#632: Bilangan Dajjal yang Muncul

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Dajjal itu hanya seorang atau ramai? Ini kerana saya pernah terbaca satu hadis di mana, pada akhir zaman nanti akan muncul banyak dajjal yang menyebarkan penipuan dan pembohongan. Mohon penjelasan ustaz berkenaan maksud hadis ini. Terima kasih.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Dajjal

Bagi menjawab persoalan di atas, kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi Dajjal. Kata Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu).

Ibn Manzur dalam Lihat Lisan al-’Arab (11/236) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal, iaitu:

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Hakikat Dajjal Sepertimana Disebut dalam Hadis

Daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:

الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…

Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir…”

Riwayat Muslim (7550)

Ibn al-Athir berkata: “Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Dan al-Masih: ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mamsuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening.” (Lihat Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203)

Daripada Abdullah ibn Umar R.Anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي أَطُوفُ بِالْكَعْبَةِ فَإِذَا رَجُلٌ آدَمُ سَبْطُ الشَّعَرِ بَيْنَ رَجُلَيْنِ يَنْطُفُ رَأْسُهُ مَاءً فَقُلْتُ مَنْ هَذَا قَالُوا ابْنُ مَرْيَمَ . فَذَهَبْتُ أَلْتَفِتُ فَإِذَا رَجُلٌ أَحْمَرُ جَسِيمٌ جَعْدُ الرَّأْسِ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ قُلْتُ مَنْ هَذَا قَالُوا هَذَا الدَّجَّالُ ، أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا ابْنُ قَطَنٍ

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn[1].”

Riwayat al-Bukhari (6508)

Al-Qastalani berkata: Nyata butanya dan tidaklah hilang semuanya tanpa hilang putihnya atau cahayanya. Kata Qadhi Iyadh, kami riwayatkannya dari ramai ulama’ tanpa hilang cahayanya mengikut pendapat yang rajih. (Lihat Irsyad al-Sari, 10/210)

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW menceritakan Dajjal di tengah-tengah manusia, lalu beliau bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ ، أَلا إِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah SWT tidak buta sebelah, dan ketahuilah sesungguhnya al-Masih al-Dajjal adalah buta mata sebelah kanannya. Matanya bagaikan anggur yang terjuntai.”

Riwayat al-Bukhari (3184)

Al-Mubarakfuri berkata: Perkataan a’war dariapda sesuatu yang aib dan kedua mata Dajjal aib, salah satunya hilang penglihatannya sehingga hilang pancainderanya, dan yang lain. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/421)

Dalam satu hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada Nawwas ibn Sam’an R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW menyebut dalam menyifatkan Dajjal dalam sabdanya:

إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّى أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Dajjal) itu ialah seorang pemuda, yang rambutnya keriting, matanya menonjol ke depan. Aku perumpamakan dia dengan Abdul ‘Uzza Ibni Qathn.”

Riwayat Muslim (7560)

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي قَدْ حَدَّثْتُكُمْ عَنِ الدَّجَّالِ حَتَّى خَشِيتُ أَنْ لاَ تَعْقِلُوا ، إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ ، أَفْحَجُ ، جَعْدٌ ، أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ ، لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ ، وَلاَ حَجْرَاءَ ، فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ ، فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ

Maksudnya“Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa keliru, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.”

Riwayat Abu Daud (4320) dan Ahmad (2344)

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَأَمَّا مَسِيحُ الضَّلاَلَةِ ، فَإِنَّهُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ ، أَجْلَى الْجَبْهَةِ ، عَرِيضُ النَّحْرِ ، فِيهِ دَفَأٌ

Maksudnya“Adapun Masih al-Dhalalah (Dajjal), maka sesungguhnya dia buta sebelah matanya, dahinya lebar, dadanya bidang dan badannya agak bongkok.”

Riwayat Ahmad (7892)

Daripada Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى ، جُفَالُ الشَّعَرِ ، مَعَهُ جَنَّةٌ وَنَارٌ ، فَنَارُهُ جَنَّةٌ وَجَنَّتُهُ نَارٌ

Maksudnya“Dajjal itu cacat matanya yang kiri, kerinting rambutnya, bersamanya syurga dan neraka. Nerakanya ialah syurga dan syurganya ialah neraka.”

Riwayat Muslim (7474) dan Ibn Majah (4071)

Kemunculan Dajjal Sebagai Salah Satu Tanda Kiamat Besar

Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT).”

(Surah al-A’raf: 186)

Manakala berkenaan tertib kemunculan dajjal antara alamat kiamat, kami nukilkan di sini kenyataan daripada Syeikh al-Mubarakfuri yang menyebut:

اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat.

