#1079 Adakah Jin Juga Makan dan Minum?

Soalan
Adakah jin makan dan minum sebagaimana manusia?

Jawapan

Kebanyakan hadis-hadis sahih menyebutkan bahawa jin turut makan dan minum. Dalam Sahih al Bukhari, terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّهُ كَانَ يَحْمِلُ مَعَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – إِدَاوَةً لِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ ، فَبَيْنَمَا هُوَ يَتْبَعُهُ بِهَا فَقَالَ « مَنْ هَذَا » . فَقَالَ أَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ . فَقَالَ « ابْغِنِى أَحْجَارًا أَسْتَنْفِضْ بِهَا ، وَلاَ تَأْتِنِى بِعَظْمٍ وَلاَ بِرَوْثَةٍ » . فَأَتَيْتُهُ بِأَحْجَارٍ أَحْمِلُهَا فِى طَرَفِ ثَوْبِى حَتَّى وَضَعْتُ إِلَى جَنْبِهِ ثُمَّ انْصَرَفْتُ ، حَتَّى إِذَا فَرَغَ مَشَيْتُ ، فَقُلْتُ مَا بَالُ الْعَظْمِ وَالرَّوْثَةِ قَالَ « هُمَا مِنْ طَعَامِ الْجِنِّ ، وَإِنَّهُ أَتَانِى وَفْدُ جِنِّ نَصِيبِينَ وَنِعْمَ الْجِنُّ ، فَسَأَلُونِى الزَّادَ ، فَدَعَوْتُ اللَّهَ لَهُمْ أَنْ لاَ يَمُرُّوا بِعَظْمٍ وَلاَ بِرَوْثَةٍ إِلاَّ وَجَدُوا عَلَيْهَا طَعَامًا

Bahawa beliau pernah membawa sedikit air sahaja untuk kegunaan Rasulullah SAW bagi berwuduk dan hajatnya yang lain. Tatkala dia menghampiri Rasulullah SAW, Baginda SAW bertanya: “Awak siapa?” “Saya… Abu Hurairah”.”Tolong dapatkan aku beberapa ketul batu untuk beristinjak dengannya. Tapi jangan bawakan tulang dan ketul-ketul tahi binatang” ujar Rasulullah S.A.W Maka aku pun membawa beberapa ketul batu yang diisi dalam bajuku sehinggalah sampai ke tempat Rasulullah S.A.W., lalu aku letakkan batu tersebut ditepinya. Selepas itu aku berlalu pergi. Apabila baginda telah selesai menunaikan hajatnya dan ketika itu aku berjalan bersama-samanya, aku pun bertanya kepada baginda S.A.W.: “Apa kenanya dengan tulang dan ketulan tahi binatang itu?” Jawab Rasulullah S.A.W.: “Kedua-duanya adalah makanan makhluk jin. Dan sesungguhnya makhluk tersebut pernah menghantar satu delegasi kepadaku bertujuan meminta supaya aku menentukan makanan mereka. Aku pun kemudiannya berdoa kepada Allah S.W.T., Jadi tidaklah mana-mana tulang serta tahi binatang ternakan yang mereka temui melainkan ianya menjadi makanan mereka.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3860)

Imam Muslim pula telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abdullah ibnu Umar bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

إِذَا ‌أَكَلَ ‌أَحَدُكُمْ ‌فَلْيَأْكُلْ ‌بِيَمِينِهِ، ‌وَإِذَا ‌شَرِبَ ‌فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu hendak makan, maka makanlah dengan menggunakan tangan kanannya. Begitu juga sekiranya hendak minum, maka minumlah dengan menggunakan tangan kanan kerana sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (Riwayat Muslim, no. 105)

Dalam Sahih Imam Muslim ada meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Huzaifah r.a. katanya: Ketika bersama-sama Rasulullah SAW, apabila dihidangkan makanan kepada kami, kami tidak akan menjamahnya melainkan apabila ianya telah dijamah oleh Rasulullah S.A.W. terlebih dahulu. Suatu ketika, kami telah dihidangkan makanan, tiba-tiba datang seorang kanak-kanak kecil menerkam untuk menjamah makanan tersebut seolah-olah ada sesuatu yang menolaknya agar berbuat demikian. Lantas Rasulullah S.A.W. segera memegang tangan kanak-kanak tersebut (dari menjamah makanan). Kemudian datang pula seorang Arab Badwi, keadaannya sama seperti kanak-kanak tadi. Lantas Rasulullah S.A.W. segera memegang tangan beliau, sambil bersabda:

‌إِنَّ ‌الشَّيْطَانَ ‌يَسْتَحِلُّ ‌الطَّعَامَ ‌أَنْ ‌لَا ‌يُذْكَرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ، وَإِنَّهُ جَاءَ بِهَذِهِ الْجَارِيَةِ لِيَسْتَحِلَّ بِهَا فَأَخَذْتُ بِيَدِهَا، فَجَاءَ بِهَذَا الْأَعْرَابِيِّ لِيَسْتَحِلَّ بِهِ فَأَخَذْتُ بِيَدِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّ يَدَهُ فِي يَدِي مَعَ يَدِهَا .

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan pasti akan menodai makanan yang dengan nama Allah. Sesungguhnya syaitan telah datang melalui budak perempuan tadi untuk menodai hidangan makanan tersebut, sebab itu aku cepat-cepat memegang tangannya. Begitu juga ia datang melalui Arab Badwi tadi, untuk tujuan yang sama dan aku sempat menghalangnya. Demi diriku yang berada di dalam genggaman TanganNya, sesungguhnya aku benar-benar telah memegang tangan syaitan [yang ada bersama] tangan kanak-kanak perempuan itu tadi.” (Riwayat Muslim, no. 102)

Dalam hal ini, ada tiga pendapat berkenaan makan dan minum jin:

  1. Kesemua makhluk jin tidak makan dan tidak minum. Ini adalah pendapat yang tidak tepat dan tidak mempunyai sebarang dalil.
  2. Ada sejenis daripada jin yang makan dan minum dan sejenis yang lain tidak sedemikian. Mereka berdalilkan kepada sebuah hadis riwayat Ibn ‘Abd al-Barr daripada Wahb ibn Munabbih yang berkata:

“Makhluk jin itu terdapat dalam berbagai jenis. Ada dari mereka yang jenisnya seperti angin. Mereka tidak makan, tidak minum dan juga tidak beranak-pinak. Ada sejenis yang makan, minum beranak-pinak. Dan ada juga sejenis yang lain seperti al-su’ala’, al-ghul, dan lain-lain”. (Riwayat Ibn Jarir yang diambil daripada Lawami’ al-Anwar, 2/222)

Boleh jadi pendapat ini ada kebenarannya.

  1. Kesemua makhluk-makhluk jin ini sememangnya makan dan minum. Pada pandangan saya, pendapat ini paling kuat lantaran ianya berdasarkan kepada beberapa hadis-hadis sahih yang bertindak menguatkan di antara satu sama lain.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 7 Februari 2023 bersamaan 16 Rejab 1444H