#539: Benarkah Iblis Berasal Daripada Malaikat

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah iblis berasal daripada malaikat seperti yang dinyatakan dalam ayat 34 daripada Surah al-Baqarah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Malaikat dan Ciri-cirinya

Malaikat adalah hamba-Nya yang tidak bermaksiat kepada Allah SWT dan selalu melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya. Allah SWT telah menciptakan mereka dan menentukan bahawa mereka akan selalu mentaati-Nya dan beribadah kepada-Nya.

Antara mereka ada yang ditugaskan menyampaikan wahyu, ada yang ditugaskan menurunkan rezeki, ada yang ditugaskan menjaga gunung-gunung atau yang ditugaskan sebagai makluk yang selalu beribadah, solat dan tasbih serta berzikir kepada Allah SWT.

Jumlah malaikat adalah tidak terhitung banyaknya. Sabda Nabi SAW:

إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ، وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتِ السَّمَاءُ، وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kalian lihat, aku mendengar sesuatu yang tidak kalian dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya, bersujud kepada Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (2312), Ibn Majah (4190) dan Ahmad (21516). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menilai hadis ini sebagai hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad (21516)

Antara ciri-ciri malaikat sepertimana disebut dalam kitab bukunya al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh Syeikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani ialah:

  • Ia merupakan makhluk daripada cahaya.
  • Malaikat bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
  • Malaikat mampu menyerupai segala sesuatu dan berubah bentuk.
  • Kekuatan dan kemampuan mereka luar biasa seperti memikul arasy dan meniup sangkakala.
  • Taat hanya kepada Allah SWT
  • Hampir kepada Allah SWT dan dimuliakan-Nya.
  • Sebagai utusan kepada para Nabi.
  • Mampu naik dan turun daripada langit ke bumi tanpa sebarang masalah.
  • Takut hanya kepada-Nya.
  • Makhluk sebelum terciptanya manusia.
  • Mempunyai sayap dua pasang, tiga pasang dan empat pasang. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani, hlm. 235-240)

 

Definisi Jin dan Iblis

Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut bahawa lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89)

Jin adalah sebahagian daripada makhluk Allah. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

(Surah al-Hijr: 26-27)

Ibn Kathir berkata: (وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ) “Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu,” Yakni sebelum manusia (Adam). (مِن نَّارِ السَّمُومِ) dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Ibnu Abbas meriwayatkan: Iaitu api panas yang mematikan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/10)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20)

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

Maksudnya“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang disifatkan (diceritakan) bagi kamu.”

Riwayat Muslim (2996), Ahmad (25194) dan Ibn Hibban (6155)

Menurut Ibnu Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan dan lainnya, berkenaan penciptaan jin daripada “مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ”, maksudnya ialah hujung api membara (طرف اللهب) dan dalam riwayat yang lain bermaksud daripada api yang murni (من خالصه). (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/59)

Manakala berkenaan lafaz Iblis, sepertimana dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi, terdapat dua pendapat padanya.

Pendapat Pertama: Menurut Abu Ubaidah, al-Zajjaj dan Ibn al-Anbari, lafaz Iblis adalah isim ‘ajam (bukan nama bahasa Arab), yang tiada musytaq. Dengan sebab itulah, ia tidak ditasrif.

Pendapat Kedua: Sepertimana diriwayatkan daripada Abi Soleh dan disebut oleh Ibn Qutaibah, lafaz Iblis adalah musytaq daripada al-iblas (الإِبلاس), iaitu putus asa. (Lihat Zad al-Masir, 1/54)

 

Persamaan Iblis dan Jin

Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan antara jin dan iblis. Kami mulakan dengan mengemukakan persamaan terlebih dahulu, dan kemudian perbezaannya. Antara persamaan mereka:

Pertama: Iblis dan jin daripada jenis yang sama iaitu dicipta daripada api seperti yang terdapat di dalam nas-nas. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: “Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

(Surah al-Hijr: 27)

Ibn Kathir menukil riwayat daripada Ibnu Abbas RA, menyatakan, sesungguhnya jin itu dijadikan daripada api yang marak dan menyala-nyala. Selain itu, riwayat daripada Amru bin Dinar menyatakan jin dijadikan daripada nyalaan matahari. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/458)

Begitu juga dengan kata-kata Iblis yang bongkak dengan penciptaannya daripada api sebagaimana katanya di dalam firman Allah SWT:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ ‎‏

Maksudnya: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikannya dari tanah.” 

