#596: Berlari Menuju ke Masjid

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Terdapat sesetengah jemaah yang apabila lewat hadir ke masjid, mereka berlari-lari semasa ingin masuk ke dalam masjid dan masuk ke saf solat. Hal ini kerana mereka ingin mengelakkan daripada masbuq dalam solat. Apa hukum perbuatan ini, kerana saya ada dengar tegahan tentang perbuatan ini, tetapi kurang jelas. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Dalam isu ini, terdapat beberapa dalil yang menjadi sumber perbahasan hukum. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Maksudnya: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.”

Riwayat al-Bukhari (908)

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita tentang perintah dan galakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan juga tenang. Dalam masa yang sama juga menunjukkan bahawa kita tidak digalakkan untuk bergopoh-gapah dalam menghadiri solat.

Imam al-Nawawi dalam syarahannya ke atas kitab Sahih Muslim meletakkan hadis ini di bawah tajuk: “Bab Galakan Mendatangi Solat Dengan Keadaan Tenang Dan Larangan Mendatanginya Dalam Keadaan Berlari.”

Beliau apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: “Sesungguhnya salah seorang kamu apabila dia menuju ke arah solat maka dia sedang berada dalam keadaan solat. Padanya (hadis ini) terdapat seruan yang kuat supaya mendatangi solat dengan tenang dan mulia, serta larangan mendatangi solat dalam keadaan berlari sama ada untuk solat jumaat atau selainnya. (Begitu juga tidak boleh datang dalam keadaan berlari) sama ada takut terlepas takbiratul ihram ataupun tidak.”

Imam al-Nawawi turut mendatangkan hikmah mengapa disuruh mendatangi solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh gapah dengan katanya: “Hikmah mendatangi solat dalam keadaan tenang dan larangan mendatanginya dalam keadaan berlari kerana, seseorang yang pergi menuju solat bertujuan untuk mendapatkan (pahala ibadah) solat serta sampai ke arahnya. Maka hendaklah dia menjaga adab dengan adab-adab solat dalam bentuk yang paling sempurna.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/99)

Selain itu, cara yang terbaik bagi seseorang yang hadir lewat untuk solat berjemaah mengikut imam adalah terus masuk ke dalam jemaah dan memulakan solat mengikut keadaan imam ketika itu, tanpa perlu menunggu untuk mengangkat takbiratul ihram apabila imam bangun pada rakaat seterusnya.

Adapun jika seseorang itu menunggu sehingga imam bangun pada rakaat seterusnya untuk mengangkat takbiratul ihram, hukumnya adalah harus, cuma ia merupakan satu perbuatan yang khilaf aula (menyalahi apa yang lebih utama daripadanya).

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang boleh dijadikan panduan dalam hal ini, antaranya:

إذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الصَّلَاةَ، وَالْإِمَامُ عَلَى حَالٍ فَلْيَصْنَعْ كَمَا يَصْنَعُ الْإِمَامُ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu datang untuk menunaikan solat dan imam dalam keadaan tertentu, maka laksanakalah perbuatan seperti yang sedang dilaksanakan oleh imam.”

Riwayat at-Tirmizi (591)

Sheikh al-Mubarakfuri  menjelaskan: “ ‘فَلْيَصْنَعْ كَمَا يَصْنَعُ الْإِمَامُ’ bermaksud maka ikutilah imam mengikut keadaanya ketika itu sama ada dalam keadaan berdiri atau rukuk atau selain daripadanya, dan jangan menunggu imam bangun (untuk rakaat seterusnya) sepertimana yang dilakukan oleh orang awam.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 3/162)

Hadis lain yang menguatkan hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

إِذَا سَمِعْتُمُ الإقَامَةَ، فَامْشُوا إلى الصَّلَاةِ وعلَيْكُم بالسَّكِينَةِ والوَقَارِ، ولَا تُسْرِعُوا، فَما أدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وما فَاتَكُمْ فأتِمُّوا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar iqamah, maka bersegeralah untuk menunaikan solat, dan hendaklah kamu pergi menunaikan solat dalam keadaan yang tenang, dan janganlah tergesa-gesa. Apa yang kamu sempat dengan imam, maka tunaikanlah solat tersebut bersama imam, apa yang kamu tidak sempat dengan imam, maka sempurnakanlah.”

Riwayat al-Bukhari (636)

Al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahwa sunat untuk masuk solat mengikuti imam dalam apa jua keadaan imam ketika itu.” (Lihat Fath al-Bari, 2/118)

 

Kesimpulan

Dalam isu di atas, kami nyatakan bahawa menghadiri solat dalam keadaan berlari adalah makruh hukumnya. Ia sebenarnya akan melemahkan semangat dalam melakukan solat, menghilangkan khusyuk, serta menyebabkan tubuh badan berasa letih. Datangilah solat dalam keadaan tenang, supaya kita dapat melaksanakannya dengan lebih fokus dan terbaik.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H