًا رَأْسِي اسْتِحْيَاءً مِنْ رَبِّي.

Maksudnya:Wahai sekalian kaum Muslimin, berasa malulah kepada Allah. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, ketika aku pergi untuk buang air di kawasan padang pasir, aku tutup kepalaku kerana rasa malu kepada Tuhanku.

Riwayat Ibn al-Mubarak dalam al-Zuhd (1/107); Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (1127).

Al-Baihaqi turut menyebutkan dalam sunannya bahawa:

رُوِىَ فِى تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلاَءِ عَنْ أَبِى بَكْرٍ الصِّدِّيقِ، وَهُوَ عَنْهُ صَحِيحٌ

Maksudnya:Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakar al-Siddiq dan perkara ini adalah sahih daripada beliau.”(Lihat al-Sunan al-Kubra, 1/155)

Begitulah juga, Ibn Abi Syaibah menyebutkan bahawa Ibn ‘Uyaynah menyampaikan kepada kami, daripada Ibn Tawus, beliau berkata:

أَمَرَنِي أَبِي إذَا دَخَلْتُ الْخَلاَءَ أَنْ أُقَنِّعَ رَأْسِي ، قُلْتُ : لِمَ أَمَرَك بِذَلِكَ ؟ قَالَ : لاَ أَدْرِي.

Maksudnya: Bapaku memerintahkanku untuk menutup kepalaku, apabila masuk ke dalam tandas. Aku bertanya: ‘Kenapa engkau suruh perkara tersebut?’ Beliau menjawab: ‘Aku tidak tahu.’

Riwayat Ibn Abi Syaibah (1135)

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan menutup kepala ketika buang air sememangnya menjadi amalan Abu Bakar dan sebahagian ulama terdahulu.

Tuntutan mengikuti jejak langkah Khulafa’ al-Rasyidin

Secara umumnya, Khulafa’ al-Rasyidin itu terdiri daripada empat tokoh besar yang menjadi pemerintah selepas kewafatan Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin ‘Affan, serta Ali bin Abu Talib R.Anhum. Kita dituntut mengikut jejak langkah mereka — yakni sunnah — para Khulafa’ al-Rasyidin.

Selain itu, kita juga hendaklah mengetahui bahawa sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin adalah menepati sunnah Nabi SAW. Hal ini adalah sebahagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW berdasarkan riwayat daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ

Maksudnya:Hendaklah kamu mengikuti dua orang selepasku iaitu Abu Bakar dan juga Umar.

Riwayat al-Tirmizi (3662)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh ‘Irbadh bin Sariyah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا

Maksudnya:Oleh itu, hendaklah kamu mengikut sunnahku dan juga sunnah para khulafa’ al-Rasyidin, dan berpegang teguhlah dengannya.

Riwayat Ibn Majah (44)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menutup kepala ketika membuang air atau memasuki tandas adalah mustahab (sunat) berdasarkan kepada athar yang sahih daripada Abu Bakar al-Siddiq.

Begitu juga, perbuatan tersebut termasuk dalam adab-adab yang baik, yang diamalkan oleh sebahagian ulama salaf (terdahulu).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Januari 2022 bersamaan 5 Jamadil Akhir 1443H