#216: Azan Isyak Selepas Tamat Kuliah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika waktu isyak telah masuk, ada sesetengah majlis ilmu di masjid yang masih sedang berjalan. Justeru, bolehkah azan isyak dikumandangkan selepas itu, walaupun sudah lebih waktu isyak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, pengajaran dan pembelajaran agama yang dilakukan di masjid dan dikunjungi oleh para jemaah adalah merupakan amalan salaf al-soleh terdahulu. Rasulullah SAW dan para sahabatnya serta tabi’in, begitu juga para imam yang empat dan tokoh-tokoh ulama’ terkemuka sejak sekian lama telah menjadikan masjid sebagai salah satu medan ilmu yang telah diterima ramai oleh umat Islam.

Kami juga yakin dengan masjid yang dipenuhi dengan majlis ilmu termasuk dalam makna dan maksud mengimarahkan masjid. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

MaksudnyaHanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Abu Hayyan mengatakan bahawa ayat ini merupakan perintah bagi orang mukmin untuk mengimarahkan masjid, dengan cara membersihkannya, mengagungkannya, melakukan ibadah, berzikir, serta mengadakan majlis ilmu agama. Sesungguhnya masjid ini merupakan taman syurga bagi orang mukmin di dunia ini. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 5/21)

Manakala dalam hadis riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ فِيمَا بَيْنَهُمْ؛ إلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ، وَ حَفَّتهُمُ المَلاَئِكَة، وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ،

MaksudnyaSiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah (masjid) dari rumah-rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah memuji mereka di hadapan para malaikat-Nya.

Riwayat Muslim (2699)

Menurut Imam al-Nawawi, dikatakan yang dimaksudkan dengan sakinah di sini adalah rahmat. Ini yang dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh tetapi ia adalah dhaif disebabkan rahmat telah di’athafkan dengan sakinah. Dikatakan juga ia (yang dimaksudkan dengan sakinah) adalah thama’ninah dan kemuliaan. Ini adalah lebih baik dan ia juga mempunyai dalil atau petunjuk akan kelebihan berkumpul untuk membaca al-Qur’an di dalam masjid. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21)

Justeru, berdasarkan hal ini, kita berharap agar mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita termasuk dari kalangan yang cintakan masjid dan juga cintakan majlis ilmu. Maka dengan itu layaklah kita memperolehi syurga Allah sepertimana disebut dalam hadis di atas.

Dalam menjawab persoalan di atas, boleh dilaungkan azan sekalipun waktu isyak sudah masuk lama. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Dan azan itu sunat hukumnya bagi solat yang hendak dilakukan atau yang sudah luput.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/114)

Meskipun begitu, kami cadangkan sebaiknya dihentikan seketika kuliah untuk memberi laluan kepada azan Isyak dilaungkan seketika. Setelah itu, disambung yang berbaki daripada kuliah. Ini kerana sebagai peringatan kepada mereka yang di luar masjid dan di rumah bahawa waktu solat sudah masuk. Manakala masa yang ada selepas azan  boleh dijadikan waktu berkumpul orang untuk solat sebelum iqamat.  Menurut hadis Jabir bin Abdillah RA berkenaan solat Isyak Rasulullah SAW:

إِذَا رَآهُمُ اجْتَمَعُوا عَجَّلَ، وَإِذَا رَآهُمْ أَبْطَؤُوا أَخَّرَ

Maksudnya: “Jika baginda melihat orang ramai sudah berkumpul, baginda menyegerakan solat Isyak, jika mereka lambat, maka baginda melewatkan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (560)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Terdapat juga riwayat Muslim bin Ibrahim yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menunggu sehingga para sahabat berkumpul dan menjadi banyak, untuk melaksanakan solat secara berjemaah. Hal ini lebih utama daripada segera melaksanakan solat (dengan sedikit jemaah). Namun, ia sudah tentu dengan memperhatikan bahawa jika mengakhirkannya, ia tidak akan menimbulkan keburukan dan menyulitkan para jemaah yang hadir. (Lihat Fath al-Bari, 3/382)

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H