#351:  Berkenaan Bunian

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan bunian? Adakah mereka dari kalangan jin? Boleh jelaskan juga tentang jin dan jenisnya? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Jin dan Hakikat Kewujudannya

Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Jin berbeza dengan al-Insan. Lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu.

Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89)

Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT :

إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Maksudnya: “…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka…”

(Surah al-‘Araf : 27)

Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa syaitan tidak mungkin untuk dilihat. Akan tetapi bukan begitu maksud ayat tersebut. Ianya membawa makna bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Kalaupun kita tidak boleh melihat mereka itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang tidak boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak. (Lihat Tahrir Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 3/26)

Maka kita boleh katakan bahawa orang yang mengingkari kewujudan jin dan syaitan pada hakikatnya mereka mengingkari perkara yang sudah mencapai taraf mutawatir yang kalau disanggahi atau dinafikan ditakuti akan jatuh kepada kekufuran kerana menafikan sesuatu yang mutawatir.

Sheikh Muhammad Al-Syibli menukilkan pandangan Imam Al-Haramain Al-Juwaini. Beliau berkata: “Ketahuilah bahawa kebanyakan ahli falsafah,golongan Qadariah dan kesemua orang yang zindiq mengingkari akan kewujudan jin dan syaitan. Pengingkaran yang dilakukan oleh mereka tidak lain tidak bukan adalah kerana tidak mentadabbur dan memperdalami Syariah. Sedangkan di sana terdapat nas-nas yang mutawatir dan athar-athar yang masyhur.” (Lihat Aakam al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 6)

Abu Al-Qasim Al-Ansari anak murid kepada Imam al-Haramain menyebut bahawa mengithbatkan kewujudan jin dan syaitan bukanlah mustahil dari sudut akal. Nas Al-Quran dan hadis terlebih dahulu memperakui kewujudan mereka. Oleh kerana itu mereka yang berpegang kepada agama mestilah mengetahui bahawa ianya perkara yang harus pada akal dan telahpun dibuktikan melalui nas-nas syara’. (Lihat Aakam Al-Marjan Fi Ghraib AL-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 6-7)

Jin Juga Ditaklifkan Seperti Manusia

Ibn Abd al-Bar yang menyebut: Golongan jin di sisi jemaah (para ulama) adalah kumpulan mukallaf yang turut termasuk dalam khitab (syarak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maksudnya: “Maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang manakah hendak kamu dustakan?”

(Surah al-Rahman: 47)

Imam al-Razi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Kesemua ulama telah bersepakat bahawa golongan jin kesemuanya adalah mukallaf.

Manakala Al-Qadhi Abu Al-Hasan Abdul Jabbar pula menyebutkan: Kami tidak mengetahui sebarang khilaf dalam kalangan ahli nazhar tentang hal tersebut (iaitu jin termasuk dalam kalangan mukallaf). Dan al-Quran menyebutkan tentang hal itu dalam banyak ayat.

Begitu juga di dalam surah yang lain menceritakan tentang keimanan golongan jin kepada Allah SWT apabila mendengar ayat al-Quran yang dibacakan kepada mereka. Ini membuktikan bahawa golongan jin juga ditaklifkan supaya beriman kepada Allah SWT seperti mana ditaklifkan kepada golongan manusia. Firman Allah SWT:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا ﴿١﴾ يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا ﴿٢

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! ‘Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

(Surah al-Jin: 1-2)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas antaranya menjelaskan bahawa golongan jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk manusia, jin dan malaikat. (Lihat Tafsir al-Munir 29/163)

Imam al-Qadhi Badr al-Din al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan ke atas taklifannya mereka (golongan jin) dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. (Lihat Akaam al-Marjan fi Ahkam al-Jaan oleh Badr al-Din al-Syibli, hlm. 63)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Maka berdasarkan ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah SWT. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/52)

Dalam kitab A’lam al-Jin wa al-Syaitan menyatakan, bahawa ayat di atas menggambarkan jin diberi taklifan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sekiranya mereka mentaatinya, maka redha Allah SWT ke atas mereka dan diberikan ganjaran syurga. Dan sekiranya mereka melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka mereka akan diberi balasan neraka. (Lihat A’lam al-Jin wa al-Syaitan, 1/41)

Justeru, perbahasan di atas membenarkan bahawa golongan jin juga termasuk di dalam kalangan yang diberi taklifan supaya beriman dan patuh kepada perintah Allah SWT sepertimana yang ditaklifkan kepada umat manusia.

Golongan Jin Yang Beriman dan Kufur Kepada Allah SWT

Dalam hal ini juga, Allah SWT telah menjelaskan bahawa terdapat golongan jin yang beriman kepada-Nya serta golongan jin yang ingkar dan kufur terhadap-Nya. Firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.”

(Surah al-Jin: 14)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah SWT dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan… (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Munir, 29/170)

Begitu juga, di dalam hal ganjaran dan pembalasan Allah SWT terhadap golongan jin yang beriman dan kufur. Hal ini digambarkan di dalam al-Quran, bahawa mereka akan diberi ganjaran dan balasan di hari akhirat kelak. Oleh itu, ini tidak membezakan mereka daripada apa yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan manusia. Firman Allah SWT:

فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ

Maksudnya: “Di dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.”

(Surah al-Rahman: 56)

Ibnu Kathir menyatakan, ayat di atas merupakan bukti bahawa golongan jin yang beriman akan dimasukkan kedalam syurga. Dinukilkan riwayat daripada Artah bin al-Manzur katanya: telah ditanya kepada Dhamrah bin Habib, adakah golongan jin dimasukkan ke dalam syurga? Katanya: “Ya, bahkan mereka juga berkahwin.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/465)

Berkenaan Bunian

Dalam menjawab persoalan di atas, bunian adalah merujuk kepada makhluk halus atau orang halus yang tinggal di hutan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Masyarakat Melayu menganggap bunian adalah antara makhluk ghaib yang menjadi penyebab kepada histeria (penyakit urat saraf yang terlihat pada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal) atau dikenali dalam kebudayaan Melayu sebagai ‘dirasuk hantu’.

Menurut pandangan pakar perubatan Islam terkemuka, almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, orang bunian adalah wujud dan tergolong dalam kelompok makhluk halus. Makhluk halus seperti ini suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia dan mewujudkan perkampungan mereka sendiri disamping hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Secara khususnya, kami berpandangan bahawa ianya adalah daripada kelompok jin yang dikenali dengan nama ‘Amir (عَامِر) yang tinggal bersama-sama dengan manusia. (Lihat al-Tamhid oleh Ibn ‘Abd al-Barr, 1/117)

Ini kerana ianya bersamaan dengan kebiasaan kelompok bunian yang tinggal berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai penempatan tersendiri.

Ini disokong oleh sebuah hadith Nabi SAW:

الجِنُّ على ثَلَاثَةِ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ في الهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلَابٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْن

Maksudnya: “Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (573) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3702)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H