#559: Aurat Muslimah dengan Wanita Bukan Muslim

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan aurat wanita Muslimah dengan wanita yang bukan Islam? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sebelum dibahaskan dengan lebih lanjut berkenaan isu tersebut, dikemukakan di sini beberapa takrifan berkenaan aurat dan hukum-hukum aurat yang asas.

Definisi Aurat dan Hukumnya yang Asas

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur :31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Allah SWT turut berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

MaksudnyaWahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A’raf :26)

Secara asasnya, ulama mazhab Syafi’ie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189)

Meskipun dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat dan lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji“Manakala (aurat wanita) di hadapan lelaki-lelaki mahramnya adalah antara pusat dan lutut, iaitu dia harus mendedahkan seluruh penjuru badannya di hadapan mereka dengan syarat aman daripada fitnah, jika sebaliknya (wujud fitnah) maka itu tidak boleh (haram) juga.”  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/125)

Terdapat pengecualian yang telah ditetapkan oleh para ulama yang seseorang itu boleh mendedahkan auratnya di hadapan kanak-kanak yang belum mumayyiz, sepertimana yang dinyatakan oleh syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori: “Adapun bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz keberadaan mereka seumpama tiada, maka diharuskan mendedahkan aurat dihadapannya.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarah Raudhu al-Tolib, 3/111)

Aurat Muslimah dengan Wanita Bukan Muslim

Berbalik kepada persoalan di atas, ulama fiqh berbeza pandangan berkenaan aurat perempun muslimah pada pandangan perempuan kafirah, sehinggakan ulama didalam mazhab Syafie sendiri juga mempunyai beberapa pandangan.

Pertama: Menurut pandangan majoriti ulama fiqh bahawasanya aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. ( Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/47)

Kedua: Sebahagian ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa aurat Muslimah pada pandangan perempuan kafir adalah seluruh tubuh yang selain daripada kepala, tangan dan kaki.

  • Ibn Hajar al-Haitami berkata: Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmi dan kesemua perempuan kafir walaupun kafir harbiy melihat kepada perempuan muslimah, tetapi harus dia melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/200)
  • Di dalam kitab Siraj al-Wahhab, pengarang ada menyebut: Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmi melihat kepada perempuan muslimah, tetapi harus dia melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja.
  • Imam al-Qalyubi menyebut: Tetapi boleh perempuan kafir zimmi melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja. Inilah yang muktamad, maka perlu diikatkan dengannya akan kalam pengarang. (Lihat Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 3/212)
  • Kata Imam al-Syarwani: Aurat muslimah nisbah kepada pandangan wanita kafirah, jika wanita tersebut bukan tuannya dan juga bukan mahramnya, iaitu anggota yang tidak zahir (nampak) pada ketika bekerja. (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 2/212)
  • Berkata Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari: Perkataanya “Anggota yang zahir ketika bekerja” iaitu muka, kepala, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut. (Lihat Asna al-Matalib, 14/280)

Kesimpulan

Aurat perempuan Muslimah pada pandangan perempuan kafir menurut pandangan majoriti ulama fiqh adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Manakala menurut pandangan sebahagian ulama mazhab Syafi’i, termasuk sebahagian ulama muta’akkhirin mazhab Syafi’i bahawa aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafir adalah selain kepala, tangan dan kaki.

Kami juga berpendapat bahawa dalam isu seperti ini, pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama perempuan sekalipun perempuan bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita muslimah. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H