#286: Solat Jumaat Bagi Pengawal Keselamatan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah seorang pengawal keselamatan boleh meninggalkan solat Jumaat disebabkan perlu menjalankan tugasnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah Al-Jumu‘ah: 9

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah SWT mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Berbalik kepada persoalan di atas, tugas pengawal keselamatan ialah menjaga keselamatan kawasan yang dijaga daripada orang yang ingin melakukan kezaliman seperti penceroboh, pencuri dan perompak. Jika mereka tidak menjalankan tugas, maka maslahat-maslahat manusia seperti nyawa dan harta akan terdedah kepada bahaya. Justeru, para ulama meletakkan syarat wajib solat al-jumaat ialah al-khulw `an al-udzr (ketiadaan uzur). Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنَ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ فَلَا صَلَاةَ لَهُ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ، أَوْ مَرَضٌ

Maksunya: Barangsiapa yang mendengar (azan) tukang azan lalu dia tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat (jemaah), maka solatnya tidak diterima. Sahabat bertanya, “Apakah itu keuzuran?” Baginda menjawab: “Perasan takut dan sakit.”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut, yang bermaksud,“Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/497)

Para ulama juga memasukkan dalam pengertian uzur, bagi seorang rakan karib, sihr (menantu atau ipar), atau orang yang dia sayang, jika dia tidak hadir solat Jumaat kerana takut saudaranya itu mati maka dibenarkan dia tidak hadir solat Jumaat. Ini seperti riwayat dalam Sahih al-Bukhari:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، ذُكِرَ لَهُ: أَنَّ سَعِيدَ بْنَ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ نُفَيْلٍ، وَكَانَ بَدْرِيًّا، مَرِضَ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَرَكِبَ إِلَيْهِ بَعْدَ أَنْ تَعَالَى النَّهَارُ، وَاقْتَرَبَتِ الجُمُعَةُ، وَتَرَكَ الجُمُعَةَ

Maksudnya: “Ibn Umar pernah diberitahu bahawa Sa`id bin Zaid bin `Amr bin Nufail, salah seorang daripada pahlawan Badr, telah jatuh sakit pada hari Jumaat. Ibn Umar telah menunggang kenderaan menuju ke tempat Sa`id pada waktu tengahari. Apabila masuk waktu solat Jumaat, beliau meninggalkan solat Jumaat.”

Riwayat al-Bukhari (3990)

Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ Arab Saudi juga pernah menjawab soalan berkaitan dengan maksudnya:

Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu…. akan tetapi jika wujud uzur syarak ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya… Keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Tetapi ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zuhur, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardu yang lain.” (Lihat Himpunan Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi, 18/188)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah membincangkan isu Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas dan telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, hlm. 36)

Melihat kepada hujah dan dalil yang dinyatakan di atas, kami cenderung kepada hukum harus bagi pengawal keselamatan untuk meninggalkan solat Jumaat dengan syarat-syarat berikut:

Pertama, tugasan tersebut tidak boleh diganti dengan orang lain yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti orang perempuan atau orang bukan Islam. Jika boleh digantikan, maka wajib atas pengawal keselamatan berkenaan menunaikan solat Jumaat.

Kedua, jika tidak boleh digantikan, tetapi boleh dilakukan secara jadual giliran maka hendaklah dilakukan secara bergilir. Contohnya, minggu pertama Pengawal A bersolat Jumaat dan Pengawal B mengawal kawasan. Ini bagi mengelakkan ancaman meninggalkan solat Jumaat 3 kali seperti mana hadis riwayat Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.”

Riwayat al-Tirmizi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan.

Imam al-Munawi menjelaskan: “Allah mengunci hatinya bererti Allah memateri hatinya, menutupnya, dan menghalang hati itu daripada mendapat kelembutan-kelembutan daripada Allah, diwujudkan pada hati itu kejahilan dan kekesatan, atau Dia menukarkan hati orang itu menjadi hati seorang munafik.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/133)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdullah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

Riwayat al-Nasa’ie (1370)

Al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam menjelaskan hadith ini menukilkan satu pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa mereka meninggalkannya kerana mengambil mudah. Manakala al-‘Aini pula menyebut: “Perkataan ‘تَهَاوُنًا بِهَا’ bermaksud meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/1024)

Imam al-Suyuti turut menjelaskan dengan katanya: “Apa yang nyata bahawa maksud mengambil ringan ialah bermalas-malasan dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya, bukan maksud menghina dan memandang enteng (kewajipannya) kerana perkara tersebut adalah satu kekufuran.” (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 1/79)

Ketiga, jika tidak mampu juga, maka hendaklah dia mendirikan solat Zuhur sahaja dan sebaiknya dengan berjemaah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H