#291: Bacaan al-Fatihah Ketika Imam Sudah Rukuk

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya datang awal ke masjid dan solat berjemaah bersama imam. Kemudian, ketika saya belum selesai menghabiskan bacaan al-Fatihah, imam sudah pun rukuk. Perlukah saya menghabiskan dan menyempurnakan bacaan al-Fatihah itu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat mempunyai rukunnya yang tersendiri. Ianya terbahagi kepada rukun fi’li yang berkaitan dengan perbuatan, rukun qauli yang bersangkutan dengan percakapan, rukun qalbi dan rukun maknawi. Kesemua rukun-rukun ini wajib dilakukan barulah solat yang ditunaikan menjadi sah.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’, 3/288)

Berbalik kepada persoalan di atas, sepertimana dijelaskan bahawa di dalam mazhab Imam al-Syafie, diwajibkan ke atas makmum untuk membaca al-fatihah ketika solat. Ini berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW yang menyebut:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah.”

Riwayat al Bukhari (756)

Kata Imam al-Nawawi:

 مَذْهَبُنَا وُجُوبُ قِرَاءَةِ الْفَاتِحَةِ عَلَى المَأْمُومِ فِي كُلِّ الرَّكعَاتِ مِنَ الصَّلَاة السِّرِّيَّةِ وَالجَهْرِيَّةِ وَهَذَا هُو الصَّحِيحُ عِنْدَنَا كَمَا سَبَق وَبِهِ قَالَ أَكْثَرُ العُلَمَاء

Maksudnya: “Mazhab kami berpandangan wajibnya makmum membaca al Fatihah pada setiap rakaat solat sama ada solat al-sirriyyah (yang dibaca perlahan) atau solat al-jahriyyah (yang dibaca kuat) dan inilah pandangan yang sahih di sisi kami sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dan ini jugalah pendapat kebanyakan para ulama’.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/323)

Kesimpulan

Dalam kes seperti ini, kami berpandangan bahawa makmum hendaklah menghabiskan bacaan al-Fatihah, dengan kadar bacaan yang sederhana iaitu tidak terlalu laju dan tidak juga terlalu perlahan.

Perlu juga diberi perhatian bahawa para imam hendaklah meraikan situasi dan keadaan makmum di belakangnya ketika solat dengan cara tidak terlalu laju dalam bacaan sehingga menyebabkan makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H