  • Pertama adalah Asap,
  • Kemudian keluarnya Dajjal,
  • Kemudian turunnya Isa AS,
  • Kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj,
  • Kemudian keluarnya al-Dabah,
  • Kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/346)

Berkenaan kesudahan daripada fitnah dajjal ini, setelah ia melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Ketika itu, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu.

Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:

إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku.”

Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.

Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.

Jumlah Dajjal, Adakah Seorang atau Ramai?

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, memang di sana terdapat hadis yang menceritakan bahawa akan muncul pada akhir zaman pendusta yang disebut sebagai dajjal. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

يَكُونُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ يَأْتُونَكُمْ مِنَ الأَحَادِيثِ بِمَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلاَ آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لاَ يُضِلُّونَكُمْ وَلاَ يَفْتِنُونَكُمْ

Maksudnya: “Akan datang pada akhir zaman (kemunculan) dajjal-dajjal para pendusta. Mereka akan datang kepada kalian dengan ucapan-ucapan yang tidak pernah kalian dengar. Bahkan ayah-ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka. Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahupun mendatangkan fitnah kepada kalian.”

Riwayat Muslim (16)

Dalam riwayat yang lain menyebut:

وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبًا مِنْ ثَلَاثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ

Maksudnya: “Tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah dibangkitkan dajjal-dajjal yang menipu yang mana jumlah mereka lebih kurang 30 orang. Setiap daripada mereka mendakwa bahawa dialah utusan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3609), al-Tirmizi (2218) dan Abu Dawud (4333)

Jika diperhatikan di dalam riwayat-riwayat ini disebutkan dajjal dalam bentuk kata jamak iaitu dajjalun yang membawa maksud dajjal-dajjal. Namun begitu, adakah ianya bermakna bahawa dajjal itu ada ramai?.

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, dajjal itu membawa maksud menutup dan menyembunyikan. Ia juga kadang-kadang membawa makna menipu. Oleh kerana itu, perkataan kazzabun (pendusta) adalah sebagai penguat kepada perkataan dajjal.” (Lihat Fath al-Bari, 6/616)

Selain itu, Syeikh al-‘Azim Abadi turut menjelaskan perkataan dajjal dengan katanya: “(Maksud dajjal) ialah belitan dan kekeliruan. Iaitu banyaknya perancangan jahat dan kekeliruan.” (Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, 9/1446)

Imam al-Nawawi pula menjelaskan: “Ianya berasal dari perkataan Al-Dajl (الدَّجْل) yang membawa makna menyembunyikan perkara yang sebenar dan mempersembahkan sesuatu yang tidak bernilai, Mereka ini terdapat pada setiap zaman.” (Lihat al-Minhaj Syarh  Sahih Muslim, 18/45)

Malah, jika dilihat pada zaman Rasulullah SAW terdapat beberapa orang yang dipanggil sebagai dajjal. Antaranya Ibnu Sayyad, Musailamah dan ramai lagi.

Maulana Anwar Syah al-Kashmiri menyebut bahawa Ibnu Sayyad itu bukannya dajjal yang sebenar. Ini berdasarkan satu kenyataan yang terdapat di dalam Musannaf ‘Abd al-Razzaq:

أيُّها الناسُ إنَّ ابنِ صَيَّاد ليس الدجَّال الأكبر

Maksudnya: “Wahai orang ramai, sesungguhnya Ibnu Sayyad itu bukanlah dajjal yang besar.”

Maka dinamakan sebagai dajjal adalah kerana sifat dustanya dan penuh dengan penipuan. (Lihat Faidh al-Bari, 3/120)

Berkenaan Ibn Sayyad ini juga, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan sama ada Ibn Shayyad itu Dajjal ataupun tidak. Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa dia adalah Dajjal. Namun begitu, terdapat juga hadith lain yang menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah beberapa pendapat dalam masalah ini:

Pertama: Imam al-Qurtubi berkata: “Pendapat yang sahih bahawa Ibn Shayyad adalah Dajjal, berdasarkan dalil-dalil yang telah lalu (yang ada) dan tidak mustahil bahawa dia telah ada di pulau tersebut pada waktu itu dan dia juga berada di hadapan para Sahabat pada waktu yang lain”.

Kedua: Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama telah berkata bahawa kisahnya sukar difahami dan perkaranya juga tidak jelas. Apakah dia adalah al-Masih al-Dajjal yang dikenali atau selain daripadanya?. Akan tetapi tidak diragukan bahawa dia juga adalah Dajjal di antara para Dajjal.” (Lihat al-Minhaj Syarh  Sahih Muslim, 18/46)

Kami berpendapat bahawa Ibn Shayyad bukanlah Dajjal yang dimaksudkan iaitu yang akan keluar di akhir zaman. Ibn Shayyad hanyalah seorang Dajjal daripada para Dajjal iaitu dengan memiliki sifat-sifat seorang Dajjal tetapi dia bukanlah Dajjal yang akan keluar di akhir zaman nanti. Pendapat kami ini adalah selaras dengan hadith Tamim al-Dari atau dikenali dengan hadith al-Jassasah (الجساسة) yang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qais. Ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila beliau cuba untuk menggabungkan antara dua riwayat yang zahirnya dilihat bercanggah. Beliau berkata:

