#622: Doa Kaffaratul Majlis Selepas Bacaan al-Quran

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah  doa kaffaratul majlis termasuk juga dalam doa selepas membaca al-Quran?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah SWT. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Riwayat Abu Dawud (1479)

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Berdasarkan ayat dan hadith di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah SWT buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah SWT turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Ibn Kathir menyebut bahawa ayat ini menzahirkan kemuliaan dan sifat Maha Pemurah Allah SWT di mana Dia menggalakkan hambanya untuk berdoa dan memberi jaminan untuk mengabulkan doa-doa tersebut. Seperti mana kata Sufyan al-Thauri:

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya: “Wahai hamba yang paling di sukai-Nya adalah hamba yang banyak meminta kepada-Nya. Dan hamba yang paling tidak disukai adalah siapa yang tidak meminta kepada-Nya. Tiada siapa seperti Engkau wahai Tuhan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/366)

Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Doa Kaffaratul Majlis

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

مَا جَلَسَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجْلِسًا قَطُّ ، وَلَا تَلَا قُرْآنًا، وَلَا صَلَّى صَلَاةً ، إِلَّا خَتَمَ ذَلِكَ بِكَلِمَاتٍ ، قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَرَاكَ مَا تَجْلِسُ مَجْلِسًا ، وَلَا تَتْلُو قُرْآنًا، وَلَا تُصَلِّي صَلَاةً إِلَّا خَتَمْتَ بِهَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ؟ قَالَ: نعم من قال خيرا ختم له طابع على ذلك الخير ، وَمَنْ قَالَ شَرًّا كُنَّ لَهُ كَفَّارَةً : سُبْحَانَكَ وَبحمدك ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Maksudnya: Tidak pernah Rasulullah SAW duduk, atau membaca Al-Quran atau menunaikan suatu solat melainkan diakhiri dengan kata-kata ini. Aisyah berkata: ”Wahai Rasulullah, aku melihat engkau tidak duduk dalam satu majlis, juga tidak membaca Al-Qu’ran, juga Tidak menunaikan suatu solat kecuali engkau mengakhiri dengan kata-kata ini? Baginda menjawab, “Ya, sesiapa yang membaca dalam keadaan kebaikan, maka dikhiri dengannya melainkan akan dituliskan dengan kebaikan tersebut. Dan siapa yang membacanya dalam keadaan yang jahat, maka ia menjadi penghapusnya:

سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

“Maha suci Engkau dan dengan segala pujian hanya milik-Mu. Tiada tuhan yang patut disembah melainkan Engkau. Saya memohon ampunan dan bertaubat kepada-Mu.

Riwayat Nasa’i di dalam al-Sunan al-Kubra, (10067) dan di dalam kitab ‘Amal al-Yaum Wa al-lailah’ (308), dan al-Tabroni dalam kitab ‘al-Du’a’, (1912)

Maka Nabi SAW menjelaskan dalam hadith ini bahawa menyebutkan kaffaratul Majlis itu ada pada akhir setiap majelis (pertemuan) dimana seseorang duduk disitu, baik itu majlis zikir atau majlis yang terdapat percampuran sesuatu yang tidak baik dan sia-sia.

Al-Sindi mengatakan, “Maksudnya hal ini akan menguatkan kebaikan itu. Mengangkat ke darjat diterima (amalan tersebut), dan selamat daripada ditolak. Jika ia selain daripada itu (kebaikan), maka ia menjadi kaffarah (penebus) baginya. (Lihat Mir’ah al-Mafatih, 8/204)

Hal ini jelas menunjukkan bahawa seorang muslim dianjurkan untuk mengakhirkan apa-apa majlis dengan zikir ini, sama ada membaca al-Qur’an atau menunaikan solat, atau majlis bersama dengan kawan-kawannya atau majlis dengan anggota keluarganya atau majlis dengan orang soleh ataupun majlis selain itu.

Doa Selepas Membaca al-Quran

Tidak ada doa secara khusus yang menetapkan doa khatam Al-Qur’an, baik doa ini atau doa lainnya. Telah dijelaskan merupakan doa yang umum untuk semua majlis sama ada doa khatam al-Quran atau majlis selainnya.

Masyarakat kita di Malaysia terkenal dengan sering membaca doa khatam al-Quran sebagaimana berikut:

الّلَهُمَ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآن، واجْعَلْهُ لَنَا إمَامَاً وَنُوْرَاً وَهُدَىً ورحمةً الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نسيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Maksudnya: Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran, dan jadikanlah ia sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami daripadanya apa yang telah kami dilupakan, dan ajarkan kami darinya apa yang kami jahil serta rezekikanlah kami untuk membacanya siang dan malam, dan jadikanlah ia sebagai hujah kepada kami wahai Tuhan sekalian alam.

Doa ini tidaklah thabit dalam mana-mana riwayat sebagai doa khatam al-Quran yang warid daripada Rasulullah SAW. Meskipun begitu, dari sudut makna-makna yang terkandung di dalam doa ini ia merupakan doa yang amat baik. Justeru, semata-mata pengamalan membaca doa di atas ini berasaskan konsep keumuman berdoa maka ia adalah dibolehkan.

Bahkan antara waktu yang dianggap sebagai mustajab untuk berdoa kepada Allah SWT ialah selepas khatam al-Quran. Hal ini dianggap sebagai salah satu bentuk tawassul dengan amal salih. Tsabit bin Qais RA berkata:

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهَلَ بَيْتِهِ فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: Adalah Anas apabila mengkhatamkan al-Quran, beliau menghimpunkan anaknya dan ahli keluarganya di rumah beliau kemudian berdoa bagi mereka.

Riwayat al-Darimi (3801). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (4/492) menyatakan hadith ini sanadnya sahih.

Para ulama’ menyebutkan anjuran menghadiri majlis khatam Al-Quran sebagaimana Imam al-Nawawi menyatakan, “Digalakkan menghadiri majlis khatam al-Quran yang dianjurkan.” Beliau setelah menyebutkan sejumlah riwayat berkenaan kelebihan berdoa selepas khatam al-Quran berkata: “Dan tersangatlah disukai (oleh syarak) akan perbuatan berdoa selepas mengkhatamkan al-Quran sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini.” (Lihat al-Tibyan fi Adab al-Hamalah al-Qur’an, hlm. 159)

Ibn Qudamah dalam al-Mugni mengatakan, “Dianjurkan mengumpulkan keluarganya ketika khatam al-Quran atau majlis selainnya. Dalam rangka menghadiri doanya. (Lihat al-Mughni, 2/126)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa doa kaffaratul majlis boleh dibaca selepas membaca al-Quran dan juga majlis selainnya. Hal ini kerana hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha berkenaan kaffaratul majlis bersifat umum dan boleh di baca di mana-mana majlis. Manakala doa khatam al-Quran sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat kita adalah dibolehkan sekiranya pengamalannya berasaskan konsep keumuman berdoa tanpa menganggap ia merupakan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H