#1126: Hubungan Sosial Antara Agama

Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.
Original price was: RM79.00.Current price is: RM68.00.

Buku Fizikal

Israk Mikraj

Original price was: RM70.00.Current price is: RM58.00.
Original price was: RM25.00.Current price is: RM17.50.

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Soalan:

Boleh terangkan bagaimana bentuk hubungan sosial antara Muslim dan lainnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Dari segi istilah, kalimah al-ta’ayush ialah satu terma yang baharu dan kontemporari. Terdapat beberapa ilmuwan semasa yang cuba memberikan penafsiran dan maksud terhadap terma ini. Ada segelintir yang meletakkan tambahan kepada ta’ayush al-silmi yang membawa maksud kehidupan bersama secara aman atau peaceful co-existence. Oleh kerana itu, kadang kala terma-terma yang hampir sama dengan maksud ta’ayush turut digunakan seperti tasamuh, taqarub, tasakun, takamul dan tajanus.

Syeikh Abdullah bin Bayyah berkata: Al-Taʿayusy (التعايش) bermaksud al-wujud al-mutazamin (الوجود المتزامن) / Co-existence / Kewujudan Bersama. Ia berkait juga dengan Al-tasākun (التساكن) yang bermaksud tinggal bersama atau cohabitation. Terkadang ia berlaku secara silmi/aman/pacify dan terkadang secara ʿadāwah/permusuhan/hostile. Beliau berpendapat, di sisi Islam, ia bermaksud kita hidup bersama dengan orang bukan Islam dengan keadaan selamat dan sejahtera, dengan syarat dan kriteria tertentu.

Dalam buku al-Taqarub wa al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin (hlm. 9) oleh Syeikh Muhammad bin Hasan al-Syarif disebut: “Adapun maksud ta’ayush ialah (kehidupan) antara kita dan bukan Islam yang menetap di sekeliling kita dari kalangan ahli zimmah yang dinamakan sekarang sebagai warganegara dan juga kehidupan antara golongan bukan Islam yang ada perjanjian (mu’ahad) yang masuk ke negara kita dengan perjanjian aman iaitu yang dinamakan sekarang sebagai visa.”

Manakala, dalam al-Ta’ayush fi al-Qur’an al-Karim Dirasah Ta’siliyyah (hlm. 4) oleh Syeikh. Dr. Mahasin al-Fadhl disebut: “Ta’ayush bermaksud anda hidup bersama dengan orang lain dalam keadaan boleh menerima kewujudan masing-masing dan secara harmoni sama ada mereka menyamai anda atau berbeza tanpa salah seorang menghalang kehidupan yang lain. Beliau merumuskan bahawa konsep al-ta’ayush adalah untuk semua makhluk termasuk manusia, haiwan dan alam semesta. Walaubagaimanapun, fokus artikel ini adalah al-ta’ayush antara orang Islam dan bukan Islam dalam sebuah negara.”

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas, dapat disimpulkan bahawa kalimah fiqh al-ta’ayush merujuk kepada suatu ilmu mengenai hukum hakam Syarak berkaitan tatacara kehidupan bersama antara golongan Islam dan bukan Islam dalam keadaan harmoni dan aman berdasarkan kepada hubungan yang wujud pada zaman kontemporari. Hubungan antara golongan Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara dinamakan muwatanah (kewarganegaraan) yang mana masing-masing dilindungi di bawah satu perlembagaan yang sama. Ia agak berbeza dengan prinsip yang ada pada zaman silam iaitu golongan bukan Islam lebih dikenali sebagai zimmi.

Prinsip Dan Asas Pensyariatan Fiqh al-Ta’ayush

Secara asasnya, fiqh al-ta’ayush dan muwatanah terbina di atas prinsip dan dasar Islam yang menyeru kepada kesejahteraan dan keamanan. Keadilan dan berlaku baik kepada golongan bukan Islam selagi mana mereka tidak memerangi agama Islam adalah suatu yang telah termaktub dalam nas al-Quran:

لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahanah: 8)

Syeikh Tahir ibn Asyur berkata: “Frasa, ‘sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,’ ialah suatu komentar, yakni Allah mencintai setiap orang yang berlaku saksama, termasuklah mereka yang saksama terhadap orang-orang yang membuat perjanjian dengan mereka dalam agama sekalipun mereka memiliki perbezaan, mereka tetap elok interaksinya terhadap orang-orang itu.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 25/153)

Ayat di atas menerangkan secara jelas bahawa Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi orang Islam. Bahkan Allah SWT tidak menghalang umat Islam menyalurkan kebaikan kepada mereka. Malahan [أن تبروهم] ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir dengan makna [تحسنوا إليهم] iaitu berlaku ihsan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 15/16)

Ini disokong dengan dalil-dalil syarak yang memberi penekanan kepada perlindungan kepada golongan bukan Islam yang berada dalam negara Islam. Golongan bukan Islam mengikut uruf zaman silam diistilahkan dengan ahli zimmah. Sesebuah negara hendaklah melindungi mereka dari sebarang tindakan salah laku terhadap mereka dan menyediakan kebebasan individu kepada mereka. Dengan kata lain, sebarang bentuk penindasan dan kezaliman adalah di larang sama sekali. 

