#392: Aqiqah Bayi Lelaki Seekor Kambing

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya baru dikurniakan bayi lelaki baru-baru ini. Jika saya ingin melakukan aqiqah untuk bayi lelaki tersebut, adakah memadai jika hanya dengan seekor kambing sahaja?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426)

Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2839)

Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Dawud (1522)

Berdasarkan hadis di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafieyyah. (Lihat al-Majmu’, 8/431)

Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebut di dalam kitabnya, bahawa waktu untuk melakukan aqiqah adalah bermula daripada kelahiran bayi tersebut sehinggalah waktu mencapai usia baligh. (Lihat al-Ghurur al-Bahiyyah, 5/171)

Berdasarkan hadis lain yang diriwayatkan oleh Buraidah Bin Husoib al-Aslami RA:

الْعَقِيقَةُ تُذْبَحُ لِسَبْعٍ ، أَوْ أَرْبَعَ عَشرَةَ ، أَوْ أَحَدَ وَعِشْرِينَ

Maksudnya: “Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari ketujuh, atau hari ke-14 atau hari ke-21.”

Riwayat al-Baihaqi (19771) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4882) dan al-Mu’jam al-Saghir (723)

Asalnya, disunatkan untuk buat hari ketujuh. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak berkemampuan, laksanakanlah pada hari yang ke-14. Jika tidak berkemampuan juga, laksanakan pada hari yang ke-21. Sekiranya tidak berkelapangan juga, buatlah pada mana-mana hari yang berkelapangan. Ini juga pandangan yang dinyatakan oleh Dar al-Ifta’ Mesir.[1]

Sebahagian ulama Syafi’i yang terkemudian berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan aqiqah kemudian berkelapangan selepas tujuh hari kelahiran, tidak disunatkan untuk melakukan aqiqah. Manakala sebahagian Syafi’iyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Namun, pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie menyebut bahawa hukum sunat kekal sehingga anak itu baligh. Selepas tempoh baligh, disunatkan anak itu membuat aqiqah untuk dirinya sendiri. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/139)

Bilangan Kambing untuk Aqiqah

Pada asasnya, mengenai bilangan kambing yang perlu diaqiqahkan, bagi bayi lelaki, maka disunatkan dengan menyembelih 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan pula adalah dengan menyembelih 1 ekor kambing.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”

Riwayat Abu Dawud (2842)

Berdasarkan hadith di atas, asal bagi aqiqah untuk anak lelaki adalah dua ekor kambing manakala bagi anak perempuan pula adalah seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik bagi seseorang jika ingin melakukan ibadah aqiqah.

Adakah Memadai Aqiqah Bayi Lelaki dengan Seekor Kambing?

Adapun mengenai persoalan yang dibangkitkan, adakah memadai untuk beraqiqah dengan seekor kambing sahaja bagi anak lelaki? Maka jawapannya adalah memadai dan dibolehkan.

Ini adalah pendapat di dalam mazhab al-Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh al-Imam al-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhazzab dan begitu juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’. (Lihat al-Muhazzab oleh al-Syirazi, 1/438 dan al-Majmu’ oleh al-Nawawi, 8/429)

Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang.”

Riwayat Abu Dawud (2841)

Kesimpulan

Berdasarkan petunjuk hadith seperti yang dibincangkan sebelum ini, maka kami nyatakan di sini bahawa melakukan aqiqah bagi anak lelaki dengan seekor kambing adalah memadai dan lakukanlah ibadah aqiqah ini dengan penuh keikhlasan dengan menzahirkan rasa syukur di atas kurniaan Allah SWT kerana menghadirkan zuriat buat keluarga kita dan pastinya juga Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat kelak dek kerana ramainya umat Baginda SAW.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=12452&LangID=1&MuftiType=0&%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%82%D9%8A%D9%82%D8%A9_%D9%88%D8%A3%D8%AD%D9%83%D8%A7%D9%85%D9%87%D8%A7