#43 Banyak Jemaah di Satu Tempat Solat

SOALAN

Apakah hukum mendirikan banyak jemaah di tempat solat yang sama?

JAWAPAN

Saya bahagikan kepada dua lokasi; masjid dan surau iaitu surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dan seumpamanya.

Masjid yang dimaksudkan di sini adalah masjid rasmi yang disediakan untuk jemaah menunaikan solat lima waktu, solat Jumaat, dan selainnya yang telah mempunyai imam lantikan rasmi (imam ratib). Termasuk juga di sini surau biasa dan surau Jumaat yang ada ciri-ciri yang disebutkan.

Imam al-Ramli menjelaskan: “Dimakruhkan untuk didirikan jemaah di masjid selain tempat laluan orang ramai yang mempunyai imam ratib (rasmi) tanpa izinnya sama ada (jemaah itu didirikan) sebelumnya, selepasnya, atau bersama dengannya (serentak). Sekiranya imam ratib itu tiada maka disunatkan untuk menunggunya (bagi mendirikan solat berjamaah). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/141)

Bagi surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan R&R, stesen KTM, dan seumpamanya atau diistilahkan dalam fiqh klasik sebagai al-masjid al-matruq, kata Imam al-Ramli: “Adapun masjid yang berada di kawasan laluan orang ramai, maka tidak dimakruhkan untuk berlakunya banyak jemaah padanya. Sekalipun jika masjid tersebut mempunyai imam ratib (rasmi). (Dan tidak makruh) untuk berlakunya dua jemaah serentak di dalamnya.

Justeru, secara umum dibolehkan untuk ada beberapa jemaah solat dalam keadaan serentak di surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan R&R, stesen KTM, dan seumpamanya kecuali di masjid, maka ia dimakruhkan. Ini kerana, ia tidak mempunyai imam rasmi dan tidak berciri dengan ciri-ciri masjid yang rasmi. Walaubagaimanapun, besar fadhilatnya solat berjamaah, disamping keperluan untuk menzahirkan syiar dan kesatuan umat Islam, serta mengelakkan berlakunya kekeliruan apabila banyaknya imam dalam masa yang serentak. Maka, adalah lebih utama untuk dilakukan solat secara berjamaah dengan satu imam. Wallahu a’lam.