#614: Doa dan Istighfar kepada Si Mati

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah harus untuk beristighfar (memohon ampun) untuk si mati selepas dia dikebumikan, dan ketika dia telah berada dalam kuburnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan hadis Uthman bin Affan R.A, katanya: Adalah Nabi SAW, apabila selesai kebumikan mayat, Baginda berdiri dan bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لأَخِيكُمْ، وَسَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ، فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ

Maksudnya: “Mintalah istighfar kepada saudara kamu dan mohonlah baginya sabar atau ketetapan kerana dia sekarang ditanya.”

Riwayat Abu Daud (3221), al-Bazzar (445) dan al-Hakim (1372)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan thabitnya kehidupan dalam kubur. Imam al-Syafi’i telah menyebut bahawa disunatkan membaca di sisinya, yakni si mati sesuatu daripada al-Quran dan jika boleh khatam al-Quran seluruhnya, maka adalah lebih baik. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 446)

Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq berkata: Istighfar (memohon ampun) untuk si mati di atas kuburnya selepas dikebumikan adalah perkara yang masyru’ dan harus. Dan bahawa Rasulullah SAW melakukannya serta memerintahkan para sahabatnya berdoa dan beristighfar untuk si mati bagi tujuan keselamatan dirinya daripada fitnah kubur dan azabnya. (Lihat Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’asirah, 1/560-561)

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H