(Surah al-A’raf: 12)

Al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis menyatakan bahawa tangannya lagi keras daripada Adam, dia lebih kuat daripada sudut kekuatan berbanding Adam, dan jenisnya diciptakan lebih baik daripada Adam diciptakan iaitu daripada api. ( Lihat Tafsir al-Tabari, 12/327)

Kedua: Iblis dan jin tersebut tidak dapat dilihat pacaindara kasar, kecuali dengan izin Allah

Firman Allah SWT:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”

(Surah al-A’raf: 27)

Dalam mentafsirkan ayat (وَقَبِيلُهُ) Imam al-Qurtubi menyebut bahawa ia memberi makna kepada tentera-tentera syaitan. Selain itu Imam Mujahid berpendapat (وَقَبِيلُهُ) adalah dari golongan jin dan syaitan. Begitu juga, pada pendapat yang lain perkataan (وَقَبِيلُهُ) memberi maksud sebagai generasi atau keturunan syaitan. Imam Qurtubi menyebutnya lagi bahawa, mengikut sesetengah pendapat ulama, ayat ini merupakan dalil bahawa jin tidak boleh dilihat. Dikatakan lagi bahawa, harus untuk melihat golongan jin. Ini kerana sekiranya dikehendaki oleh Allah SWT untuk memperlihatkan mereka, maka Allah SWT akan membuka hijab supaya dapat dilihat jasad dan tubuh badan mereka. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/186)

Ketiga: Mereka adalah makhluk Allah yang juga dikenakan taklif sebagaimana manusia. Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah.  (Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 17/52)

Imam al-Qadhi Badr al-Din al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan golongan jin termasuk dalam kalangan mukallaf dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. (Lihat Akam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jaan, hlm. 63)

Begitu juga dengan firman Allah SWT yang menunjukkan jin juga termasuk dalam mukallaf:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا ‏(1) يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا ‎

Maksudnya Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

(Surah al-Jin: 1-2)

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan, terdapat pelbagai faedah daripada kisah di dalam ayat ini, di antaranya menjelaskan bahawa golongan jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk manusia, jin dan malaikat. (Lihat Tafsir al-Munir, 29/163)

Keempat: Mereka diciptakan terlebih dahulu daripada manusia

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (26) Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

(Surah al-Hijr: 27)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Allah menjadikan jin sebelumnya, iaitu sebelum manusia diciptakan, daripada api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Ibn Abbas berkata, iaitu api yang membunuh. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/533)

Perbezaan Antara Iblis dan Jin

Manakala Perbezaan antara Iblis dan Jin pula ialah:

Pertama: Setiap iblis dan syaitan termasuk dalam kalangan jin, dan bukan semua jin adalah iblis dan syaitan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam menggambarkan sikap iblis yang berasal daripada golongan Jin:

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ

Maksudnya: “Lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.”

(Surah al-Kahfi: 50)

Imam al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis bukanlah dari kalangan malaikat sama sekali, dengan hanya sekali pandang (dapat difahami dari ayat ini), sebaliknya Iblis adalah asal-usul kepada jin sepertimana Adam itu asal-usul kepada manusia. (Lihat Tafsir al-Tabari, 15/286)

Kedua: Iblis dan syaitan termasuk dalam makhluk yang dilaknat sedangkan jin tidak semestinya.