وَأَقْرَبُ مَا يُجْمَعُ بِهِ بَيْنَ مَا تَضَمَنَّهُ حَدِيثُ تَمِيم وَكَون بن صَيَّادٍ هُوَ الدَّجَّالُ أَنَّ الدَّجَّالَ بِعَيْنِهِ هُوَ الَّذِي شَاهده تَمِيم موثقًا وَأَن بن صَيَّادٍ شَيْطَانٌ تَبَدَّى فِي صُورَةِ الدَّجَّالِ فِي تِلْكَ الْمُدَّةِ إِلَى أَنْ تَوَجَّهَ إِلَى أَصْبَهَانَ فَاسْتَتَرَ مَعَ قَرِينِهِ إِلَى أَنْ تَجِيءَ الْمُدَّةُ الَّتِي قَدَّرَ اللَّهُ تَعَالَى خُرُوجَهُ فِيهَا وَلِشِدَّةِ الْتِبَاسِ الْأَمْرِ فِي ذَلِكَ سَلَكَ الْبُخَارِيُّ مَسْلَكَ التَّرْجِيحِ فَاقْتَصَرَ عَلَى حَدِيثِ جَابِرٍ عَنْ عُمَرَ فِي بن صَيَّادٍ وَلَمْ يُخْرِجْ حَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ فِي قِصَّةِ تَمِيمٍ وَقَدْ تَوَهَّمَ بَعْضُهُمْ أَنَّهُ غَرِيبٌ فَرُدَّ وَلَيْسَ كَذَلِكَ فَقَدْ رَوَاهُ مَعَ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ أَبُو هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةُ وَجَابِرٌ

Maksudnya: “Cara yang paling dekat adalah dengan menggabungkan makna yang terkandung di dalam hadith Tamim dan keberadaan Ibn Shayyad sebagai Dajjal. Sesungguhnya Dajjal yang sebenarnya adalah yang disaksikan oleh Tamim dalam keadaan terikat. Sedangkan Ibn Shayyad adalah syaitan yang menampakkan dirinya dalam bentuk Dajjal pada ketika itu, sehingga dia pergi ke Ashbahan, lalu bersembunyi bersama qarinnya (temannya) sehingga sampai masa yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk keluar padanya.

Disebabkan kesamaran dalam masalah ini, maka Imam al-Bukhari memilih jalan tarjih (iaitu menentukan riwayat yang paling kuat di antara dua riwayat), maka beliau hanya memilih hadith Jabir daripada Umar berkaitan Ibn Shayyad dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripada Fatimah binti Qais berkenaan kisah Tamim.

Selain itu juga, sebahagian orang menyangka bahawa hadith tersebut adalah gharib (ganjil) maka sangkaan mereka ini ditolak dan ia bukanlah seperti yang disangka itu. Telah meriwayatkan hadith ini bersama Fatimah binti Qais RA adalah Abu Hurairah RA, Aisyah RA dan Jabir RA.” (Lihat Fath al-Bari, 13/328)

Penutup

Berdasarkan penjelasan dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa hadis tersebut bukanlah membawa makna bahawa Dajjal itu ramai. Sebaliknya, Dajjal yang disebut sebagai al-Masih itu adalah seorang yang bakal muncul pada akhir zaman, di mana ia termasuk salah satu daripada tanda-tanda besar hampirnya Kiamat.

Maksud Dajjal dalam hadis tersebut ialah yang bersifat umum, di mana ia membawa makna pendusta, pembohong dan penipu, serta suka menyebarkan pendustaan sehingga ramai orang mempercayainya.

Sesungguhnya kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

Semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H

[1] Beliau ialah Abd al-‘Uzza bin Qathan bin Amr al- Khuza’i. Ada yang mengatakan bahawa beliau berasal daripada kalangan Bani Musthaliq dari suku Khuza’ah. Ibunya bernama Halah binti Khuwailid. Ibnu Qathan tidak memiliki pertalian sahabat dengan Rasulullah SAW kerana dia telah meninggal pada zaman jahiliah. Adapun tambahan riwayat yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Nabi SAW, “Apakah keserupaannya denganku itu membahayakan bagiku?” Lalu Nabi menjawab, “Tidak, engkau muslim sedang dia kafir” adalah tambahan yang da’if daripada riwayat al-Mas’udi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang dicampur dengan hadis lain. (Lihat Ta’liq Ahmad Syakir atas Musnad Ahmad 15/30-31; al-lsobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/239, dan Fath al-Bari, 6/488 dan 13/101).