Sabda Nabi SAW:

أَلاَ مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا ، أَوِ انْتَقَصَهُ ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Maksudnya: “Ingatlah! Barangsiapa menzalimi kafir mua’ahad atau menindas, membebankan di luar kemampuan atau mengambil sesuatu tanpa persetujuannya maka akan menjadi penghujah baginya pada hari Kiamat.”

Riwayat Abu Dawud (3052)

Namun dalam konteks semasa, golongan bukan Islam yang tinggal di sesebuah negara bersama orang-orang Islam sudah lagi tidak dinamakan sebagai zimmi. Sebaliknya istilah yang terpakai ialah muwatin atau warganegara. Malahan perlindungan kepada setiap warganegara dijamin oleh perlembagaan. Dalam konteks Malaysia, Perkara 8 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyebut:

(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Berikut ialah beberapa prinsip dan asas kepada fiqh al-ta’ayush:

Tolak ansur dan kemanusian dalam Islam

Agama Islam selari dengan tabiat manusia dan bercirikan sebuah agama yang mudah dan menjauhi kesulitan. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Nabi SAW :

إِنَّمَا بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dibangkitkan dengan ugama yang lurus lagi mudah.”

Riwayat al-Tabarani (7715)

Ciri-ciri al-yusr (Islam itu mudah) ini terzahir dalam prinsip tasamuh (tolak ansur) dan insaniyyah (kemanusian) dalam hubungan sesama orang bukan Islam. Ini semua adalah kerana sebab rahmat Allah kepada hamba-hambaNya yang mencakupi semua makhluk. Sabda Nabi saw:

مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak memberi rahmat maka tidak akan dirahmati.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Ibn Hajar al-Asqalani ketika mengulas hadis ini, menukilkan daripada Ibn Battal yang berkata: “Hadis ini mengandungi maksud galakan kepada menggunakan rahmat (perasaan belas kasihan) kepada semua makhluk sama ada orang mukmin, kafir, haiwan yang dimiliki atau tidak dimiliki. Termasuk dalam rahmat ialah sentiasa memberi makan, minum dan meringankan bebanan dan tidak melakukan tindakan salah laku dengan memukul.” (Lihat Fath al-Bari, 10/440)

Di antara manifestasi kerahmatan Islam ialah tiada elemen paksaan dalam agama. Orang bukan Islam bebas mengamalkan budaya dan agama mereka dalam sebuah negara dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain. Ini bertitik tolak daripada prinsip tolak ansur dan kemanusian yang dijunjung dalam Islam. 

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam.”

(Surah al-Isra’: 70)

Menurut Dr Mahmud Sidqi Sadiq al-Hawari, ahli jawatankuasa Pejabat Wakil Syaikh al-Azhar al-Syarif (temubual 23 Okt 2018, Pejabat Mashyakhah al-Azhar, Kaherah) ketika menghuraikan hifz al-din:

فأنت تحترم الإنسان أولا في درجة أولى من الاحترام لأنه إنسان من صنع الله.

Maksudnya: “Maka kamu hendaklah menghormati manusia pertama sekali di peringkat pertama memberi kehormatan kerana dia adalah manusia termasuk ciptaan Allah.”

Prinsip tasamuh (tolak ansur) mencakupi maksud memberi kebebasan beramal bagi mereka, tidak menyakiti mereka dalam hal kepercayaan seperti mencaci dan tidak memusnah tempat ibadat mereka.

Saya meminjam kata-kata Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Mereka dikira dengan istilah baru iaitu “warganegara” di dalam negara Islam. Golongan Muslimin telah memutuskannya sejak abad pertama sehingga ke hari ini, bahawa mereka mempunyai hak yang sama dengan apa yang dimiliki oleh golongan Muslimin, dan akan dihitung ke atas diri mereka seperti yang dihitung ke atas diri kaum Muslimin, kecuali apa yang berkaitan dengan urusan agama dan akidah (kepercayaan), maka Islam akan membiarkan mereka hidup bebas dengan apa jua pegangan yang dipercayai oleh mereka, dengan tiada sebarang campur tangan oleh agama Islam dalam konteks ini.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 646)

Semoga penerangan secara ringkas ini dapat difahami dengan baik betapa Islam menjunjung hubungan sesama insani yang merentasi bahasa, bangsa, bahkan agama. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 22 Mac 2023 bersamaan 29 Syaaban 1444H