Firman Allah SWT:

وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ

Maksudnya: ” Dan sesungguhnya engkau (iblis) ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”

(Surah Sad: 78)

Al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Allah menyatakan bahawa Iblis dalam kalangan yang dilaknat, dibuang dan dijauhkan daripada rahmat-Nya sehingga hari pembalasan disebabkan oleh kekafirannya. Hal ini kerana laknat ini memutuskan segalanya, kemudian apabila dimasukkan ke neraka menujukkak kebenaran laknat tersebut. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 15/229)

Ketiga: Iblis dan syaitan adalah kafir, sedangkan jin terbahagi kepada dua, ada islam dan ada yang kafir.

Bukti Iblis dalam kalangan kafir sebagaimana Firman Allah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut: Kebanyakan ahli tafsir menyebut bahawa Allah sudah mengetahui bahawa iblis dalam kalangan kafir yang wajib bagi mereka penderitaan. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/82)

Manakala dalam kalangan jin pula, terdapat yang beriman dan yang kufur. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.

( Surah al-Jin: 14)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah SWT dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan… (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Munir, 29/170)

Keempat: Iblis dapat penangguhan hukuman, tetapi jin tidak begitu.

Firman Allah SWT:

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (79) قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ (80) إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ

Maksudnya: Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “.Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh – ” Hingga ke hari masa yang termaklum.”

(Surah Sad: 79-81)

Imam al-Alusi berkata: Firman Allah SWT “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (Hingga ke hari – masa yang termaklum), khilaf pada penggunaan kalimah tersebut, yang masyhurnya adalah hari tiupan sangkakala yang pertama ( يوم النفخة الأولى ) bukannya pada hari kebangkitan makhluk ( (يوم البعث kerana hari kebangkitan itu bukannya hari kematian. Tetapi sebahagian mereka ada yang membenarkan untuk maksud ( يوم البعث ) iaitu hari kebangkitan bukannya pada hari tiupan sangkakala yang pertama, dan tidak semestinya syaitan itu tidak mati, boleh jadi syaitan itu mati pada hari pertama kemudian dalam masa yang sama ia dibangkitkan bersama makhluk-makhluk lain. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 8/91)

Benarkah Iblis Berasal Dari Malaikat?

Berbalik kepada persoalan di atas, firman Allah SWT:

‏ وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

(Surah al-Baqarah: 34)

Ulama menyebut, pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat:

  • Iaitu termasuk daripada jenis yang sama. Maka berdasarkan pendapat ini, iblis termasuk di kalangan malaikat. Hal ini sepertimana pendapat Ibn Mas’ud dalam satu riwayat dan Ibn Abbas, kecuali ianya ditukar rupa oleh Allah menjadi syaitan.
  • Ia bukan jenis malaikat tetapi jenis jin. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh al-Hasan al-Basri dan al-Zuhri.

Justeru, jadilah pengecualian sebagai pengecualian yang putus. Kami menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat al-Quran yang lain, di dalam surah al-Kahfi, ayat 50, firman Allah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin salain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.

(Surah al-Kahfi: 50)

Perkataan iblis seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi mempunyai dua pendapat:

  • Ia adalah isim a’jam (bukan nama bahasa arab) yang tiada musytaq dengan sebab itulah ia tidak ditasrif Inilah pendapat Abu Ubaidah, al-Zajjaj dan juga Ibn al-Anbari.
  • Ia musytaq daripada perkataan al-iblas (الإِبلاس) iaitu putus asa, inilah yang diriwayatkan daripada Abi Soleh dan telah disebut oleh Ibn Qutaibah. (Lihat Zad al-Masir, 1/54)

Kesimpulan dan Tarjih

Saya lebih cenderung kepada pendapat bahawa iblis adalah daripada kalangan jin dan bukan dari kalangan malaikat kerana nas Ilahi, yang juga sebab kejadiannya yang berbeza iaitu:

  • Malaikat dijadikan daripada nur yakni cahaya.
  • Iblis atau jin diciptakan daripada nar yakni api.

Justeru, iblis bukan sebahagian daripada malaikat, makanya istisna’ atau pengecualian iblis daripada malaikat termasuk daripada istisna’ munqati’ yakni terputus dan bukan daripada jenis yang sama.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H